Bank Dunia Semak Semula Unjuran Pertumbuhan KDNK Malaysia Bagi 2025 Kepada 3.9 Peratus


KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) — Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 disemak semula kepada 3.9 peratus iaitu penurunan sebanyak 0.6 mata peratusan berbanding unjuran pada Januari 2025, menurut laporan Global Economic Prospects oleh Bank Dunia

Penurunan unjuran tersebut dikaitkan dengan kesan makroekonomi yang tidak menentu susulan halangan perdagangan yang lebih tinggi.

Menurut Bank Dunia halangan perdagangan boleh menekan pertumbuhan walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada sokongan dasar fiskal seperti program perbelanjaan sosial dan pelaburan awam.

Laporan itu juga berkata penyatuan fiskal secara sederhana dijangka diteruskan di Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain di rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) turut menyaksikan semakan semula ketara iaitu Filipina dan Vietnam masing-masing mencatatkan penurunan unjuran sebanyak 0.8 mata peratusan dengan unjuran pertumbuhan diturunkan kepada 5.3 peratus dan 5.8 peratus.

Unjuran bagi Thailand dikurangkan sebanyak 1.1 mata peratusan kepada 1.8 peratus manakala Myanmar mencatatkan penurunan paling ketara iaitu sebanyak 4.5 mata peratusan, menjadikan unjuran KDNK negara itu bagi 2025 kepada -2.5 peratus, menurut laporan tersebut.

Pertumbuhan global diunjurkan merosot kepada 2.3 peratus pada 2025 dengan kelembapan dalam kebanyakan ekonomi berbanding tahun lepas.

Kadar pertumbuhan ini akan menjadi yang paling perlahan sejak 2008, tidak termasuk tempoh kemelesetan global.

Menurut laporan tersebut, Malaysia yang merupakan antara ekonomi dengan sektor pembuatan berorientasikan eksport yang besar, amat terdedah kepada kemunculan semula ketegangan perdagangan, kos perdagangan yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih lemah dalam ekonomi utama.

Laporan itu berkata petunjuk aktiviti pembuatan termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan utama dan petunjuk perdagangan barangan menunjukkan penurunan kebelakangan ini.

Menurut laporan berkenaan, beberapa ekonomi berkembang pesat dan sedang membangun (EMDE) yang terdedah kepada perdagangan seperti Malaysia, menyaksikan komponen pesanan eksport baharu dalam PMI pembuatan melemah dengan ketara sejak November susulan peningkatan ketidaktentuan dasar perdagangan global.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.