Kerajaan Masih Tanggung RM10.8 Bilion Subsidi Elektrik

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Terdapat penjimatan kira-kira RM4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini yang melibatkan subsidi elektrik, susulan langkah kerajaan untuk tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat-syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata kerajaan masih menanggung jumlah subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal RM14.9 bilion.

Beliau berkata pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan adalah menjadi keutamaan, dalam memastikan perbelanjaan Kerajaan dapat disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara.

“Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaan dengan mengenal pasti kaedah yang bukan sahaja berkesan. malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan yang paling minimum kepada Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan sidang khas Dewan Negara Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen, hari ini.

— LAGI

NEGARA-SUBSIDI (GULUNG) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Sementara itu, Sim berkata dalam konteks menentukan penerima subsidi yang layak juga perlu dipelbagaikan kerana jenis subsidi dan golongan pengguna adalah berbeza.

“Penetapan kriteria kelayakan masih dalam penilaian kerana amatlah penting ia dikaji dengan teliti agar agihan sumber dibuat dengan lebih cekap dalam masa yang sama mengurangkan kesilapan exclusion dan inclusion.

“Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas yang telah diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar bersesuaian yang melibatkan semua kumpulan masyarakat baik B40, M40 mahupun T20, sama ada di bandar atau kawasan luar bandar,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA