10,000 Jurutera Tempatan Akan Dilatih Di Bawah Program Semikonduktor Arm – Amirudin


SUBANG JAYA, 28 Julai (Bernama) — Seramai 10,000 jurutera tempatan dijangka mendapat latihan dalam bidang semikonduktor melalui program latihan oleh syarikat reka bentuk semikonduktor dari United Kingdom, Arm dalam tempoh 10 tahun, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata inisiatif itu menyasarkan sekitar 1,000 peserta setiap tahun, dengan kumpulan pertama seramai 400 jurutera telah mendaftar.

“Jadi, jika kita melaksanakan sebanyak dua atau tiga kumpulan, kita boleh mencapai sasaran itu setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program latihan Arm On-Demand di sini hari ini.

Program itu merupakan kerjasama strategik dengan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang bertujuan mempercepatkan hasrat membangunkan cip buatan tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun, sebagai tindak balas kepada permintaan global yang semakin meningkat untuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pusat data.

Kemuncak acara itu ialah majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Arm, ASEM dan 20 universiti di Malaysia yang melambangkan komitmen bersama untuk memajukan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang semikonduktor.

Program itu juga menghimpunkan peserta dari lebih 40 universiti dan jurutera yang mewakili lebih 80 syarikat dalam sektor semikonduktor dan teknologi, mencerminkan minat dan komitmen negara yang kukuh terhadap pembangunan bakat dalam reka bentuk cip termaju.

Amirudin berkata latihan berkenaan yang menumpukan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC) peringkat awal (front-end IC design) telah bermula awal tahun ini dengan kursus IC Design Bahagian 1 di Puchong dan sejak itu telah meletakkan Malaysia sebagai pemain IC peringkat awal yang terkemuka dan mampan dalam industri semikonduktor.

Setakat ini, Amirudin berkata kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap tahun bagi memacu rantaian nilai semikonduktor di peringkat awal.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi telah meningkatkan sokongannya daripada RM60 juta kepada RM100 juta, sekali gus menunjukkan keyakinan di peringkat nasional terhadap inisiatif itu dengan jumlah pelaburan dijangka melebihi RM100 juta dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Amirudin juga percaya Program Arm On-Demand akan menukar Selangor dan Malaysia daripada bergantung sepenuhnya kepada pelaburan langsung asing untuk ke arah membangunkan kepimpinan yang akan membentuk syarikat pemula niaga yang kemudiannya boleh menjadi syarikat terkemuka Selangor dan Malaysia untuk melabur dan mengeksport ke negara lain.

“Kita juga mesti membayangkan sebuah ekosistem teknologi di mana kita tidak hanya mengeksport, tetapi juga mewujudkan ruang dan tempat di mana syarikat Malaysia dapat bergerak naik dalam rantaian nilai ekonomi untuk menggunakan dan menjadi pengguna cip-cip ini.”

“Kita mesti bergerak ke arah memiliki harta intelek supaya cip-cip ini bukan hanya dilabel sebagai ‘Dipasang di Selangor’, tetapi ‘Direka di Selangor’, ‘Buatan Malaysia’,” kata Amirudin.

Beliau berkata cita-cita itu akan diperincikan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dilancarkan tahun depan, sambil beliau menyatakan keyakinan bahawa bidang semikonduktor serta kejuruteraan elektrik dan elektronik akan diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.

— BERNAMA

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.