BM GreenTech Perluaskan Penglibatan Dalam Aset Tenaga Boleh Diperbaharui Berskala Utiliti Melalui Pengambilalihan SPV NEFIN

Kuala Lumpur – BM GreenTech Berhad (BM GreenTech) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Plus Xnergy Holding Sdn Bhd (Plus Xnergy), telah memperoleh 100% pegangan ekuiti dalam NEFIN V Power Sdn Bhd (NVP), sebuah syarikat tujuan khas (Special Purpose Vehicle, SPV) yang mempunyai hak untuk membangunkan ladang solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 29.99 MWac di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP).

Loji tenaga NVP dijangka menjana purata 60,000 MWh tenaga solar setahun, sekali gus mengelakkan pelepasan lebih daripada 1.1 juta tan karbon sepanjang tempoh operasi selama 25 tahun.

Pengambilalihan ini akan menambah saluran pendapatan huluan kepada portfolio Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) tenaga boleh diperbaharui (RE) milik BM GreenTech, sekali gus melengkapkan aktiviti perniagaan berasaskan projek sedia ada.

NVP telah memperoleh kontrak daripada pembeli tenaga (offtaker) bagi tenaga boleh diperbaharui yang dijana, sekali gus menyediakan aliran pendapatan berulang yang stabil kepada Plus Xnergy bermula 2027, apabila loji tenaga PV tersebut mula beroperasi.

Pembeli tenaga tersebut terdiri daripada syarikat-syarikat Fortune 500 dalam industri semikonduktor dan makanan yang mempunyai pelaburan besar di Malaysia dan Asia Tenggara serta komited terhadap sasaran penyahkarbonan.

Pengarah Urusan Kumpulan BM GreenTech, Chia Lik Khai, berkata:

“Pengambilalihan ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam strategi pertumbuhan kami untuk merebut peluang yang membolehkan kami bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi serta memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik. Tenaga boleh diperbaharui berskala utiliti masih berada pada peringkat awal di Malaysia. Dengan memasuki bidang ini sekarang, kami menjadi antara penyedia awal tenaga boleh diperbaharui kepada syarikat korporat dan industri, sekali gus membolehkan kami memanfaatkan potensi pertumbuhan yang besar.”

Pengambilalihan ini turut mengukuhkan portfolio penyelesaian tenaga bersih dan teknologi alam sekitar bersepadu BM GreenTech, selain menyokong transformasi profil G.E.S. (Generation, Efficiency, Storage) Plus Xnergy ke arah menjadi pemain tenaga boleh diperbaharui bersepadu.

Pada separuh pertama tahun 2026 sahaja, Plus Xnergy telah mengkomersialkan salah satu projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) penggunaan sendiri terbesar di Malaysia, iaitu BESS berkapasiti 20 MWh untuk sebuah kilang pembuatan makanan di Perak.

Syarikat itu juga kini sedang melaksanakan projek solar 36 MWp dan BESS 45 MWh di KLIA Aeropolis.

Pembelian NVP akan dibiayai melalui dana dalaman dan dilaksanakan menerusi dua Perjanjian Jual Beli (SPA).

SPA pertama melibatkan pembelian 900,000 saham biasa daripada NEFIN Energy (Malaysia) Sdn Bhd, yang mewakili 90% daripada jumlah modal saham terbitan dan berbayar NVP, pada harga RM3.24 juta.

Baki 100,000 saham biasa akan dibeli daripada NEFINCO (Malaysia) Sdn Bhd pada harga RM360,000.

Bayaran pembelian akan dibuat dalam dua peringkat, iaitu 50% semasa SPA dimeterai dan bakinya selepas transaksi selesai.

Selepas pengambilalihan ini, Plus Xnergy akan memperluaskan penglibatannya dalam projek NVP dengan beralih daripada peranan sedia ada sebagai kontraktor EPC kepada pemilik dan pengendali jangka panjang aset solar berskala utiliti tersebut.

Bagi FY2026, portfolio Develop, Build, Own and Operate (DBOO) BM GreenTech merangkumi 15 aset dengan jumlah kapasiti 29 MWp. Daripada jumlah itu, 25 MWp pegangan kasar merentasi sembilan aset dimiliki menerusi usaha sama Plus Xnergy.

Pengambilalihan loji tenaga NVP ini akan meningkatkan lagi saluran aset tenaga boleh diperbaharui yang menjana pendapatan berulang kepada 74 MWp.

Sehingga Jun 2026, portfolio Plus Xnergy di seluruh negara merangkumi lebih 510 MWp kapasiti solar yang disambungkan ke grid, yang telah menjana lebih 3,579 GWh tenaga, selain mempunyai 100 MWh projek BESS yang telah siap dan sedang dilaksanakan.

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA