Generasi Y, Katakan YA Pada Simpanan

Generasi Y kini menghadapi sebuah kehidupan yang sukar dimana mereka perlu berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Lantaran itu, dengan adanya simpanan yang kukuh mampu menjamin masa depan untuk mereka yang bergenerasi Y.

Namun, apa yang direkodkan separuh daripada generasi Y gagal untuk menyimpan sebahagian daripada gaji mereka. Hal ini amat membimbangkan sekaligus memberi kesan kepada kehidupan generasi Y pada masa hadapan.

Berikut merupakan 4 panduan pelan simpanan yang efektif bagi generasi Y untuk melakukan simpanan sebagai dana masa hadapan mereka kelak.

1. Cipta Senarai Belanjawan

Anda perlu sedia maklum tentang jumlah pendapatan yang dimilki pada setiap bulan dan berapa banyak komitmen bulanan yang ditanggung. Komitmen ini termasuklah, sewa rumah, kos petrol, bayaran ansuran kereta dan sebagainya.

Catat segala jenis perbelanjaan tetap yang wajib dilunaskan pada setiap bulan. Setelah dicipta senarai belanjawan, kemudian tetapkan satu jumlah dari baki ini untuk disimpan sebagai simpanan anda.

2. Jumlah Simpanan Yang Sesuai

Ramai di antara individu yang masih culas unuk membuat simpanan kecemasan. Acapkali, kita dengar dan baca, cadangan yang diberikan untuk jumlah simpanan kecemasan ini adalah sebanyak 3 bulan daripada gaji.

Contohnya di sini, jika anda memiliki gaji sebanyak RM2000 sebulan, bermakna anda perlu mempunyai simpanan kecemasan sebanyak RM6000. Pentingnya dana kecemasan ini sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kepada diri anda.

3. Menetapkan Matlamat

Kadang kala, kalau terus menyimpan tanpa hala tuju, akan turut memberikan kerugian kepada anda juga. Ada lebih baiknya, sekiranya anda menetapkan satu matlamat utama anda untuk lebih gigih dan berdisiplin membuat simpanan.

Contohnya, tetapkan matlamat untuk membeli rumah dalam tempoh masa 5 tahun akan datang. Walau apa cara sekalipun, simpanan anda perlu cukup jumlahnya sehingga sampai tempoh masa yang telah ditetapkan. Cara begini, dapat membantu anda untuk terus bersemangat hendak menyimpan.

4. Jejak Perbelanjaan

Lumrah manusia yang hidup di muka bumi, sering kali membuat sesuatu yang mengikut kepada emosi. Sebagai contoh yang paling mudah dilihat apabila berbelanja. Tidak dinafikan, ramai yang tersilap langkah dengan menggunakan sepenuhnya duit yang ada untuk berbelanja sakan disebabkan terlampau mengikut emosi.

Pentingnya, untuk anda menjejaki segala jenis perbelanjaan yang telah dilakukan bagi mengelakkan anda berterusan melakukan sebarang perbelanjaan yang kemudiannya memakan diri.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.