SC Pacu Pembiayaan Berasaskan Pasaran untuk Penyesuaian dan Daya Tahan Iklim

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menganjurkan Persidangan Penyesuaian dan Ketahanan Iklim (A&R) sulungnya, dalam usaha membentuk masa depan pembiayaan penyesuaian iklim di Malaysia.

Acara itu melibatkan lebih 400 delegasi daripada kementerian dan agensi kerajaan, institusi kewangan, pakar iklim dan ahli akademik untuk membincang peranan penting pasaran modal dalam menggerakkan kewangan awam dan swasta untuk projek penyesuaian iklim.

Menteri Perladangan dan Komoditi dan Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menyampaikan ucaptama mengenai pendekatan kerajaan dalam menangani risiko iklim.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi menggariskan matlamat SC untuk memangkin modal swasta ke dalam usaha penyesuaian dan daya tahan.

“Berbeza dengan projek mitigasi, inisiatif penyesuaian sukar menarik pembiayaan kerana ia mempunyai faedah jangka panjang, setempat dan tidak mudah untuk menjana pendapatan. Walau bagaimanapun, ia penting untuk melindungi masyarakat dan daya tahan ekonomi. Ini hanya boleh berjaya jika kita bekerjasama dengan rakan kongsi merentasi kerajaan, perniagaan dan masyarakat untuk menyelaraskan sumber dan kepakaran untuk membina daya tahan pada skala besar.”

“Kemampanan merupakan tonggak utama Pelan Induk Pasaran Modal 4 (CMP4) yang akan datang, yang juga akan meneroka bagaimana pembiayaan gabungan boleh menggerakkan modal untuk penyesuaian iklim dan daya tahan,” katanya.

Persidangan itu memaparkan perbincangan mengenai dasar-dasar pemudah cara, strategi pelaburan berasaskan sains dan model inovatif untuk meningkatkan kebolehpembiayaan projek penyesuaian, antara lain.

Penyelesaian mempamerkan perlindungan banjir pantai, pemuliharaan biodiversiti dan daya tahan haba bandar, menawarkan pandangan tentang bagaimana pendekatan global boleh disesuaikan untuk Malaysia.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Penyesuaian & Ketahanan Banjir Pantai (COFAR) SC yang lebih luas, bertujuan untuk mengukuhkan peranan pasaran modal dalam membiayai penyesuaian iklim.

Di bawah COFAR, SC, bersama ICAEW Malaysia, SD Guthrie dan SEADPRI-UKM, barubaru ini telah menganjurkan Cabaran Universiti COFAR, melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk mereka bentuk penyelesaian praktikal dan berdaya maju dari segi kewangan bagi daya tahan banjir di Pulau Carey.

Cabaran itu mencerminkan komitmen SC dalam memupuk inovasi teknikal, kewangan dan kolaboratif untuk menangani salah satu cabaran iklim negara yang paling mendesak, iaitu banjir.

Pameran interaktif ‘The Rising Waters’ turut dipaparkan pada persidangan itu, menonjolkan kesan banjir yang semakin meningkat dan keperluan mendesak untuk penyelesaian pembiayaan, termasuk melihat sejarah banjir Malaysia dan senario iklim masa depan.

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.