Kerajaan Perlu Kurangkan Subsidi Kepada Golongan Kaya Sebelum Perkenal Semula GST – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Semasa temu bual bersama Haslinda Amin daripada Bloomberg di Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute, Anwar mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang paling cekap dan telus.

“Bila kita laksanakannya? Ia bergantung pada ambang. Apabila rakyat hidup dalam kemiskinan yang teruk, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, tetapi bukan dasar asas meluas yang memberi kesan kepada golongan sangat miskin.

“Jadi, anda perlu beri sedikit masa, namun adakah anda langsung tidak melakukan apa-apa? Tidak. Anda perlu meluaskan asas cukai, sudah tentunya.Tetapi anda perlu terlebih dahulu mengurangkan subsidi kepada orang kaya,” katanya.

Beliau berkata rasionalisasi subsidi tidak akan menjadi keputusan popular tetapi kerajaan ada masa empat tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Justeru, katanya, kerajaan perlu melakukan rasionalisasi subsidi secepat mungkin kerana perbelanjaan subsidi untuk negara adalah antara yang tertinggi di Asia.

Mengenai pelaburan, Anwar berkata, Malaysia menumpukan kepada kejelasan dasar untuk memastikan negara mampu menarik pelaburan seperti yang berjaya dilakukan pada era 90-an.

Beliau berkata dengan dasar yang betul, kejelasan dasar ekonomi dan disokong oleh tadbir urus yang baik Malaysia boleh melakukan lebih baik lagi daripada era 90-an.

“Kami mempunyai pasukan yang bagus dan kami perlu menerima hakikat bahawa kami memerlukan pelaburan. Perlu ada kemudahan untuk menjalankan perniagaan. Perlu ada kejelasan dasar ekonomi.

“Pada asasnya terdapat konsep Madani, tetapi mengapa saya memanggilnya Madani? Ia adalah kerana keprihatinan dan belas kasihan.

“Kita perlu menangani isu ketidaksamaan, kita ada rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, dan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia. Kita perlu menangani isu ini.

“Dan dengan dasar yang jelas, kami telah dapat menarik pelaburan utama dalam tempoh lima hingga enam bulan lepas dari China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Pelaburan terbesar daripada Infineon Technologies, (melabur) lima bilion euro (kira-kira RM24.9 bilion) ke Malaysia. Ini akan sangat membantu untuk meningkatkan keyakinan,” kata Perdana Menteri.

Kerajaan memperkenalkan Ekonomi Madani yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG)  bersih-sifar negara seawal 2050 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang disasarkan untuk merancakkan semula sektor pembuatan negara serta meningkatkan pemulihan nilai tambahnya kepada RM587.5 bilion menjelang 2030.

Mengenai pelaburan Tesla, Anwar berkata, syarikat automotif terkemuka dari AS itu memutuskan untuk membuka ibu pejabat operasinya di Malaysia pada akhir Oktober atau awal November tahun ini.

Manakala tiga syarikat tempatan menjalin kerjasama dengan SpaceX, sambil menambah Starlink berpotensi untuk memberi manfaat yang besar kepada Malaysia, katanya. 

Ketika ditanya sektor mana yang pelabur harus melabur di Malaysia, Anwar berkata, Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan ketara dalam bidang transformasi digital, transformasi tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

“Mengenai cukai pelaburan, ia perlu menarik bagi pelaburan… apa sahaja yang perlu dilakukan, apa sahaja yang perlu untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi kompetitif yang menarik untuk pelaburan,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.