AICB Melancarkan FSF Xcel: Platform Kemahiran Penilaian Industri yang Pertama Di Malaysia Untuk Meningkatkan Kebolehan Bakat Dalam Sektor Kewangan

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2025 – Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) telah melancarkan FSF Xcel, platform kemahiran penilaian industri digital untuk sektor kewangan yang pertama di Malaysia. Inisiatif ini bertindak sebagai penanda aras untuk kebolehan tenaga kerja dan pemangkin kepada peningkatan kemahiran di seluruh industri kewangan bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekosistem kewangan yang lebih adaptif, lestari, dan bersiap-siaga dalam persediaan menghadapi masa depan.

Dibina berasaskan kejayaan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) yang diperkenalkan pada tahun 2024, FSF Xcel menjalankan rangka kerja tersebut melalui penilaian berstruktur yang diakui oleh industri, bagi membolehkan institusi kewangan mengenal pasti jurang dalam kemahiran, mengaplikasikan pembelajaran peta minda dan membuka laluan kerjaya, di samping merangka strategi untuk menghadapi masa depan. Ia merangkumi 159 peranan pekerjaan dan 157 kemahiran kritikal, menguasai kedua-dua keupayaan teknikal serta kecekapan tingkah laku. Dibangunkan hasil kerjasama dengan Accendo Technologies — sebuah syarikat pintar berasaskan AI dari Malaysia dan rakan kongsi rasmi FSF Xcel — platform ini menggabungkan amalan pengurusan terbaik global dengan kepakaran tempatan untuk memperkukuhkan lagi kebolehan bakat-bakat dalam sektor kewangan keluaran Malaysia.

Sektor kewangan, yang menyumbang kira-kira 6.7% kepada KDNK Malaysia pada tahun 2024i dan memiliki hampir 167,000 tenaga kerja profesionalii, kekal memegang peranan utama dalam pertumbuhan dan ketahanan ekonomi negara. Selaras dengan Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026 Bank Negara Malaysia, FSF Xcel menjadi pemangkin kepada peralihan industri ke arah tenaga kerja celik digital yang dipacu oleh inovasi terkini — satu tenaga kerja yang diperkasakan oleh data dan berteraskan pembelajaran secara berterusan. Platform ini memberikan institusi kewangan penganalisaan dalam masa yang nyata dan bentuk kecekapan yang diselaraskan untuk membimbing perancangan tenaga kerja, penanda aras untuk keupayaan, dan mengukuhkan perkembangan secara profesional di seluruh sektor, memenuhi cita-cita Malaysia untuk mengasah bakat secara strategik sebagai persediaan menghadapi ekonomi digital.

Edward Ling, Ketua Eksekutif, Asian Institute of Chartered Bankers, dalam kenyataannya berkata:

“FSF Xcel bukan sekadar platform untuk penilaian kemahiran — ia merupakan pemangkin kepada transformasi. Dengan melengkapkan pekerja dan majikan dengan data serta maklumat berasaskan analisis untuk mengenal pasti, mengukur, dan meningkatkan keupayaan mereka, ia sekali gus dapat memupuk budaya pembelajaran secara berterusan dan mencapai kecemerlangan profesional. Dibangunkan untuk industri, oleh industri, FSF Xcel mencerminkan komitmen kita bersama dalam membina tenaga kerja kewangan yang teguh, berdaya saing, dan bersedia menghadapi masa depan.”

YBhg. Datuk Dr Yvonne Chia, FCB, Pengerusi MyMAHIR Future Skills Talent Council – Sektor Kewangan dan Ahli Majlis AICB, pula menambah:

“Dalam dunia hari ini di mana hampir 40% daripada kemahiran dijangka akan berubah atau menjadi lapuk menjelang tahun 2030, FSF Xcel memperkasakan institusi kewangan agar mampu bertindak dengan kecekapan dan berpandangan jauh. Ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi golongan profesional dalam bidang kewangan yang mahir, serba-boleh dan inovatif.”

Sharma Lachu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Accendo Technologies, berkata:

FSF Xcel membuktikan bahawa visi boleh diterjemahkan menjadi tindakan. Kami yakin kerjasama antara Accendo dan AICB mampu memberi dorongan kepada Digital Talent Passport di seluruh industri, supaya individu dan organisasi dapat berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah ini.

Inisiatif ini disokong oleh Kajian Asas Tenaga Kerja 2025 AICB, yang berjaya mencatat kadar maklum balas sebanyak 68% daripada 99 institusi kewangan di seluruh sektor. Hasil kajian menunjukkan permintaan industri yang tinggi, dengan 96% responden menyatakan minat mereka untuk menggunakan platform penilaian digital standard bagi mengatasi jurang kemahiran selaras dengan FSF. Dalam kajian tersebut juga terdapat kira-kira 40,000 pekerja dijangka akan melihat perubahan dalam peranan mereka akibat automasi — sekali gus mendesak keperluan untuk peningkatan dan pembaharuan dalam kemahiran yang disasarkan ke atas tenaga kerja dalam sektor kewangan di Malaysia.

Hasil penemuan ini seiring dengan trend global yang disebut dalam World Economic Forum’s Future of Jobs Report 2025, yang menjangkakan terdapat 39% daripada kemahiran sedia ada akan menjadi lapuk menjelang tahun 2030iii dan jurang yang terdapat dalam kemahiran telah dikenal pasti sebagai halangan terbesar dalam transformasi perniagaan di Malaysia.

FSF Xcel akan dilancarkan secara progresif ke seluruh institusi kewangan mulai suku keempat tahun 2025, di mana AICB akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Accendo Technologies, pertubuhan-pertubuhan industri, dan rakan dalam bidang yang sama-sama belajar bagi menyokong adaptasi serta pelaksanaan inisiatif ini di seluruh sektor kewangan.

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Digital Malaysia Cecah RM196 Bilion, Antara Paling Pantas Berkembang di Asia Tenggara

E-dagang berkembang 22%, penggunaan AI semakin meluas dan ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026.

Ekonomi digital Malaysia semakin berkembang pesat. Menurut laporan e-Conomy SEA 2026 yang diterbitkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company pada 28 Oktober 2026, nilai ekonomi digital negara dijangka mencecah AS$48 bilion atau kira-kira RM196 bilion pada 2026.

Lebih menarik, pertumbuhan ini mencapai 20% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan Malaysia bersama Vietnam sebagai ekonomi digital yang berkembang paling pantas di Asia Tenggara.

Pertumbuhan ini bukan datang daripada satu sektor sahaja. E-dagang, pelancongan dalam talian, perkhidmatan kewangan digital, media dalam talian serta perkhidmatan penghantaran makanan dan pengangkutan semuanya menunjukkan perkembangan positif.

1. E-dagang Jadi Pemacu Utama Ekonomi Digital

Sektor e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital Malaysia.

Pada 2026, nilai transaksi barangan dan perkhidmatan yang dijual melalui platform digital dalam sektor ini dijangka mencecah AS$25 bilion atau sekitar RM102 bilion, meningkat 22% berbanding tahun sebelumnya.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan ini ialah penggunaan AI untuk membantu pengguna mencari produk, penjualan melalui video serta penggunaan sistem automatik yang memudahkan peniaga mengurus perniagaan.

Mudah kata, membeli-belah dalam talian bukan lagi sekadar membeli barang di platform e-dagang. Cara peniaga memasarkan produk dan cara pengguna membuat keputusan pembelian juga semakin berubah.

2. Pelancongan Dalam Talian Terus Berkembang

Sektor pelancongan dalam talian turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 15% kepada AS$12 bilion, bersamaan kira-kira RM49 bilion.

Kenaikan harga tiket penerbangan menjadi antara faktor yang meningkatkan nilai transaksi. Pada masa sama, permintaan terhadap pelancongan domestik dan antarabangsa serta penginapan premium turut menyokong pertumbuhan sektor ini.

Menariknya, AI kini semakin memainkan peranan dalam perancangan perjalanan. Pengguna bukan sahaja menggunakan media sosial untuk mencari destinasi percutian, malah mula bergantung pada platform AI untuk mendapatkan cadangan lokasi, menyusun jadual perjalanan dan merancang percutian.

3. Pembayaran Digital dan Pinjaman Dalam Talian Semakin Popular

Penggunaan perkhidmatan kewangan digital juga terus meningkat.

Nilai transaksi pembayaran digital di Malaysia berkembang 17% kepada AS$261 bilion. Ini menjadikan Malaysia pasaran pembayaran digital kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Sementara itu, baki pinjaman digital meningkat 22% kepada AS$18 bilion.

Pertumbuhan ini menunjukkan semakin ramai pengguna dan perniagaan menggunakan saluran digital untuk membuat pembayaran serta mendapatkan pembiayaan.

Bagi pengguna, urusan kewangan menjadi lebih mudah. Bagi perniagaan pula, perkhidmatan digital membuka peluang untuk mendapatkan pelanggan dan mengembangkan operasi dengan lebih meluas.

4. AI Bukan Lagi Sekadar Trend

Satu lagi dapatan menarik dalam laporan ini ialah penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dianggarkan 17 juta rakyat Malaysia menggunakan AI generatif, bersamaan 68% daripada populasi bekerja. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kedua di Asia Tenggara dari segi penggunaan AI.

Pengguna di Malaysia juga aktif menggunakan AI untuk menghasilkan imej. Menurut laporan tersebut, satu daripada lima pengguna Gemini meminta platform itu menjana imej.

