LSH Capital Beli Tanah Perbadanan Aset Keretapi Di Subang Jaya Pada Harga RM197.9 Juta

KUALA LUMPUR: Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) akan membeli tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada harga RM197.9 juta bagi membangunkan projek pembangunan bercampur berorientasikan transit (TOD) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.91 bilion di Subang Jaya, Selangor.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, LSH Capital berkata anak syarikatnya, Astana Setia Development Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli dan pembangunan bersyarat dengan RAC bagi memperoleh dua lot tanah pegangan bebas seluas 7.04 hektar.

Projek TOD itu dijangka merangkumi sehingga enam menara kediaman yang dilengkapi komponen runcit dan komersial bersepadu.Dengan anggaran kos pembangunan kasar sebanyak RM1.32 bilion, projek itu akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima tahun.Kerja pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua 2027, manakala siap sepenuhnya disasarkan pada separuh kedua 2032.Cadangan pembangunan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta pihak berkuasa berkaitan, dengan urus niaga dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga 2027.

LSH Capital berkata projek itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan dalam rangkaian pengangkutan Selangor, di samping merangsang aktiviti pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyokong pertumbuhan bandar yang mampan untuk jangka panjang.Tanah tersebut terletak di kawasan pembangunan matang Subang Jaya, kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, dengan akses mudah ke Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).Kawasan itu turut dihubungkan dengan Stesen Komuter Batu Tiga dan hab pertukaran rel bersepadu Subang Jaya, manakala Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah terletak kira-kira lima kilometer dari tapak pembangunan.Harga pembelian tanah itu, bersamaan kira-kira RM261 bagi setiap kaki persegi, dipersetujui berdasarkan prinsip “pembeli dan penjual yang rela” (willing buyer, willing seller).Nilai tersebut lebih rendah daripada penilaian bebas sebanyak RM202 juta, atau sekitar RM266 bagi setiap kaki persegi, yang dibuat oleh Nawawi Tie Leung Property Consultants Sdn Bhd.

Pemerolehan itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman, pinjaman bank dan kutipan dana ekuiti.LSH Capital telah membayar deposit sebanyak 10% menggunakan dana dalaman, manakala baki pembiayaan akan ditentukan kemudian menerusi gabungan beberapa sumber pembiayaan.

Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Capital, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, berkata projek itu mencerminkan keyakinan RAC terhadap keupayaan syarikat dan akan memperkukuhkan saluran projek pembinaan serta pembangunan hartanah kumpulan.”Kami berharap dapat merealisasikan sepenuhnya potensi bank tanah ini bagi menjana nilai mampan untuk jangka panjang kepada pemegang saham serta komuniti yang kami berkhidmat,” katanya.

–Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.