Kerjasama Malaysia-Tesla Melangkaui Sektor EV – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Potensi kerjasama di antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor kenderaan elektrik (EV) semata-mata tetapi turut membabitkan sektor lain, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata akan ada pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk sebelum akhir minggu ini.

“Terdapat lebih daripada sektor EV yang akan kita bincangkan dalam potensi kerjasama ini.

“Apa yang kita mahu ialah untuk menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 di sini hari ini.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, AS, akan membuat penampilan sulung rasminya di Malaysia dengan pelancaran rasmi berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, beliau berharap Tesla akan mengambil bahagian dalam IEMS 2023 yang dijadualkan pada 4-6 Oktober.

Beliau berkata IEMS 2023 berharap untuk memperoleh RM4 bilion dalam teknologi hijau dan prospek pelaburan yang diterajui kemampanan berbanding RM3 bilion yang diperoleh pada tahun lepas.

Kira-kira 400 peserta pameran dari 40 negara seperti China, Jepun, Taiwan, Sweden, Austria dan Belanda dijangka mengambil bahagian dalam IEMS 2023, yang bakal menarik 40,000 pengunjung.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.