Malaysia Menjuarai ASEAN Investment Challenge Untuk Tahun Ketiga Berturut-Turut

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER 2025 – CGS International Securities Pte Ltd (“CGS International”) telah menutup tirai pertandingan ASEAN Investment Challenge (“AIC”) 2025 dengan jayanya, pada penganjuran kali ketiga berturut-turut yang berlangsung di Kuala Lumpur bersempena Forum Pasaran Modal ASEAN 2025 anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Penganjuran kali ini mencatat sejarah baharu dengan penyertaan negara Filipina buat pertama kali, bersama pasukan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Pasukan serantau ini telah bersaing sejak bulan April bagi merebut kedudukan teratas dan membentangkan portfolio pelaburan terbaik.

Finale AIC 2025 menyaksikan lima pasukan kebangsaan bertanding untuk merebut gelaran serantau di hadapan panel juri yang mewakili NASDAQ, Bursa Singapura, Bursa Malaysia, Bursa Saham Indonesia, Bursa Saham Thailand, Bursa Saham Filipina, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan CGS International.

Selaras dengan penekanan global terhadap pelaburan bertanggungjawab, peserta juga diwajibkan untuk memasukkan sebahagian daripada portfolio mereka ke dalam saham yang sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan pelaburan.

Selepas penilaian ketat, juara AIC 2025 diumumkan Team Rever dari Malaysia, yang membawa pulang hadiah utama melebihi S$22,000 bagi memulakan perjalanan pelaburan sebenar mereka. Para finalis turut diberi penghormatan untuk bergambar bersama YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan 2 Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka dalam literasi kewangan dan pelaburan bertanggungjawab.

Keputusan Akhir AIC 2025 adalah seperti berikut:

  1. Malaysia: Team Rever, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  2. Filipina: Team ABM Quant, Polytechnic University of the Philippines
  3. Thailand: Team ICU Associates, Mahidol University International College
  4. Singapura: Team Retirement by 30, Ngee Ann Polytechnic
  5. Indonesia: Team Liquid, Petra Christian University

Tahun ini, peserta mendapat pendedahan mendalam mengenai pelaburan pasaran modal melalui kelas induk dan sesi bimbingan bersama pakar industri daripada CGS International dan bursa-bursa serantau.

Peserta juga mendapat akses kepada CGS Academy, platform pembelajaran digital yang memberikan pemahaman menyeluruh tentang literasi kewangan, analisis teknikal dan kewangan mampan. Setiap pasukan turut diberi akaun dagangan demo untuk mengasah kemahiran dan membangunkan strategi pelaburan serta pengurusan risiko dalam persekitaran sebenar.

Carol Fong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International, berkata, “AIC 2025 sangat menarik dengan penyertaan Filipina, melebarkan jangkauan kami daripada empat kepada lima negara ASEAN. Lebih membanggakan ialah bagaimana pasukan-pasukan muda ini semakin matang, dengan strategi pengurusan portfolio yang semakin canggih, termasuk pendekatan berfokuskan kemampanan.”

Beliau menambah bahawa kesinambungan dalam ekosistem AIC semakin kukuh, apabila peserta terdahulu kembali sebagai mentor untuk berkongsi pengalaman dengan peserta baharu.

CGS International juga komited untuk terus meningkatkan literasi kewangan serantau, termasuk memperkenalkan dagangan saham pecahan di Bursa Malaysia melalui aplikasi UP bagi memudahkan pelabur baharu membeli saham syarikat ternama pada kos lebih rendah.

Kevin Lee, Ketua Kelestarian Kumpulan CGS International, turut menyampaikan penghargaan, “Kami mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas usaha mereka sepanjang tujuh bulan latihan dan aktiviti AIC 2025. Program ini telah memberi pendedahan dunia sebenar kepada pelajar mengenai pasaran modal dan membantu mereka membina asas kerjaya dalam industri kewangan.”

Beliau berkongsi bahawa pemenang AIC 2023 kini bekerja sebagai Management Associate di CGS International Securities Malaysia, manakala pemenang tahun lalu sedang menjalani latihan industri di syarikat tersebut bukti keberkesanan program ini mencipta bakat baharu untuk masa depan kewangan.

Ahli Team Rever, Muhammad Eyzzul Helmi Bin Zul Ramli dan Nik Atikah Hani Binti Nik Mohd Zaid, berkata, “Kami berbesar hati menjadi wakil Malaysia yang menang tiga tahun berturut-turut. AIC membuka mata kami bahawa literasi kewangan ialah kemahiran yang mampu mengubah kehidupan. Ia bukan hanya teori tetapi pengalaman sebenar yang membina keyakinan kami untuk merangka strategi pelaburan yang berkesan dan bertanggungjawab.”

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.