Cloudpoint Technology: Berkembang Kepada Keterlibatan Pelanggan Berpacukan AI

Saranan BELI dan TP sebanyak MYR0.99 dikekalkan, potensi kenaikan harga saham 82% dengan kadar hasil dividen ~4%

Cloudpoint Technology sedang mengambil alih CX One dengan nilai sebanyak MYR16.8j untuk memperkukuh penyelesaian perusahaannya yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dengan menampilkan keupayaan-keupayaan melibatkan pusat panggilan saluran pelbagai, bot sembang AI, dan keterlibatan pelanggan. Urus niaga ini melengkapi penawaran rangkaian, keselamatan siber, dan awan sedia ada sambil mempertingkatkan peluang-peluang untuk hasil berulang.

Tiada perubahan dibuat pada ramalan dan TP sementara menunggu pengesahan tentang garis masa pemuktamadan urus niaga ini. Kami bertindak mengekalkan saranan untuk CLOUDPT kerana penawarannya yang menarik menerusi nilai P/E FY27F sebanyak 9.3x dan pulangan dividen ~4%.

Pengambilalihan strategik perkukuh kemampuan AI dan pengalaman pelanggan

CLOUDPT berhasrat untuk mengambil alih 100% pegangan CX One dengan nilai sebanyak MYR16.8j secara tunai, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam bahagian penyelesaian perusahaan dipacu AI dan melengkapkan ekosistem transformasi digitalnya. Urus niaga ini membawa kepada P/E FY27F 7x, berdasarkan jaminan untung berjumlah MYR2.4j pada FY27, iaitu di bawah P/E bergerak 13x yang direkodkan CLOUDPT. CX One mempunyai kepakaran dalam komunikasi bersepadu, penyelesaian pusat panggilan saluran pelbagai, bot sembang AI, dan platform keterlibatan pelanggan, yang melengkapi kekuatan sedia ada CLOUDPT dalam perkhidmatan-perkhidmatan rangkaian, keselamatan siber, dan AI.

Pengambilalihan ini juga membuka ruang untuk ia menjalankan jualan silang antara kelompok pelanggan kedua-dua pihak, khususnya dalam segmen perbankan dan perusahaan besar yang menyaksikan kadar penggunaan AI dan transformasi pengalaman pengguna rancak berkembang. Pihak pengurusan menegaskan bahawa transformasi pusat panggilan adalah antara yang terawal dan kes paling praktikal dalam menerapkan penggunaan AI dalam perusahaan, dipacu oleh permintaan kian meningkat untuk automasi, kecekapan operasi, dan pengalaman pengguna lebih baik

Mempertingkatkan pengewangan AI menerusi penyelesaian CX

Kami memandang positif akan pengambilalihan ini kerana ia memperkukuhkan pendedahan CLOUDPT kepada aliran-aliran hasil yang bermargin lebih tinggi dan berulang, sambil memperkembangkan keupayaan pengewangan AI-nya. Urus niaga ini diperkuat lagi menerusi jaminan untung kumulatif sebanyak MYR7.45j untuk FY26-28 secara kumulatif, iaitu MYR2.35j (FY26), MYR2.4j (FY27), dan MYR2.7j (FY28), yang dapat mengurangkan risiko-risiko dari segi pelaksanaan. Pengambilalihan CX One ini bukan sekadar mengembangkan keupayaan teknologinya kepada penyelesaian keterlibatan pelanggan dipacu AI tetapi turut mempersiapsiagakan kemampuan syarikat untuk mula melabur dalam transformasi digital perusahaan secara meluasnya.

Dengan permintaan perusahaan yang semakin rancak untuk automasi AI, keterlibatan saluran pelbagai, dan platform pengalaman pelanggan berasaskan awan, kami percaya keadaan kumpulan ini selepas pengambilalihan akan menjadi lebih bersedia untuk melaksanakan perjanjian yang jauh lebih besar, menambah baik sumbangan hasil berulang, dan merungkai pertumbuhan perolehan berjangka lebih panjang. Risiko utama: Kehilangan pelanggan penting, persaingan, dan kehilangan/kelambatan projek. Nota: TP kami yang sama sebanyak MYR0.99 termasuk premium ESG 4%, disebabkan oleh markah CLOUDPT 3.2 berbanding paras median negara iaitu 3.0.

Faktor Pemacu Utama

i. Usaha pengambilalihan strategik memperkukuh kemampuan-kemampuan AI dan pengalaman pelanggan
ii. Meningkatkan pengewangan AI menerusi penyelesaian CX
iii. Melengkapkan tindanan transformasi AI

Risiko Utama

i. Kehilangan pelanggan utama
ii. Persaingan
iii. Kehilangan/kelambatan projek

Profil Syarikat

Cloudpoint menyediakan penyelesaian rangkaian perusahaan dan pusat data, penyelesaian keselamatan siber, perkhidmatan IT profesional dan juga perkhidmatan awan dan aplikasi perisian,

Pemegang Saham (%)

Era Jasakita 52.0
Choong Wai Hoong 8.1
Yew Chong Cheong 8.1

Carta Saranan

Penganalisis
Queenie Tan +603 2302 8127 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.

Previous ArticleNext Article

Keuntungan Bersih Keyfield Naik 171 Peratus Kepada RM56.14 Juta Pada Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Keyfield International Bhd melonjak sebanyak 171 peratus kepada RM56.13 juta bagi suku pertama 2026, berakhir pada 31 Mac 2026 berbanding RM20.67 juta pada suku pertama 2025.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku tersebut susut 45.6 peratus kepada RM 47.18 juta daripada RM 86.74 juta pada suku pertama 2025, disebabkan oleh aktiviti penyewaan yang berkurangan sebanyak 55 peratus kepada RM32.7 juta.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Keyfield International mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham pada suku pertama 2026 yang akan dibayar pada 16 Jun, 2026.

Ketua Pegawai Kewangannya, Eugene Kang berkata pendapatan kapal terjejas oleh penggunaan lebih rendah pada suku tersebut kerana kebanyakan kapal disewa pada suku pertama adalah kapal tunda dan bekalan (AH’TS) bagi pengendalian kapal sauh, justeru permintaan dan penggunaan cenderung untuk kekal stabil sepanjang tahun.

“Kumpulan ini juga menghadapi kos operasi lebih tinggi terutamanya perbelanjaan bahan api, susulan kenaikan harga bahan api selepas tercetusnya perang pada awal bulan Mac.

“Harga bahan api meningkat sejurus selepas perang dan kekal tinggi. Sisi positifnya ialah sebaik sahaja kapal-kapal itu disewa dari awal April dan seterusnya, kebanyakan kos bahan api telah ditanggung oleh pelanggan,” katanya.

Sementara itu, kadar penggunaan menurun kepada 36.1 peratus untuk armadanya pada suku pertama 2026 daripada 44.1 peratus sebelumnya.Kang berkata Keyfield menjangkakan penggunaan akan meningkat secara progresif sepanjang suku akan datang, diunjurkan sekitar 70 peratus pada suku kedua dan melebihi 80 peratus pada suku ketiga, dan berpotensi mencapai 90 peratus, walaupun dok kering berjadual untuk satu atau dua kapal mungkin mengehadkan kemungkinan mencapai penggunaan penuh.

Beliau juga menjangkakan prestasi yang lebih baik pada suku keempat kerana projek yang dimulakan lewat tahun ini dijangka terus menyumbang pendapatan menjelang akhir tahun.

Mengenai operasi luar negaranya, Kang berkata Timur Tengah kekal sebagai pasaran utama kumpulan untuk kapal sokongan luar pesisir (OSV), memandangkan peranan dominan rantau ini dalam industri minyak dan gas global.

“Kami kini mempunyai lima kapal di Timur Tengah, dengan empat sudah beroperasi. Sebuah kapal, pada asalnya dijadualkan memulakan operasi pada akhir Mac atau awal April telah ditangguhkan hingga akhir Mei atau awal Jun disebabkan oleh kekangan bekalan.

“Secara keseluruhan, operasi Timur Tengah kami tidak terjejas oleh konflik tersebut kerana kapal-kapal tersebut tidak melalui Selat Hormuz,” katanya.

Walaupun Timur Tengah penting untuk mempelbagaikan asas pendapatannya, Kang berkata pengembangan lebih lanjut ke rantau ini membawa beberapa risiko dalam situasi semasa.

Mengenai momentum peningkatan pemberian tender tempatan, beliau berkata peluang muncul di semua rantau, walaupun Semenanjung Malaysia dan Sabah kini menyaksikan bahagian tender yang lebih besar berbanding dua hingga tiga tahun lepas.

Beliau berkata bahawa walaupun Sarawak terus menyumbang dari segi kontrak, tumpuan aktiviti tender telah beralih lebih kepada Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA