Solarvest Raih Penarafan ESG FTSE4Good 4-Bintang, Tersenarai Antara Prestasi ESG Terbaik Dunia

Kuala Lumpur, 27 Januari 2026 – Solarvest Holdings Berhad (“Solarvest” atau “Kumpulan”), pakar tenaga bersih serantau, telah mencapai penarafan 4-Bintang di bawah Penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) FTSE4Good, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap pertumbuhan mampan dan daya tahan jangka panjang.

Dalam semakan terkini pada Disember 2025, Solarvest merekodkan skor ESG keseluruhan 3.9, iaitu tahap tertinggi di bawah penilaian FTSE4Good Bursa Malaysia. Ini merupakan peningkatan sebanyak 18% berbanding skor 3.3 pada kitaran semakan sebelumnya, serta peningkatan berterusan daripada 2.9 pada penilaian terdahulu, mencerminkan penambahbaikan konsisten tahun ke tahun dalam pengurusan risiko dan amalan ESG Solarvest.

Solarvest turut menonjol apabila disenaraikan dalam 14% teratas syarikat di peringkat global, sekali gus menekankan prestasi kukuhnya berdasarkan penanda aras ESG antarabangsa. Di Malaysia, Solarvest merupakan satu-satunya syarikat dalam subsektor tenaga boleh diperbaharui yang mencapai Penarafan ESG FTSE4Good 4-Bintang.

Pencapaian ini mencerminkan hasil daripada penambahbaikan berterusan dan berfokus dalam rangka kerja kelestarian Solarvest. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kumpulan telah memperkukuh impaknya merentasi dimensi alam sekitar, sosial dan ekonomi, termasuk pemformalan Dasar Kelestarian dan Dasar Hak Asasi Manusia, bagi memastikan amalan bertanggungjawab dalam operasi dalaman serta rantaian nilainya secara menyeluruh.

Seiring itu, Solarvest turut melaksanakan strategi penyahkarbonan sifar bersih yang komprehensif, dengan sasaran jangka terdekat untuk mengurangkan pelepasan Skop 1 dan Skop 2 sebanyak 40% menjelang 2030, serta aspirasi jangka panjang untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Mengulas pencapaian tersebut, Dato’ Davis Chong, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings Berhad, berkata:
“Kami sentiasa percaya bahawa pertumbuhan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab. Kejayaan sebenar dan berkekalan dibina atas komitmen kami terhadap alam sekitar, keprihatinan terhadap masyarakat, serta kemajuan mampan jangka panjang. Peningkatan penarafan ESG FTSE4Good ini mencerminkan pendekatan berdisiplin dan berhemah yang kami amalkan dalam menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab, sekali gus mengukuhkan komitmen kami terhadap piawaian kelestarian global, menyokong peralihan tenaga Malaysia, dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada para pemegang kepentingan.”

Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia merupakan sebahagian daripada Siri Indeks FTSE4Good. Diperkenalkan oleh penyedia indeks dan data global, FTSE Russell, Siri Indeks FTSE4Good direka untuk mengukur prestasi syarikat yang menunjukkan amalan ESG yang kukuh. Indeks FTSE4Good digunakan oleh pelbagai peserta pasaran untuk membangunkan dan menilai dana pelaburan bertanggungjawab serta produk berkaitan lain. Penilaian FTSE Russell adalah berdasarkan prestasi dalam bidang seperti Tadbir Urus Korporat, Kesihatan & Keselamatan, Anti-Rasuah dan Perubahan Iklim. Syarikat yang tersenarai dalam Siri Indeks FTSE4Good memenuhi pelbagai kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.