Keuntungan Bersih Keyfield Naik 171 Peratus Kepada RM56.14 Juta Pada Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Keyfield International Bhd melonjak sebanyak 171 peratus kepada RM56.13 juta bagi suku pertama 2026, berakhir pada 31 Mac 2026 berbanding RM20.67 juta pada suku pertama 2025.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku tersebut susut 45.6 peratus kepada RM 47.18 juta daripada RM 86.74 juta pada suku pertama 2025, disebabkan oleh aktiviti penyewaan yang berkurangan sebanyak 55 peratus kepada RM32.7 juta.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, Keyfield International mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 1.0 sen sesaham pada suku pertama 2026 yang akan dibayar pada 16 Jun, 2026.

Ketua Pegawai Kewangannya, Eugene Kang berkata pendapatan kapal terjejas oleh penggunaan lebih rendah pada suku tersebut kerana kebanyakan kapal disewa pada suku pertama adalah kapal tunda dan bekalan (AH’TS) bagi pengendalian kapal sauh, justeru permintaan dan penggunaan cenderung untuk kekal stabil sepanjang tahun.

“Kumpulan ini juga menghadapi kos operasi lebih tinggi terutamanya perbelanjaan bahan api, susulan kenaikan harga bahan api selepas tercetusnya perang pada awal bulan Mac.

“Harga bahan api meningkat sejurus selepas perang dan kekal tinggi. Sisi positifnya ialah sebaik sahaja kapal-kapal itu disewa dari awal April dan seterusnya, kebanyakan kos bahan api telah ditanggung oleh pelanggan,” katanya.

Sementara itu, kadar penggunaan menurun kepada 36.1 peratus untuk armadanya pada suku pertama 2026 daripada 44.1 peratus sebelumnya.Kang berkata Keyfield menjangkakan penggunaan akan meningkat secara progresif sepanjang suku akan datang, diunjurkan sekitar 70 peratus pada suku kedua dan melebihi 80 peratus pada suku ketiga, dan berpotensi mencapai 90 peratus, walaupun dok kering berjadual untuk satu atau dua kapal mungkin mengehadkan kemungkinan mencapai penggunaan penuh.

Beliau juga menjangkakan prestasi yang lebih baik pada suku keempat kerana projek yang dimulakan lewat tahun ini dijangka terus menyumbang pendapatan menjelang akhir tahun.

Mengenai operasi luar negaranya, Kang berkata Timur Tengah kekal sebagai pasaran utama kumpulan untuk kapal sokongan luar pesisir (OSV), memandangkan peranan dominan rantau ini dalam industri minyak dan gas global.

“Kami kini mempunyai lima kapal di Timur Tengah, dengan empat sudah beroperasi. Sebuah kapal, pada asalnya dijadualkan memulakan operasi pada akhir Mac atau awal April telah ditangguhkan hingga akhir Mei atau awal Jun disebabkan oleh kekangan bekalan.

“Secara keseluruhan, operasi Timur Tengah kami tidak terjejas oleh konflik tersebut kerana kapal-kapal tersebut tidak melalui Selat Hormuz,” katanya.

Walaupun Timur Tengah penting untuk mempelbagaikan asas pendapatannya, Kang berkata pengembangan lebih lanjut ke rantau ini membawa beberapa risiko dalam situasi semasa.

Mengenai momentum peningkatan pemberian tender tempatan, beliau berkata peluang muncul di semua rantau, walaupun Semenanjung Malaysia dan Sabah kini menyaksikan bahagian tender yang lebih besar berbanding dua hingga tiga tahun lepas.

Beliau berkata bahawa walaupun Sarawak terus menyumbang dari segi kontrak, tumpuan aktiviti tender telah beralih lebih kepada Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Umum Majlis Penasihat Syariah Baharu

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan barisan Majlis Penasihat Syariah (MPS) baharunya untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.

Barisan baharu terdiri daripada ahli berikut:

  1. Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar – Senator, Dewan Negara (Lantikan Baharu)
  2. Profesor Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali – Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam UIAM (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pelantikan Semula)
  3. Dato’ Dr Ashraf Md Hashim – Perunding Syariah (Kewangan Islam) (Pelantikan Semula)
  4. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim – Mufti Pahang (Pelantikan Semula)
  5. Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr Haji Anhar Haji Opir – Mufti Selangor (Pelantikan Semula)
  6. Dr Marjan Muhammad – Timbalan Presiden Penyelidikan, Institut ISRA, Universiti INCEIF (Pelantikan Semula)
  7. Encik Burhanuddin Lukman – Bekas Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) (Pelantikan Semula)

Ditubuhkan pada 16 Mei 1996 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993, MPS merupakan pihak berkuasa untuk menentukan aplikasi prinsip Syariah untuk perniagaan atau transaksi pasaran modal Islam (ICM).

Di samping itu, MPS menyokong pertumbuhan pasaran melalui resolusi dan panduan dasar, di samping mengekalkan integriti Syariah.

MPS terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal pasaran terkemuka dengan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan Islam, pasaran modal dan undang-undang.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata MPS memainkan peranan penting dalam memastikan ICM Malaysia kekal responsif terhadap perkembangan pasaran yang sentiasa berubah, sambil menegakkan prinsip Syariah yang berlandaskan Maqasid alShariah. “Panduan yang diberikan oleh MPS terus menyokong inovasi, kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang ekosistem ICM.”

“Komposisi baharu MPS, dengan kepakaran dan pengalaman kolektif ahlinya, berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan panduan yang mantap dan berpandangan jauh mengenai hal ehwal Syariah. Dengan kepimpinan Islam yang dipandu oleh Maqasid al-Syariah sebagai pembeza utama, MPS akan memacu pertumbuhan dan kepimpinan global ICM Malaysia,” katanya.

Bagi pihak SC, Dato’ Faiz merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli MPS yang akan bersara atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perkhidmatan berdedikasi kepada industri ICM. “Pandangan dan kepimpinan mereka telah menyumbang ke arah memajukan ICM Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”

Untuk maklumat lanjut mengenai MPS, sila lawati https://www.sc.com.my/development/icm/shariah/members-of-the-shariah-advisorycouncil