Apa Hukum Menyertai Acara Larian Anjuran Bank Konvensional?

Kalau kita lihat sekarang ni ramai orang menyertai acara larian seperti fun run, marathon dan charity run, seperti satu trend kesihatan oleh semua lapisan umur dan semakin popular di Malaysia. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, acara ini sering dianjurkan atau ditaja oleh pelbagai pihak termasuk bank konvensional.

Menerusi perkongsian dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang mendapat soalan daripada seorang individu adalah seperti berikut :-

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan acara larian yang dianjurkan oleh bank konvensional baru-baru ini, adakah orang Islam boleh menyertainya? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Islam menitikberatkan kerjasama dalam kebaikan dan tidak bekerjasama dalam perkara yg tidak baik. Jika larian melibatkan mempromosi sistem bank riba semata-mata maka ia tidak diharuskan syarak. Antara perkara yang perlu diambil berat juga ialah kaedah larian yg mendedah aurat dan bercampur lelaki dan perempuan wajib dielakkan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menasihatkan umat Islam menilai dari dua aspek ini sebelum menyertai mana-mana program sebegini di masa hadapan.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Secara umumnya, agama Islam tidak menghalang umatnya daripada menganjurkan atau melibatkan diri dalam aktiviti atau sukan seperti ini selagi mana ia masih berada dalam kerangka yang dibenarkan syarak.

Malahan, aktiviti larian sebegini pernah dilakukan oleh Nabi SAW bersama isterinya, Saidatina Aisyah R.Anha. Ia direkodkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, beliau berkata:

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ وَأَنَا جَارِيَةٌ لَمْ أَحْمِلِ اللَّحْمَ وَلَمْ أَبْدُنْ، فَقَالَ لِلنَّاسِ: “تَقَدَّمُوا”، فَتَقَدَّمُوا، ثُمَّ قَالَ لِي: “تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ”، فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ، فَسَكَتَ عَنِّي، حَتَّى إِذَا حَمَلْتُ اللَّحْمَ وَبَدُنْتُ وَنَسِيتُ، خَرَجْتُ مَعَهُ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ، فَقَالَ لِلنَّاسِ: “تَقَدَّمُوا”، فَتَقَدَّمُوا، ثُمَّ قَالَ: “تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ”، فَسَابَقْتُهُ، فَسَبَقَنِي، فَجَعَلَ يَضْحَكُ، وَهُوَ يَقُولُ: “هَذِهِ بِتِلْكَ”.

Maksudnya: “Aku keluar bersama Nabi SAW dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk. Baginda berkata kepada sahabat-sahabat lain: ‘Pergi dahulu,’ lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian Baginda berkata kepadaku: ‘Mari ke sini (Baginda mengajak untuk berlumba lari), Aku akan menewaskan mu.’ Aisyah berkata: Aku telah menewaskan Baginda. Lalu Baginda mendiamkan diri. Hinggalah tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk, dan aku pun sudah terlupa akan hal itu. Aku telah keluar lagi bersama Baginda dalam sebahagian musafirnya. Lalu Baginda berkata kepada orang ramai: ‘Pergi dahulu,’ lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian Baginda berkata: ‘Mari ke sini. Aku akan menewaskanmu.’ Kali ini, Baginda telah menewaskan aku. Baginda pun ketawa dan berkata: ‘Ini merupakan untuk itu (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu).”

Riwayat Ahmad (26277)

Pada dasarnya, setiap acara atau pertandingan yang ingin dianjurkan hendaklah memenuhi Garis Panduan Bersukan Menurut Perspektif Islam seperti pakaian sukan yang dipakai hendaklah memenuhi etika berpakaian yang ditetapkan oleh syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi. Contohnya seperti berikut:

  • Lelaki: T-shirt dan berseluar panjang atau seluar yang melepasi paras lutut.
  • Perempuan: T-shirt lengan panjang, berseluar panjang dan menutup rambut serta leher. Pakaiannya juga mestilah longgar dan tidak menampakkan susuk badan.

Selain itu penggunaan tempat bersukan hendaklah memenuhi beberapa kriteria seperti yang berikut:

  1. Semasa bersukan, percampuran bebas antara lelaki dengan wanita adalah dilarang;
  2. Penggunaan tempat bersukan antara lelaki dengan perempuan seperti padang permainan, trek olahraga, gimnasium, kolam renang dan sebagainya hendaklah disediakan secara berasingan; dan
  3. Sekiranya kemudahan penggunaan tempat bersukan secara berasingan tidak dapat disediakan, sebagai alternatif, jadual masa penggunaan bagi lelaki dan wanita hendaklah dilaksanakan.

Di samping kriteria lain seperti waktu yang bersesuaian dan tidak menghalang pelaksanaan ibadah seperti sembahyang dan puasa serta tidak melibatkan pertaruhan atau perjudian.

Seterusnya, iu mulai timbul apabila acara larian sebegini dianjurkan oleh bank konvensional yang sudah sedia maklum sumber dan urusniaga mereka banyak terlibat dengan unsur riba. Walhal, riba merupakan suatu perkara yang dilarang dalam Islam. Hal ini jelas sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Surah al-Baqarah (275)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawasanya:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba, orang yang menjadi wakilnya (orang yang memberi makan hasil riba), orang yang menuliskan dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja.”

Riwayat Muslim (1598)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini juga menunjukkan pengharaman ke atas perbuatan membantu perkara yang batil. Hal ini termasuklah juga perbuatan mempromosikan atau mengiklankan produk riba. Dalam hal perniagaan, promosi merupakan salah satu cara atau teknik menggalakkan dan mempertingkatkan jualan barangan sesebuah syarikat. Salah satu cara promosi yang sering dilakukan pada masa kini adalah dengan mempamerkan jenama atau logo syarikat perniagaan pada baju-baju, papan iklan, barangan cenderahati, lalu diedarkan kepada orang awam secara percuma atau sebaliknya. Perbuatan mempamerkan itu adalah satu langkah promosi yang bertujuan agar jenama atau produk yang dikeluarkan itu dikenali dan diingati oleh pelanggan seterusnya mendorong hati pelanggan untuk tertarik dan bermuamalah dengannya.

Perkara ini turut boleh dilihat melalui penganjuran sesebuah acara atau aktiviti oleh bank konvensional yang mana tujuan ia dibuat sedemikian tidak lain dan tidak bukan adalah bagi mempromosikan dan menaikkan rating dan nama syarikat mereka dalam kalangan masyarakat. Penyertaan daripada kalangan peserta pula secara tidak langsung telah membantu mereka mengaut keuntungan dan menjana kewangan. Malahan pula sekiranya acara larian yang disertai turut disyaratkan untuk mengambil perlindungan insurans oleh syarikat tersebut yang mana kita sedia tahu bahawa insurans konvensional adalah haram di sisi Islam, maka pengharamannya lebih jelas. Antara sebab utama pengharaman insurans konvensional ialah melihat kepada bentuk transaksinya yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip asas jual beli dalam Islam seperti gharar (ketidaktentuan), riba, dan perjudian.

Mengenai membantu dalam perkara kemaksiatan, ulama membahagikan kepada dua bahagian iaitu membantu secara langsung dan membantu secara tidak langsung. Sepakat para ulama jika kerjasama itu adalah kerjasama secara langsung maka hukumnya adalah haram. Namun sekiranya kerjasama itu kerjasama yang tidak langsung ia terbahagi kepada 4 situasi:

  1. Apa-apa yang boleh membawa kepada perkara haram secara pasti iaitu pada asalnya ia adalah harus namun disebabkan faktor-faktor lain seperti boleh menyebabkan perkara haram maka hukumnya adalah haram.
  2. Sesuatu yang kebiasaannya boleh membawa kepada perkara yang haram maka dalam hal ini ulama mazhab Maliki dan Hanbali menilainya sebagai haram.
  3. Apa-apa yang menurut sangkaan boleh membawa kepada haram maka ulama dalam ini tidak mengharamkannya di samping mengambil langkah berhati-hati itu adalah lebih baik.
  4. Perkara yang sama sekali tidak membawa kepada sesuatu yang haram maka sepakat ulama bahawa hukumnya adalah harus.

Dalam isu berkaitan acara larian yang dianjurkan oleh bank konvensional ia adalah termasuk dalam situasi yang pertama iaitu secara pasti ia boleh membawa kepada perkara haram iaitu mempromosi bank konvensional. Hal ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:

للوسائل حكم المقاصد

Maksudnya: “Hukum suatu wasilah itu bergantung kepada maqasid (objektif yang ingin dicapai daripadanya).”

Para ulama bersepakat bahawa jika sesuatu itu boleh membawa kepada perkara yang haram secara jelas maka hukumnya juga adalah haram. Imam al-Zarkasyi ketika menjelaskan mengenai metode Imam al-Syafi’i berkenaan kaedah sadd al-Zara’ie beliau berkata:

ما يقطع بتوصيله إلى الحرام فهو حرام عندنا وعندهم

Maksudnya: “Apa-apa yang boleh membawa kepada haram secara pasti maka hukumnya adalah haram di sisi mazhab kami dan mereka.”

Sehubungan dengan itu, menyertai acara larian yang dianjurkan oleh bank konvensional malah memakai pula baju yang mempunyai lambang atau logo syarikat tersebut adalah haram. Hal ini kerana, ia termasuk dalam salah satu bentuk mempromosi bank konvensional tersebut meskipun ia dilakukan secara tidak langsung. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎﴿٢﴾

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Surah al-Ma’idah (2)

Dar al-Ifta’ Jordan (Badan Fatwa Jordan) ditanya berkenaan sebuah syarikat bank konvensional yang ingin menaja projek komersil yang akan dijalankan dengan tujuan untuk mempromosi syarikat mereka lalu dijawab:

لا يجوز التسويق للبنك التجاري الذي تشتمل عقوده على الرّبا المحرم والقروض بفائدة، وذلك لأن التّسويق يأخذ حكم الحرمة تبعاً

Maksudnya: “Haram memasarkan bank perdagangan yang akadnya termasuk riba yang diharamkan dan pinjaman yang berfaedah kerana pemasaran mengambil kira hukum larangan”

Kesimpulan

  1. Islam menitikberatkan kerjasama dalam perkara kebaikan dan tidak bekerjasama dalam kemaksiatan dan perkara yang tidak baik.
  2. Jika sesebuah acara larian itu melibatkan aktiviti mempromosi sistem bank riba semata-mata meskipun ia dilakukan secara tidak langsung, maka ia tidak diharuskan syarak.
  3. Perkara yang perlu diambil berat juga termasuklah penjagaan aurat dan percampuran antara lelaki dengan perempuan. Sebarang pemakaian yang mendedahkan aurat dan pergaulan yang melanggar batas syariat wajib dielakkan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menasihati sekalian umat Islam agar menilai dari setiap sudut syarak sebelum menyertai mana-mana program sebegini pada masa hadapan. 

Semoga dengan penerangan ini dapat memberi ilmu baru dan pengajaran buat kita semua.

Previous Article

Jangan Biar Hutang Jadi Beban Akhirat

Isu kegagalan membayar semula pinjaman pendidikan atau perniagaan kian menjadi perhatian dalam masyarakat. Statistik semasa menunjukkan trend yang membimbangkan, khususnya melibatkan agensi peminjam utama seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Hal ini bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan institusi berkenaan, malah turut mencerminkan tahap tanggungjawab peminjam dalam melunaskan amanah yang telah diberikan.

Sebagai contoh, data menunjukkan bahawa sebanyak RM32.29 bilion daripada RM71.3 bilion pinjaman PTPTN berada dalam kategori “sepatutnya dibayar balik”, melibatkan seramai 2,716,110 peminjam. [1] Sementara itu, sebanyak 97,866 orang, iaitu 49% daripada 197,348 peminjam aktif MARA, telah disenarai hitam kerana gagal membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan. [2] Bahkan mana-mana institusi kerajaan atau swasta yang menawarkan pinjaman juga mengalami masalah pembayaran semula hutang daripada peminjam.

Perbahasan Syarak Berkenaan Isu Bayaran Semula Hutang

Dalam ajaran Islam, melunaskan hutang merupakan suatu kewajipan yang sangat dititikberatkan. Tanggungjawab ini disokong oleh banyak dalil daripada al-Quran dan sunnah Nabi SAW, yang menegaskan betapa seriusnya urusan hutang dalam kehidupan seorang Muslim.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ 

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Kemudian, hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.”

Surah al-Baqarah (282)

Ayat ini secara zahirnya menunjukkan larangan menangguhkan pembayaran dalam semua bentuk hutang.[3] Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan hutang. Hal ini kerana, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta orang lain dengan niat untuk membayarnya kembali, maka Allah SWT akan membantunya melunaskan hutang itu. Tetapi sesiapa yang mengambil harta tersebut dengan niat untuk tidak membayarnya, maka Allah akan membinasakannya.”

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa niat seseorang dalam berhutang memainkan peranan besar di sisi Allah SWT. Sekiranya niatnya jujur untuk membayar, maka pertolongan Allah akan menyertainya. Namun, jika tujuannya adalah untuk menipu dan menganiaya si peminjam, maka akibatnya amat buruk bukan hanya di dunia bahkan juga di akhirat.

Dalam sebuah lagi hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin akan tergantung (tertahan daripada dihisab) disebabkan hutangnya, sehinggalah hutang tersebut dilangsaikan bagi pihaknya.”

Riwayat al-Tirmizi

Hadis ini menggambarkan betapa hutang boleh memberi kesan kepada nasib seseorang di alam akhirat. Meskipun seseorang itu soleh, amalannya boleh tertangguh daripada dihisab kerana masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan. Bahkan Imam al-‘Iraqi menyebutkan urusan roh itu tertangguh sehinggalah diselesaikan hutangnya.[4]

Lebih daripada itu, Islam juga mengecam keras perbuatan melengahkan pembayaran hutang, terutamanya bagi mereka yang sebenarnya berkemampuan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: “Menangguhkan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu bentuk kezaliman.”

Riwayat al-Bukhari

Hadis ini menunjukkan bahawa sikap melambat-lambatkan pembayaran hutang tergolong dalam perbuatan zalim. Menariknya, ungkapan dalam hadis tersebut disampaikan secara umum sebagai satu bentuk penegasan yang tegas bagi menimbulkan rasa gerun, sekaligus mendorong orang ramai agar menjauhi amalan menangguhkan bayaran hutang tanpa alasan yang sah.[5] Ini bermakna, apabila seseorang yang berkemampuan sengaja tidak membayar hutangnya, ia dianggap telah berlaku zalim terhadap si pemberi hutang. Islam amat menekankan prinsip keadilan dalam semua urusan, termasuk dalam urusan kewangan dan muamalat.

Secara keseluruhannya, ajaran Islam menegaskan bahawa hutang bukan sekadar tanggungjawab duniawi, tetapi juga amanah yang membawa kesan kepada akhirat. Oleh itu, umat Islam perlu berusaha untuk membayar hutang secepat mungkin, menjaga niat ketika berhutang, serta tidak mengabaikan hak orang lain. Membayar hutang bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosial, malah ia adalah ibadah yang dipandang tinggi di sisi Allah SWT.

Sebagaimana kita bersungguh-sungguh ketika meminjam, begitu jugalah seharusnya kita berusaha dengan tekun untuk membayar semula hutang tersebut, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil setiap bulan. Insya-Allah, usaha tersebut dapat memberikan kelegaan kepada pemiutang dan menunjukkan bahawa penghutang benar-benar komited menunaikan tanggungjawabnya.

Solusi Bayaran Hutang Bagi Mereka yang Belum Mampu

Namun, sekiranya peminjam benar-benar berada dalam keadaan belum mampu untuk melunaskan hutang yang dipinjam disebabkan belum berpendapatan, faktor kesihatan dan seumpamanya. Dalam hal ini Islam tetap mengiktiraf realiti tersebut dan menawarkan pendekatan yang adil dan berperikemanusiaan. Syariat Islam tidak menekan golongan yang berhutang dalam kesempitan, sebaliknya menyeru agar mereka diberi tempoh penangguhan atau ruang bernafas sehingga mereka mampu melunaskan hutang tersebut.

Perkara ini bertepatan dengan amalan yang dilakukan oleh pihak institusi pinjaman. Sebagai contoh, antara amalan yang telah dilakukan oleh pihak institusi tersebut ialah:

  • Membuka ruang kepada para peminjam untuk membuat penstrukturan semula nilai bayaran bulanan bagi setiap hutang yang dilakukan.
  • Menyediakan potongan bayaran balik bagi mereka yang mampu membayar secara bayaran penuh (full settlement).
  • Peminjam yang melunaskan bayaran lebih awal tidak akan dikenakan sebarang caj upah sepanjang tempoh 12 bulan tersebut.
  • Memberi pilihan tempoh pembayaran hutang.
  • Peminjam pelajaran boleh membayar menggunakan akaun II KWSP.

Berikut merupakan beberapa solusi bayaran hutang bagi mereka yang belum mampu:

  • Peminjam perlu mempunyai niat bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan hutang.
  • Peminjam boleh berunding dengan pihak institusi pinjaman berkenaan isu pembayaran semula hutang.
  • Bagi peminjam yang berkemampuan boleh melakukan bayaran secara penuh (full settlement) bagi mendapatkan diskaun.
  • Jika diberi tempoh baharu bagi bayaran semula hutang maka peminjam perlu berusaha untuk membayar mengikut kadar yang ditetapkan.
  • Peminjam yang mempunyai pendapatan tetapi mempunyai komitmen yang tinggi maka disarankan untuk menggunakan akaun II KWSP bagi menyelesaikan hutang.

Kesimpulan

Kesedaran dan tanggungjawab dalam melunaskan hutang merupakan satu aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman. Hutang bukan sahaja memberi implikasi kepada hubungan sesama manusia, tetapi turut memberi kesan terhadap urusan akhirat, sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW. Oleh itu, setiap individu yang berhutang hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawabnya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, walaupun secara beransur. Islam juga tidak menafikan kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah peminjam, malah menyediakan garis panduan yang penuh ihsan dengan menggalakkan penangguhan atau penstrukturan semula bayaran bagi mereka yang benar-benar tidak mampu. Inisiatif pihak institusi pinjaman seperti penawaran bayaran fleksibel, potongan, serta penggunaan KWSP turut mencerminkan pendekatan yang mesra peminjam dan selari dengan prinsip keadilan dalam Islam. Justeru, umat Islam hendaklah menjadikan hutang sebagai amanah yang tidak boleh diabaikan, serta berusaha memelihara integriti diri dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Membayar hutang merupakan salah satu asas penting dalam pembinaan insan yang berintegriti dan bertanggungjawab, yang seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang sejahtera dan dicintai. Secara keseluruhannya, usaha untuk melunaskan hutang juga salah satu langkah penting dalam mencapai kestabilan kewangan untuk jangka masa panjang. 

Wallahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan