Bagaimana Islam Mendidik Umat Menggunakan Tenaga Secara Cermat?

Pelaksanaan agenda Revolusi Industri telah mendorong peningkatan yang mendadak dalam penggunaan sumber tenaga semula jadi seperti air, angin, elektrik, geoterma dan suria. Penggunaan tanpa kawalan berisiko mengakibatkan berlakunya pembaziran hingga boleh mengancam kehidupan generasi akan datang. Oleh itu, kawalan dan penjagaan sumber tenaga amat penting demi kelestarian alam sekitar dan manfaat terhadap masyarakat.

Dari sudut bahasa, konservasi tenaga (conservation of energy) merujuk kepada penggunaan sumber tenaga seperti elektrik dan air pada kadar yang paling rendah. Ia juga merangkumi langkah-langkah untuk mencegah sebarang bentuk pembaziran dalam penggunaan sumber-sumber tersebut. Sementara dari segi istilah, konsep penjagaan tenaga merujuk kepada pengurusan sumber tenaga untuk kepentingan generasi akan datang. Sejajar dengan itu, konsep ini bertepatan dengan Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Developmental Goals) seperti SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab dan SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim.  

Dalam membincangkan perihal penggunaan tenaga dan sumber, secara asasnya syariat Islam sentiasa menitik beratkan peranan serta tanggungjawab manusia yang diamanahkan sebagai khalifah untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya. Berdasarkan tanggungjawab ini, segala perbuatan yang bersifat menindas alam seperti penggunaan sumber secara berlebihan, pembaziran tenaga elektrik, eksploitasi hutan, pembuangan sisa ke dalam sungai dan seumpamanya merupakan antara perkara yang dilarang oleh syarak. Hal ini kerana perbuatan sedemikian menyalahi salah satu prinsip dalam maqasid syariah iaitu memelihara dan memakmurkan alam.

Penjagaan Tenaga Menurut Maqasid Islam

Penjagaan tenaga menurut maqasid Islam menuntut agar sumber tenaga digunakan secara berhemah dan seimbang bagi menjamin kemaslahatan manusia serta kelestarian alam sekitar. Pembaziran atau penggunaan secara melampau bukan sahaja menyalahi prinsip pertengahan (wasatiyyah), malah boleh menggugat tujuan utama syariah seperti menjaga nyawa, akal, harta dan persekitaran. Sebaliknya, penggunaan yang terlalu terbatas pula boleh menjejaskan keperluan asas dan kesejahteraan hidup. Justeru itu, sikap sederhana dan bijaksana dalam menggunakan tenaga merupakan asas kepada pembangunan yang lestari dan beretika sebagaimana dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورً

Maksudnya: “Janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di leher kerana sikap bakhil dan janganlah pula kamu menghulurkannya dengan sangat boros, kerana akibatnya kamu akan berada dalam keadaan yang tercela serta menyesal.”

Surah al-Isra’ (29)

Ayat ini menekankan pentingnya bersikap sederhana dan seimbang dalam membelanjakan sesuatu termasuklah penggunaan tenaga. Seseorang tidak boleh terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri dan keluarga daripada menikmati kemudahan yang sepatutnya. Dalam masa yang sama tidak boleh juga terlalu boros hingga menghabiskan semua sumber yang ada. Kedua-dua sikap ini sama ada melampau dalam menahan atau berlebih-lebihan dalam membelanjakan adalah tercela. Sifat yang terpuji adalah kesederhanaan iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan pertimbangan yang wajar. Sikap ini mencerminkan kematangan dalam membuat keputusan serta menjamin kesejahteraan dalam jangka panjang.

Dalam konteks penggunaan tenaga, ayat ini mengajar bahawa sikap boros boleh membawa kepada kehabisan sumber dan membebankan diri serta masyarakat, manakala sikap terlalu berjimat dalam perkara yang patut digunakan pula boleh merencatkan kelangsungan hidup dan manfaat umum. Akhirnya, seseorang yang gagal mengurus sumber secara cermat akan dipersalahkan oleh diri sendiri dan masyarakat apabila keperluan tidak dapat ditampung lagi seperti kenderaan yang rosak di tengah jalan akibat dipaksa melampaui batas. Sikap sederhana dan berhemah adalah asas kelestarian tenaga yang selari dengan nilai maqasid Islam.

Tanggungjawab Terhadap Amanah Dan Pemeliharaan Alam

Penggunaan tenaga yang tidak terkawal bukan sekadar satu bentuk pembaziran, bahkan membawa kesan langsung terhadap kelangsungan hidup dan keseimbangan alam yang menjadi asas kepada kestabilan ekosistem dan sumber kehidupan. Alam ini berperanan sebagai ibu kepada manusia kerana daripadanya lahir segala keperluan asas seperti makanan, air, udara dan tempat tinggal yang memungkinkan kelangsungan kehidupan. Sebarang kerosakan terhadap alam merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap sumber anugerah Ilahi yang menyara kehidupan. Islam menegaskan bahawa manusia merupakan penjaga yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus serta memelihara sumber alam dengan penuh hikmah dan pertimbangan. Dalam dunia moden yang dipenuhi pelbagai kemudahan, kecenderungan terhadap penggunaan tenaga secara berlebihan menjadi ujian terhadap tahap kesedaran dan pertanggungjawaban terhadap sumber. Sikap cermat dan beretika dalam pengurusan tenaga merupakan manifestasi ketaatan kepada perintah Tuhan serta bukti keinsafan terhadap kesan jangka panjang seperti sabda Nabi SAW:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ الله مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَنَاظِر كيْفَ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini manis dan menghijau. Allah Azza wa Jalla telah menjadikan kamu sebagai khalifah untuk mengurus segala yang ada di dalamnya, lalu Dia akan melihat bagaimana kamu bertindak.”

(Riwayat Muslim)

Sudut pandang bahawa dunia ini ‘hijau dan manis’ memberikan gambaran jelas tentang tarikan kuat dunia terhadap manusia termasuk dalam hal penggunaan tenaga. Keindahan dan keselesaan hidup moden seperti penggunaan elektrik, pendingin hawa, gajet pintar dan pelbagai kemudahan lain menjadikan manusia terdorong untuk terus menambah kebergantungan kepada sumber tenaga. Seperti buah yang ranum dan manis, tenaga yang mudah diakses ini menjadi rebutan dan digunakan secara berlebihan tanpa menyedari bahawa ia hanyalah satu nikmat sementara. Dalam keadaan ini, manusia telah diamanahkan untuk bertindak sebagai pengurus dan penanggungjawab terhadap segala sumber yang digunakan termasuk tenaga agar tidak menyalahgunakannya demi kelangsungan manfaat sejagat.

Dengan mengambil tanggungjawab sebagai pemelihara bumi, manusia perlu menyedari bahawa penggunaan tenaga berkait rapat dengan kelestarian alam. Penggunaan tenaga secara tidak terkawal menyumbang kepada pencemaran udara, perubahan iklim dan kepupusan sumber asli. Oleh itu, sikap cermat dalam menggunakan tenaga seperti mengurangkan pembaziran elektrik, memanfaatkan teknologi lestari dan memilih sumber tenaga boleh diperbaharui adalah sebahagian daripada amanah yang mesti dipikul. Tindakan bijak dalam pengurusan tenaga bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan hidup hari ini, malah memastikan kesinambungan kehidupan generasi akan datang dalam keadaan yang lebih selamat dan terpelihara.

Sebagai kesimpulan, Islam menggariskan panduan menyeluruh dalam mendidik umatnya agar menggunakan tenaga secara cermat dan beretika sebagai sebahagian daripada amanah khalifah dan prinsip maqasid syariah dalam memelihara alam. Tanggungjawab ini tidak terletak pada individu semata-mata, malah menuntut peranan kolektif melibatkan kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat dan keluarga demi memastikan keseimbangan antara keperluan hidup dan kelestarian sumber. Antara langkah penting yang perlu diambil ialah:

  1. Peranan Individu:
    1. Mengamalkan kesederhanaan dan tidak membazir dalam penggunaan tenaga harian.
    2. Menyedari bahawa tenaga adalah amanah dan setiap penggunaan akan dipertanggungjawabkan.
    3. Menjadikan nilai etika Islam sebagai panduan dalam gaya hidup moden.
  2. Peranan Keluarga dan Institusi Pendidikan:
    1. Mendidik generasi tentang nilai ekologi dan tanggungjawab terhadap sumber sejak kecil.
    2. Menyepadukan prinsip kelestarian alam dalam silibus dan pembelajaran harian.
    3. Menyemai kesedaran bahawa pemeliharaan alam adalah sebahagian daripada ajaran Islam.
  3. Peranan Masyarakat:
    1. Membudayakan sikap berhemah dalam penggunaan tenaga di tempat awam dan tempat kerja.
    2. Menjalankan kempen kesedaran serta menggalakkan penggunaan teknologi lestari.
    3. Menolak budaya konsumerisme yang melampau dan mementingkan keuntungan tanpa etika.
  4. Peranan Kerajaan:
    1. Menggubal dasar pembangunan berteraskan kelestarian alam dan keadilan sosial.
    2. Menyediakan insentif dan sokongan terhadap teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
    3. Memastikan dasar ekonomi, perindustrian dan pendidikan menyokong nilai penjagaan alam menurut neraca syarak.

Akhir kata, dunia ini bukan milik mutlak manusia, tetapi satu pinjaman yang akan dipersoalkan. Maka, mengurus tenaga dengan cermat adalah sebahagian daripada amanah keimanan.

Wallahu a’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.