Kiddocare Dan HeyDoc Health Meterai MOU Di Selangor International Care Summit 2025 Untuk Meluaskan Manfaat Penjagaan Kesihatan Kepada Pengasuh

SELANGOR, 11 OKTOBER 2025 – Kiddocare, peneraju dalam perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan berasaskan permintaan, dan HeyDoc Health, penyedia khidmat kesihatan digital terkemuka, menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperluas pelan langganan penjagaan kesihatan mampu milik, mudah diakses dan berterusan kepada rangkaian penjaga dan pengasuh Kiddocare — manfaat yang jarang dinikmati oleh golongan profesional gig dan pekerja bebas yang berada di luar struktur pekerjaan tradisional.

Ekonomi penjagaan Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM379 bilion, mewakili hampir satu perlima sektor perkhidmatan (ISIS Malaysia, 2024). Namun, lebih daripada 3.2 juta rakyat Malaysia — 98% daripadanya wanita — kekal di luar sektor tenaga kerja kerana memikul tanggungjawab penjagaan. Pada masa yang sama, kajian menunjukkan lebih separuh daripada pekerja gig di Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans kesihatan, menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kewangan apabila jatuh sakit (ILO / Centre Malaysia, 2023).

MOU ini dimeterai secara rasmi di Selangor International Care Summit 2025 dan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare, Nadira Yusoff, dan Ketua Pegawai Eksekutif HeyDoc Health, Dr. Raymond Choy.

Menerusi kerjasama ini, para pengasuh Kiddocare akan didaftarkan terus ke dalam platform penjagaan kesihatan digital berasaskan langganan oleh HeyDoc Health, FutureK. Perkhidmatan ini merangkumi telerundingan tanpa had dengan doktor bertauliah, ubat-ubatan rawatan akut, program penjagaan pencegahan, rujukan panel di seluruh negara, akses kepada farmasi rakan kongsi, serta kadar istimewa untuk ahli keluarga.

Pelan langganan ini akan bermula pada 2025 untuk pengasuh aktif, dengan peluasan kepada ahli keluarga terdekat dijadualkan pada 2026. Dengan menyediakan akses penjagaan kesihatan kepada penjaga gig — yang lazimnya terpinggir daripada sistem perlindungan tradisional — kedua-dua organisasi menunjukkan komitmen jangka panjang terhadap pengukuhan ekonomi penjagaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare, Nadira Yusoff, berkata “Para pengasuh kami merupakan tulang belakang kepada ekonomi penjagaan Malaysia. Namun, ramai yang masih tidak mempunyai perlindungan kesihatan yang sewajarnya. Melalui kerjasama dengan HeyDoc Health, kami bukan sahaja melindungi kesejahteraan mereka, malah memperkasakan lebih ramai wanita untuk menyertai dan kekal dalam sektor tenaga kerja dengan fikiran yang tenang.”

Kerjasama ini juga selari dengan usaha kerajaan di bawah Belanjawan 2026 untuk memperkukuh ekonomi penjagaan dan tenaga kerja gig di Malaysia. Langkah-langkah seperti peruntukan sebanyak RM5 juta bagi latihan pekerja jagaan serta penambahbaikan skim perlindungan sosial untuk pekerja gig mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap kepentingan sektor ini. Kerjasama antara Kiddocare dan HeyDoc Health melengkapi usaha ini dengan memperluas manfaat penjagaan kesihatan yang mudah diakses kepada kumpulan pengasuh dan langkah ini penting dalam memastikan kesejahteraan mereka serta membolehkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja secara mampan.

Selain itu, insentif kerajaan seperti caruman padanan KWSP dan perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja gig di bawah skim i-Saraan Plus turut memperkukuh jaringan perlindungan untuk pekerja informal. Inisiatif-inisiatif ini sejajar dengan misi bersama Kiddocare dan HeyDoc Health untuk membina tenaga kerja penjagaan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

Kerjasama antara Kiddocare dan HeyDoc Health mengukuhkan lagi keutamaan nasional ini dengan merapatkan jurang kritikal dalam akses kepada penjagaan kesihatan, perlindungan kewangan dan pembangunan kemahiran. Langkah ini secara langsung menangani cabaran berpanjangan yang dihadapi oleh wanita dalam sektor penjagaan, di samping menyokong matlamat lebih luas untuk membina asas ekonomi penjagaan Malaysia yang lebih selamat, berkemahiran dan inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif HeyDoc Health, Dr. Raymond Choy, menambah, “FutureK direka untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan pekerja gig, pekerja bebas, dan rakyat Malaysia yang sering terpinggir daripada pelan kesihatan tradisional. Melalui kerjasama dengan Kiddocare, kami berbangga dapat memperluas perkhidmatan kepada para penjaga yang memainkan peranan penting dalam komuniti kita, sekali gus memastikan mereka menikmati penjagaan yang berkualiti, mampu milik dan berterusan.”

Selain melindungi kesejahteraan para pengasuh, inisiatif ini turut menyumbang kepada matlamat negara yang lebih besar iaitu menjadikan ekonomi penjagaan sebagai sektor formal serta meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Previous ArticleNext Article

Felda, FGV Teroka Semula Peranan Minyak Sawit, Ubah Sisa Kepada Kekayaan

KUALA LUMPUR (Bernama) — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd sedang meneroka semula peranan minyak sawit dalam ekonomi masa depan Malaysia, dipacu kecanggihan teknologi, dengan menilai produk sampingan minyak sawit sebagai sumber strategik dan bukan lagi sisa tradisional.

Pengarah Kumpulan, Bahagian Perladangan FGV, Izham Mustaffa berkata peranan pihaknya melangkaui operasi perladangan dengan menekankan bahawa fungsi teras FGV menyumbang kepada pembinaan negara melalui sektor pertanian.

“Pemodenan pertanian, melalui penggunaan teknologi, inovasi dan amalan terbaik penting untuk menjamin kerelevanan pada masa depan dan peningkatan sektor ini, Bagaimanapun, untuk melonjakkan nilai, kita mesti mengubah pemikiran asas.

“Sisa bukan lagi isu pelupusan sebaliknya satu sumber dan bahan mentah yang kita boleh manfaatkan,” katanya ketika berucap pada seminar bertajuk “Waste to Wealth: Opportunities in Green Energy and Circular Economy” bagi Program Jawatankuasa Penasihat 2026, secara dalam talian hari ini.

Izham berkata justeru, pertama sekali, syarikat perladangan dan komoditi itu menumpukan kepada pembangunan tanah bagi memastikan tanah digunakan secara produktif, cekap dan mampan untuk menjana nilai sosioekonomi jangka masa panjang.

Kemajuan sosioekonomi juga merupakan keutamaan penting, dengan operasi menyumbang untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan membentuk komuniti yang lebih kukuh, katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan mengubah biojisim kepada tenaga hijau, yang semakin penting susulan ketidaktentuan global.

“Biojisim mesti dilihat sebagai satu sistem, bukan sebagai produk sampingan atau sisa. Kita boleh mengguna pakai model ‘Hab dan Jejari, dengan ladang dan komuniti berperanan sebagai nod bekalan manakala hab pemprosesan berpusat memastikan kualiti dan kecekapan,” katanya.

— BERNAMA