E-invois Akan Memperkemas Sistem Cukai, Galak Ketelusan — NCCIM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Pengenalan e-invois akan memperkemas dan meningkatkan sistem pencukaian negara, menggalakkan ketelusan dan memberikan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat, kata Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Presiden NCCIM Tan Sri Soh Thian Lai berkata e-invois itu juga akan menangani kebocoran hasil akibat daripada urus niaga yang tidak dilaporkan.

“E-invois turut mempunyai kelebihan utama yang akan memberi manfaat ketara kepada pembayar cukai. Ia menawarkan pengurangan dalam usaha manual serta meminimumkan kesilapan manusia dengan menyediakan proses invois bersepadu melalui penciptaan dan penyerahan dokumen termasuk data transaksi secara elektronik.

“Ia juga memudahkan pemfailan penyata cukai melalui penyepaduan sistem yang lancar, memastikan pelaporan cukai yang cekap dan tepat untuk perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Soh berkata e-invois membolehkan penyelarasan operasi, menghasilkan kecekapan yang dipertingkatkan serta penjimatan masa dan kos untuk organisasi dengan lebih ketara.

“Malahan,  ia menggalakkan pelaporan kewangan digital dengan menyelaraskan pelaporan termasuk proses kewangan dengan piawaian industri, menjadikan pelaporan kewangan lebih cekap dan sejajar dengan amalan moden,” katanya.

Pelaksanaan e- invois mulai 1 Jun 2024 hingga 1 Jan 2027, membolehkan perniagaan serta pembayar cukai mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan dan menyesuaikan diri dengan sistem dengan berkesan.

Soh berkata NCCIM menggalakkan komuniti perniagaan Malaysia untuk menerima kemajuan teknologi dan menyesuaikan diri dengan landskap kawal selia yang berkembang.

“Pendekatan proaktif ini penting bagi kekal berdaya saing dan berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang dinamik hari ini,” katanya.

NCCIM telah secara proaktif terlibat dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk membincangkan pelaksanaan e-invois kepada perniagaan Malaysia dan Program Pendedahan Sukarela Khas 2.0.

“Sesi penglibatan itu telah membenarkan hadirin berinteraksi secara langsung dengan pasukan LHDN, menyediakan platform untuk mendapatkan penjelasan dan menangani sebarang keraguan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama