Pasaran Hartanah Stabil, Transaksi Meningkat Kepada RM85.37 Bilion Pada Separuh Pertama 2023

KAJANG, 14 Sept (Bernama) — Aktiviti pasaran hartanah negara mencatatkan prestasi stabil pada separuh pertama 2023 dengan jumlah nilai transaksi meningkat 1.1 peratus kepada RM85.37 bilion daripada RM84.40 bilion yang direkodkan pada tempoh sama 2022.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata walau bagaimanapun jumlah bilangan transaksi pasaran hartanah mengalami penurunan kecil sebanyak 2.1 peratus kepada 184,140 pada separuh pertama 2023 daripada 188,002 yang dicatatkan pada separuh pertama tahun lepas.

“Subsektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai lebih 60 peratus daripada keseluruhan bilangan transaksi dan hampir 53 peratus daripada keseluruhan nilai transaksi.

“Ini diikuti oleh subsektor pertanian dengan bahagian hampir 19.8 peratus dari segi bilangan manakala subsektor perdagangan di tempat kedua dengan bahagian 19.6 peratus dari segi nilai transaksi,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2023 di sini, pada Khamis.

Beliau berkata segmen pasaran kediaman baharu masih mengalami sentimen berhati-hati apabila lebih 16,000 unit baharu dilancarkan dalam tempoh penilaian itu berbanding lebih 33,000 unit pada tahun lepas, dengan sebahagian besar pelancaran baharu terletak di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata prestasi segmen unit siap dibina tidak terjual pula bertambah baik dalam tempoh pemulihan pasaran apabila mencatatkan penurunan 5.3 peratus kepada 26,286 unit kediaman bernilai RM18.3 bilion daripada 27,746 unit kediaman bernilai RM18.4 bilion pada separuh kedua 2022.

“Hampir 58 peratus daripada kediaman yang tidak terjual adalah hartanah kondominium/pangsapuri manakala dari segi lingkungan harga, hampir separuh adalah yang berharga lebih RM500,000 seunit.

“Johor kekal dengan bilangan kediaman yang tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 4,717 unit diikuti Selangor dengan 4,307 unit. Dua negeri ini masing-masing merekodkan nilai yang tidak terjual lebih RM4.0 bilion,” katanya.

Beliau berkata Johor dapat mengurangkan bilangan yang tidak terjual sebanyak 10.3 peratus manakala Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 16.5 peratus berbanding angka tahun lepas.

Ahmad berkata aktiviti pembinaan kediaman mencatatkan penurunan bagi siap dibina, mula dibina dan penawaran baru dirancang masing-masing sebanyak 10.4 peratus, 1.2 peratus dan 15.8 peratus berbanding yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.

Selangor menyumbang bilangan yang siap dibina tertinggi merangkumi 31.2 peratus (8,874 unit) daripada jumlah keseluruhan nasional, diikuti Perak (12.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12.7 peratus).

Semasa sidang media, beliau berkata pasaran hartanah diunjurkan meningkat pada separuh kedua 2023 didorong kestabilan politik dan pelancaran dasar besar negara.

“Dasar besar negara dilancarkan pada separuh kedua 2023 seperti Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Jadi dasar ini akan memberi impak yang positif kepada ekonomi dan akan menambah kepada pertumbuhan dalam sektor hartanah,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman