Untung Bersih Eco-Shop Naik 15.5 Peratus Kepada RM61.89 Juta Pada Suku Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Keuntungan bersih Eco-Shop Marketing Bhd (Eco-Shop) meningkat kepada RM61.89 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Nov, 2025 (S2 TK2026) daripada RM53.60 juta, mewakili kenaikan sebanyak 15.5 peratus tahun ke tahun.

Perolehan bagi suku tahun dalam tinjauan juga meningkat 2.9 peratus kepada RM 714.83 juta daripada RM694.49 juta sebelumnya, didorong oleh pengembangan berterusan rangkaian kedai kumpulan itu, iaitu penambahan bersih sebanyak 18 kedai baharu.

“Jumlah kedai meningkat daripada 323 kedai pada 30 Nov, 2024 kepada 409 kedai pada 30 Nov, 2025.

“Oleh itu, jumlah transaksi jualan juga meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada 30.6 juta pada S2 TK2026,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama 2026, Eco-Shop merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM120.65 juta daripada RM93.19 juta pada separuh tahun yang sama dengan perolehan sebanyak RM1.40 bilion, menunjukkan kenaikan 2.7 peratus daripada RM1.36 bilion pada S1 2025, didorong oleh penambahan bersih sebanyak 86 kedai baharu tahun ke tahun.

Syarikat peruncitan produk isi rumah itu berkata jumlah transaksi jualan meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada 59.9 juta pada separuh pertama 2026.

“Pertumbuhan pendapatan diterjemahkan kepada keuntungan kasar yang lebih tinggi sebanyak RM 451.7 juta pada separuh pertama 2026.

“Margin keuntungan kasar mengukuh kepada 32.2 peratus pada separuh pertama 2026, meningkat daripada 26.4 peratus, susulan kenaikan harga jualan, campuran produk yang menggalakkan dan pengukuhan ringgit,” kata Eco-Shop.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Shop Jessica Ng berkata dengan perancangan kukuh bagi membuka kedai baharu pada S2 TK2026, kumpulan itu berada di landasan yang tepat untuk melangkaui sasarannya iaitu sebanyak 70 kedai baharu pada tahun ini.

“Kami percaya segmen kedai dolar Malaysia masih belum ditembusi sepenuhnya, sekali gus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar dan kami telah menyediakan strategi untuk terus mengembangkan rangkaian kedai kami bagi meningkatkan jangkauan pasaran kami.

“Selain menambah rangkaian kedai, kami juga akan meningkatkan pengalaman dalam kedai menerusi inisiatif pengubahsuaian yang lebih segar dan berterusan.

“Ini bagi memastikan persekitaran membeli-belah yang menyenangkan sambil kekal setia kepada janji kami mengenai kemampuan,” katanya.

Beliau juga berkata kumpulan tersebut akan terus mengukuhkan bahagian pasarannya, meningkatkan keupayaan pelaksanaan dan pengalaman pelanggan bagi memacu pertumbuhan dan pulangan yang mampan.

Sementara itu, kumpulan tersebut mengumumkan dividen peringkat tunggal interim sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026, dan tarikh pembayaran dividen dijangka pada 26 Feb, 2026.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.