Namun, perkara yang lebih penting bukan sekadar berapa ramai yang menggunakan AI, tetapi sejauh mana teknologi ini digunakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Secara purata, pengguna Malaysia melakukan sekitar 1.8 sesi AI seminggu. Dalam setiap sesi, mereka mencatatkan purata 13.9 pertukaran mesej atau arahan dengan AI, kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura.

Penggunaan AI dalam sektor korporat juga semakin matang. Laporan itu menganggarkan penggunaan AI oleh organisasi menyumbang sekitar 45% hingga 50% daripada keseluruhan penggunaan token AI di Malaysia.

Ini menunjukkan AI semakin digunakan untuk membantu menyelesaikan tugasan sebenar, bukan sekadar mencuba teknologi baharu.

5. Pelaburan AI dan Pusat Data Bakal Membuka Peluang Baharu

Perkembangan AI memerlukan infrastruktur yang kukuh, termasuk pusat data, pengkomputeran berprestasi tinggi dan perkhidmatan awan.

Malaysia sedang membangunkan ekosistem pusat data untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.

Di peringkat Asia Tenggara pula, pelaburan swasta dalam pengkomputeran dan infrastruktur AI mencecah AS$20 bilion atau kira-kira RM82 bilion dalam tempoh 12 bulan yang dilaporkan.

Lebih menarik, syarikat digital yang menjadikan AI sebagai teras produk mereka menerima sekitar 80% daripada jumlah pembiayaan swasta kepada syarikat digital dalam tempoh enam bulan terkini yang dikaji. Angka ini meningkat daripada kira-kira 30% pada separuh kedua 2024.

Laporan itu turut menjangkakan penggunaan AI di Asia Tenggara boleh meningkat sehingga 60 kali ganda menjelang 2030, berdasarkan jumlah token yang digunakan.

Bagi Malaysia, perkembangan ini membuka peluang kepada syarikat teknologi, penyedia pusat data dan perniagaan yang mampu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti.

6. Sektor Digital Lain Turut Menunjukkan Pertumbuhan

Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia bukan terhad kepada e-dagang dan AI sahaja.

Sektor media dalam talian berkembang 20% kepada AS$5 bilion, manakala sektor pengangkutan dan makanan meningkat 18% kepada AS$5 bilion.

Peningkatan ini menunjukkan aktiviti digital semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada menonton kandungan dalam talian hinggalah menempah pengangkutan dan makanan.

Bagi perniagaan, perubahan ini membuka ruang untuk mencari pelanggan baharu, menawarkan perkhidmatan secara digital dan menggunakan data bagi memahami corak perbelanjaan pengguna.

7. Malaysia Perkenalkan Perlindungan Undang-undang untuk Pekerja Gig

Selain teknologi dan perniagaan, laporan ini turut menyorot perkembangan dalam sektor pekerjaan gig.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meletakkan ekonomi gig di bawah kerangka perundangan khusus menerusi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta ini meluaskan perlindungan undang-undang kepada lebih 1.6 juta pekerja gig, termasuk penghantar makanan, pemandu platform dan pekerja bebas digital.

Antara perlindungan yang dinyatakan dalam laporan ialah keperluan perjanjian perkhidmatan bertulis yang telus, caruman keselamatan sosial melalui PERKESO, larangan potongan bayaran yang tidak adil serta penubuhan Tribunal Pekerja Gig untuk menyelesaikan pertikaian.

Langkah ini penting kerana pertumbuhan ekonomi digital turut mengubah cara rakyat bekerja dan memperoleh pendapatan.

Kesimpulan: Peluang Besar untuk Perniagaan dan Pelabur

Secara keseluruhan, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh e-dagang, pelancongan, pembayaran digital dan penggunaan AI.

Pada peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara diunjurkan mencapai AS$368 bilion atau kira-kira RM1.5 trilion pada 2026, dengan potensi mencecah AS$1 trilion menjelang 2035.

Bagi pelabur, perkembangan ini boleh membuka peluang dalam sektor seperti teknologi, pusat data, perkhidmatan awan dan pembayaran digital. Namun, pertumbuhan sesuatu sektor tidak semestinya menjamin keuntungan setiap syarikat. Penilaian saham, prestasi kewangan dan harga yang dibayar masih perlu dipertimbangkan.

Bagi usahawan pula, mesejnya jelas: perniagaan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan memanfaatkan AI berpotensi memperoleh kelebihan daya saing.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada ekonomi digital akan berkembang, tetapi siapa yang paling bersedia untuk mengambil peluang daripada pertumbuhan ini?

Sumber: Laporan e-Conomy SEA 2026 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, diterbitkan pada 28 Oktober 2026.

Nota: Nilai dalam ringgit berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.08 seperti yang dinyatakan dalam laporan. GMV merujuk kepada nilai kasar barangan dan perkhidmatan yang diniagakan melalui platform digital, manakala GTV merujuk kepada jumlah nilai transaksi. Kedua-duanya bukan ukuran hasil atau keuntungan syarikat.