Kerajaan Komited Terhadap Pelaksanaan NIMP 2030, Perlu RM95 Bilion Sepanjang Tujuh Tahun – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) — Kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang memerlukan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan itu terutamanya daripada sektor swasta, disalurkan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

“Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu memangkin dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP,” katanya pada pelancaran NIMP 2030 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak dan pemain industri.

“Perjalanan untuk mentransformasikan industri memerlukan tindakan segera daripada semua pihak. Pelaksanaan adalah penting untuk menukar NIMP 2030 kepada tindakan yang nyata dan hasil yang boleh diukur,” katanya.

Justeru, katanya NIMP akan dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara yang bukan sahaja melibatkan jentera kerajaan tetapi juga sektor swasta yang akan bekerjasama untuk mencapai visi dan matlamatnya.

“Kami akan menubuhkan Majlis NIMP 2030 Negara, dengan penyertaan daripada wakil kementerian dan industri yang berkaitan,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata tadbir urus awam-swasta akan diwujudkan untuk memastikan pelaksanaannya tepat pada masanya dan berkesan.

“Sebuah unit pengurusan penyampaian (DMU) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan ditubuhkan untuk menyelaraskan semua usaha dan memacu pelaksanaan yang bersepadu melibatkan pihak berkepentingan,” katanya.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa NIMP 2030 akan membantu harapan negara untuk Malaysia yang lebih baik dengan menyediakan panduan yang diperlukan dan hala tuju yang jelas untuk pembangunan sektor pembuatan bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

“Kerajaan akan memastikan pelan tersebut dilaksanakan secara teliti dan memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor swasta melalui prospek pelaburan dan perdagangan yang lebih baik tetapi juga rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa visi NIMP 2030 hanya dapat direalisasikan dengan jayanya jika “kita bekerjasama secara bersatu-padu, ke arah mencapai misi. Hanya dengan komitmen kepada perpaduan, kita dapat memenuhi harapan kita untuk negara.”

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Meskipun Hadapi Saingan Geopolitik, AS Kekal Pelabur Utama Di Malaysia – PM Anwar

NEW YORK, 22 Sept (Bernama) — Meskipun wujud persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China selain berlaku ketegangan di Laut China Selatan dan peningkatan ketara pelaburan China di Malaysia sejak kebelakangan ini namun, AS kekal menjadi pelabur utama negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia ialah sebuah negara merdeka justeru, mengalu-alukan perdagangan dan pelaburan daripada semua pihak.

Pentadbiran AS dahulu dan sekarang sentiasa menyokong dan menjadi sekutu tradisional, katanya.

“Kami juga mempunyai hubungan yang sangat erat dengan China. Saya berasa selesa apabila bertemu Presiden Xi Jinping, dan telah bertemu tiga kali dengan Perdana Menteri Li Qiang,” katanya ketika sesi soal jawab pada acara Invest Malaysia New York di sini, pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap tama Regaining Malaysia’s Lead in Asia (Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia) pada acara anjuran Bursa Malaysia itu.

Anwar kini berada di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Lebih 100 wakil daripada syarikat utama AS dan pengurus dana menghadiri acara Invest Malaysia itu selain perbincangan meja bulat dengan syarikat Fortune 500 yang diadakan sebelumnya.

“Bagi saya situasi ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang unik untuk memanfaatkan dan meraih faedah daripada hubungan kami dengan AS dan China,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata negara memperoleh manfaat daripada pelaburan besar oleh syarikat AS seperti Amazon Web Services, Boeing dan Intel yang semuanya berkembang secara besar-besaran di Malaysia.

Malaysia, kekal sebagai antara negara yang mempunyai infrastruktur terbaik di rantau ini, dan sentiasa melaksanakan langkah untuk membantu pelabur yang bimbang mengenai isu seperti aspek mudah menjalankan perniagaan, prosedur kewangan dan rasuah, katanya.

Pada 2022, AS menyumbang kepada aliran masuk bersih tertinggi ke Malaysia, dengan nilai berjumlah kira-kira RM37.8 bilion.

Pada Ogos lepas, Duta Besar AS di Malaysia, Brian McFeeters (berkhidmat di Malaysia sehingga 24 Ogos, 2023) berkata syarikat AS telah membuat komitmen pelaburan bernilai RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Malaysia sejak 18 bulan lepas.

Beliau berkata itu merupakan pelaburan besar dalam bidang yang AS mahu memperkukuh kehadirannya, iaitu sektor elektronik dan semikonduktor, serta segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan besar.

— BERNAMA