Industri Hiliran Minyak Dan Gas, Petrokimia Kekurangan Lebih 20,000 Pekerja – JPDC

JOHOR BAHRU, 15 Julai (Bernama) — Sektor industri hiliran minyak dan gas (O&G) serta petrokimia kini berdepan kekurangan lebih 20,000 tenaga kerja bagi kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan loji-loji berkaitan di negara ini, kata Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC).

Pemangku Ketua Eksekutif JPDC Izhar Hifnei Ismail berkata keadaan itu mungkin disebabkan ramai yang tidak mempunyai maklumat mengenai cara bagi mendapatkan latihan kemahiran yang diperlukan oleh industri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kalangan siswazah untuk menceburi industri tersebut menerusi program latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, termasuk yang disediakan oleh JPDC seperti Program Kemahiran Minyak dan Gas (SOGA) yang meliputi 45 kursus teknikal berkaitan industri pemulihan loji.

Ia antara lainnya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih, pengurusan keselamatan dan pengurusan tenaga, yang mana kesemuanya merupakan kerja-kerja penting bagi memastikan kelancaran operasi loji-loji di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

“Malah, bidang kerja ini juga mempunyai pasaran kerja yang luas, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara seperti Singapura, Indonesia, Vietnam, China, Kanada dan Amerika,” katanya pada sidang media program Mega Gerak Kerjaya MyFutureJobs Johor 2023, di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Izhar Hifnei berkata JPDC setakat ini telah melatih hampir 6,500 tenaga kerja industri hiliran minyak dan gas serta industri petrokimia menerusi Program SOGA dan juga Program ‘Bridging Gaps’ dengan sokongan dana daripada Kementerian Ekonomi.

Program SOGA tidak hanya mempersiapkan tenaga kerja dengan tahap kecekapan, tetapi turut memberi persijilan mandatori berkaitan bidang kerja yang diperlukan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas hiliran di PIPC atau lokasi lain di Malaysia.

JPDC juga, katanya, merangka modul dan kursus latihan berpandukan jenis kemahiran diperlukan oleh syarikat dan kursus ditawarkan dikendalikan oleh 15 institusi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) awam.

“Program Bridging Gaps pula memberi penekanan dalam menyediakan latihan pengalaman kerja untuk siswazah-siswazah dalam bidang-bidang teknikal dan kejuruteraan. 

“Mereka berpeluang mendapat kemahiran dan meningkatkan pemahaman berkaitan peranan jurutera loji penapisan, jurutera medan dan jurutera penyelenggaraan dalam persekitaran loji minyak dan gas,” katanya.

Mengulas Mega Gerak Kerjaya MyFutureJobs Johor 2023 selama dua hari sehingga esok, Izhar Hifnei berkata sejumlah 11 syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja berkaitan industri hiliran O&G serta petrokimia menyertai program tersebut.

Menurutnya, hampir 300 peluang pekerjaan telah ditawarkan oleh semua syarikat berkenaan termasuk  Malaysia Marine Heavy Engineering Sdn Bhd, Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd, Cenviro Sdn Bhd, Elektro Serve (M) Sdn Bhd dan Global Facilities Management Sdn Bhd.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.