Luaskan Asas Hasil Kurangkan Kemiskinan, Ketaksamaan Di Malaysia – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Malaysia perlu memperluas asas hasil supaya dapat terus mempertingkatkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial negara, menurut Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi (Kemiskinan dan Kesaksamaan) Dr Matthew Wai-Poi mencadangkan agar negara mempertimbangkan asas cukai pendapatan individu yang lebih luas di samping melaksanakan cukai penggunaan yang menyeluruh dengan pengecualian terhad.

“Antara cara untuk memperluas asas cukai pendapatan individu ialah meningkatkan sumber pendapatan individu,” katanya kepada Bernama di luar pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) ke-28 Bank Dunia bertajuk Raising the Tide, Lifting All Boats di sini, pada Selasa.

MEM ialah penerbitan utama dua kali setahun Bank Dunia mengenai kemajuan ekonomi dan pembangunan Malaysia.

Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Matthew berkata cukai, penyaluranerahan dan subsidi membantu meringankan kemiskinan manakala perbelanjaan pendidikan dan kesihatan mengurangkan lagi ketaksamaan.

Pada 2019, cukai, pindahan dan subsidi telah melegakan sedikit kemiskinan negara sebanyak 0.9 mata, manakala perbelanjaan pendidikan dan kesihatan mengurangkan lagi ketaksamaan sebanyak 6.5 mata, katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, cukai dan perbelanjaan di negara ini tidak begitu progresif berbanding di negara berpendapatan sederhana tinggi yang lain.

Matthew berkata pada masa ini, kira-kira 90 peratus daripada cukai pendapatan individu di Malaysia dibayar oleh kalangan 10 peratus teratas daripada kumpulan berpendapatan tertinggi (T20), kira-kira bersamaan 10 peratus daripada pendapatan mereka.

10 peratus lagi daripada kumpulan T20 hanya membayar 3.0 peratus daripada pendapatan mereka, walaupun mereka mampu membayar lebih, katanya.

Bagi cukai kesihatan, beliau mencadangkan kenaikan 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke atas cukai tembakau dan alkohol.

“Angka ini tidak besar, namun bila digabungkan ia hampir 1.0 peratus daripada KDNK,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia (Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan), Shakira Teh Sharifuddin berkata penyusutan hasil Malaysia bagi tempoh 2012 hingga 2022 merupakan antara yang paling ketara pernah dicatatkan dalam kalangan negara setaranya.

Beliau berpandangan bahawa asas hasil yang lebih rendah tidak mencukupi untuk mempertingkatkan ekonomi.

“Pada 2022, kadar kemiskinan adalah 6.2 peratus berbanding 5.6 peratus pada 2019, manakala 490,000 isi rumah masih hidup di bawah purata garis kemiskinan negara,” katanya.

Perjuangan menangani kemiskinan tegar di Malaysia merupakan antara aspirasi Kerajaan Perpaduan.

Dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM1.5 bilion diluluskan untuk program dan projek yang boleh menjana pendapatan untuk kumpulan sasar dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan tunai dan program Rahmah  akan diteruskan dan dipertingkatkan untuk memastikan penambahbaikan rangkaian keselamatan sosial berterusan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA