
KUALA LUMPUR, 6 Julai — CIMB Treasury and Markets Research mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tidak berubah pada 2.75 peratus Khamis ini berikutan penurunan harga minyak dunia telah mengurangkan risiko inflasi.
Firma penyelidikan itu memaklumkan telah merendahkan unjuran inflasi selepas gencatan senjata Amerika Syarikat-Iran, yang mencerminkan kelembapan harga minyak mentah Brent serta trend perbezaan harga minyak mentah dan produk petroleum ditapis selain pelaksanaan program BUDI Diesel.
Menurutnya penurunan harga diesel bersubsidi dijangka merendahkan inflasi sebanyak tujuh hingga lapan mata asas (bps) dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memaklumkan risiko inflasi pusingan kedua masih belum berakhir.
“Kenaikan inflasi baru-baru ini masih tertumpu kepada bahan api dan elektrik manakala sumbangan daripada komponen lain kekal stabil, sekali gus menunjukkan tiada kesan kenaikan harga yang menyeluruh,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, CIMB Treasury and Markets Research memaklumkan unjuran asasnya masih mengambil kira sumbangan sebanyak 60 hingga 70 mata asas daripada kesan pusingan kedua terhadap inflasi makanan dan inflasi teras dalam tempoh tiga suku tahun akan datang.
Menurutnya aspek itu disokong oleh data harga pengeluar yang menunjukkan bahawa tekanan kos beralih secara beransur-ansur daripada bahan mentah kepada barangan separa siap dan barangan siap.
CIMB Treasury and Markets Research memaklumkan data indeks harga pengeluar (PPI) secara berturutan turut menunjukkan input pembuatan separa siap menjadi pemacu berterusan kepada inflasi pengeluar bulan ke bulan walaupun kesan kenaikan harga bahan api mentah semakin berkurangan.
Menurutnya keadaan itu menunjukkan masih terdapat risiko kenaikan inflasi.
Menurut firma penyelidikan itu, kenaikan OPR sebelum ini adalah di luar kitaran memperketat dasar monetari yang lazimnya berlaku ketika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus dan inflasi keseluruhan pada sekitar atau melebihi tiga peratus.
— BERNAMA










