TNB Cadang Program Sukuk RM10 Bilion Dengan Tempoh 50 Tahun

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengemukakan program nota jangka sederhana Islam (sukuk wakalah) dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Syarikat utiliti elektrik itu berkata, program berkenaan mempunyai tempoh matang sehingga 50 tahun daripada tarikh terbitan pertama, dengan setiap sukuk yang diterbitkan di bawah program itu mempunyai tempoh antara satu hingga 50 tahun.

“Program ini memberi fleksibiliti kepada TNB untuk menerbitkan sukuk dari semasa ke semasa termasuk yang mematuhi garis panduan atau rangka kerja kemampanan dan berkaitan kemampanan.

“Program sukuk wakalah ini telah diberikan penarafan akhir AAA oleh RAM Rating Services Bhd,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut TNB, hasil daripada penerbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal patuh Syariah, pelaburan, tujuan korporat am dan keperluan modal kerja serta untuk membiayai semula pinjaman konvensional sedia ada dan kemudahan pembiayaan Islam.

“Hasil yang diperoleh daripada terbitan sukuk kemampanan juga akan digunakan untuk membiayai dan membiayai semula projek yang memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan TNB.

“Program itu juga akan membolehkan TNB melaksanakan penerbitan sukuk berkaitan kemampanan dan kemampanan bagi menyokong laluan kemampanannya, dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Menurut TNB, program itu dijangka memberi fleksibiliti kepada syarikat dan anak syarikatnya dalam menentukan masa untuk mengumpulkan dana dan akses kepada kumpulan pelabur yang pelbagai di pasaran modal domestik.

CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd berperanan sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program berkenaan manakala CIMB Islamic Bank Bhd dan Maybank Islamic Bhd sebagai penasihat syariah bersama.

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.