Kekurangan Penuai Sawit Beri Impak Keuntungan Dari Malaysia – SDP

KUALA LUMPUR, 23 Ogos  (Bernama) —  Sime Darby Plantation Bhd (SDP) mengakui keuntungan dari Malaysia mungkin terjejas disebabkan kekurangan penuai buah kelapa sawit tetapi yakin operasi lain akan mengimbangi kejatuhan tersebut.

Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata kumpulan itu menghadapi kekurangan lebih 4,000 pekerja, yang mana pada masa ini telah menjejaskan proses penuaian buah kelapa sawit meliputi kawasan seluas 60,000 hektar.

Akibatnya, operasi di Malaysia hanya boleh mengeluarkan kurang daripada separuh jumlah pengeluaran keseluruhan kumpulan pada separuh pertama 2022.

“Ini hanya berlaku di Malaysia, yang membentuk 50 peratus daripada operasi kami, tetapi terdapat 50 peratus lagi yang sepatutnya berjalan dengan baik kerana tidak ada sebarang halangan kepada pengeluaran kami di negara-negara lain,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media prestasi SDP bagi suku kedua tahun kewangan 2022 hari ini.

Bagi mengurangkan masalah itu, SDP akan membawa masuk sekurang-kurangnya 3,000 pekerja asing secara berperingkat-peringkat menjelang akhir 2022.

Langkah itu juga akan memanfaatkan bulan yang mana pengeluaran biasanya menurun, yang akan bermula bulan depan hingga November.

SDP juga turut menghadapi masalah berikutan sekatan eksport dari Indonesia.

Pengarah Urusan Sime Darby Oils Mohd Haris Mohd Arshad berkata, sekatan itu menyebabkan pihaknya perlu mengetepikan satu tan minyak sawit untuk pasaran tempatan bagi setiap empat tan minyak yang akan dieksport.

“Ini memperlahankan aktiviti kami kerana anda perlu mencari seseorang yang sanggup membeli untuk pasaran tempatan terlebih dahulu. Hanya selepas anda berjaya menjual di pasaran tempatan dan kepada pembeli tempatan, barulah anda boleh mengeksport.

“Oleh itu ia menjejaskan kecekapan operasi kami,” katanya.

Mohd Haris berkata firma itu juga kehilangan peluang untuk menjual kerana tidak dapat mengeksport pada Mei 2022 apabila harga minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada paras melebihi RM6,000 setiap tan.

Secara keseluruhan, beliau berkata harga minyak sawit mentah berkemungkinan kekal pada julat semasa tetapi lebih tinggi sedikit pada RM4,500 setan menjelang akhir tahun.

Paras harga terendah dijangka pada RM3,500 setan, tambahnya.

SDP mencatatkan lonjakan sebanyak 32 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM812 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022, daripada RM617 juta pada suku kedua 2021. 

Peningkatan itu dirangsang oleh harga purata MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih kukuh.

Hasil pula meningkat kepada RM5.59 bilion daripada RM4.41 bilion sebelumnya.

Pada suku kedua, harga purata MSM dan PK yang direalisasikan melonjak sebanyak 44 peratus dan 40 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM5,213 setan dan RM3,339 setan.

Pengeluaran tandan buah segar (FFB) bagaimanapun, terjejas disebabkan kekurangan tenaga buruh yang berpanjangan dalam operasinya di Malaysia.

— BERNAMA 

Artikel asal:

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.