Malaysia Jangka Perdagangan Lebih Rancak Selepas Muktamadkan Perjanjian CPTPP, RCEP Pada 2022

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Malaysia mencatatkan sejarah penting dalam perdagangan serantau pada 2022 apabila negara akhirnya memuktamadkan dua perjanjian utama – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Malaysia memuktamadkan perjanjian CPTPP pada 30 Sept, menjadikannya negara kesembilan daripada 11 negara yang telah meratifikasi perjanjian itu manakala RCEP berkuat kuasa pada 18 Mac, menyaksikan Malaysia sebagai negara ke-12 menandatangani perdagangan berkenaan.

CPTPP akan semarakkan pertumbuhan ekonomi

Selepas bertahun-tahun pertimbangan terperinci, perundingan yang meluas dan penilaian yang teliti, pengesahan CPTPP akhirnya berjaya dilakukan pada 30 Sept dan berkuat kuasa pada 29 Nov.

Malaysia menandatangani pakatan ini pada 2018. Perjanjian ini telah pun diratifikasi dan dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru.

Berdasarkan penemuan analisis kos-faedah (CBA) yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), CPTPP pastinya akan mengangkat keunggulan Malaysia sebagai ekonomi perdagangan global dengan jumlah perdagangan dijangka meningkat kepada US$655.9 bilion (US$1=RM4.40) menjelang 2030.

Menurut analisis CBA yang diterbitkan kementerian itu pada 25 Julai 2022, Malaysia diunjur mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih tinggi sebanyak USS$56.5 bilion (US$1=RM4.40) dalam tempoh 2021-2030.

CPTPP turut menawarkan peluang akses pasaran baharu untuk Malaysia seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengannya.

MITI berkata berdasarkan data 2021 daripada Bank Dunia, ketiga-tiga pasaran baharu ini secara kolektif mewakili populasi lebih 200 juta orang dengan gabungan KDNK lebih US$3.5 trilion – 9.4 kali lebih besar daripada ekonomi Malaysia.

Dalam pada itu, China, Ecuador dan Taiwan telah menyerahkan permohonan masing-masing untuk menjadi ahli CPTPP tahun lepas manakala United Kingdom (UK) kini dalam proses “rundingan penyertaan/penerimaan” CPTPP.

Semasa Mesyuarat Suruhanjaya CPTPP ke-6 yang diadakan di Singapura pada awal Oktober, Menteri Kanan MITI pada ketika itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pakatan itu akan menambah lagi dorongan kepada usaha pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan.

Kebanyakan pemain industri memuji ratifikasi itu, tetapi terdapat kumpulan tertentu menggesa kerajaan baharu pasca-PRU15 pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada CPTPP, dengan alasan perjanjian perdagangan bebas itu lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Namun begitu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata menarik diri daripada perjanjian perdagangan CPTPP akan memudaratkan reputasi antarabangsa dan kepentingan perdagangan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tricia Yeoh berkata menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu bukan sahaja akan menafikan hak Malaysia daripada banyak faedah perdagangan dan akses pasaran tetapi juga akan menjejaskan kredibiliti antarabangsanya dalam kalangan pelabur asing.

“Ia mengambil masa kira-kira lapan tahun rundingan sebelum Malaysia akhirnya menandatangani perjanjian itu pada 2018. Selepas itu ia mengambil masa empat tahun lagi sebelum Malaysia akhirnya meratifikasinya pada akhir tahun ini.

“(Sekiranya) pusingan U dilakukan sekarang, ia mungkin boleh menakutkan pelabur asing yang sememangnya mahukan kestabilan dalam negara rakan kongsi,” kata Yeoh.

Kerajaan baharu masih belum memberikan arahan yang jelas mengenai pendiriannya terhadap CPTPP.

RCEP: Memanfaatkan pasaran berpopulasi 2.2 bilion

Sementara itu, perjanjian RCEP pula telah membuka jalan kepada negara untuk bergabung ke dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar dunia yang melibatkan 15 negara, dengan jumlah penduduk melebihi 2.2 bilion.

Bertonggakkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, ia akan membolehkan Malaysia menikmati ekosistem perdagangan dan pelaburan global, mendapat manfaat daripada penghapusan akhir sekitar 90 peratus tarif dalam kalangan ahli.

Menurut MITI, kelebihan lain yang akan diperoleh termasuk liberalisasi perdagangan selanjutnya, merangkumi penghapusan halangan bukan tarif, peningkatan kemudahan perdagangan serta pemansuhan halangan kepada sektor perkhidmatan.

Ia juga akan menyaksikan peningkatan persekitaran perniagaan melalui peraturan berkaitan perlindungan harta intelek, amalan perolehan kerajaan dan e-dagang.

Seterusnya MITI berkata penubuhan RCEP meletakkan rantau Asia-Pasifik sebagai pusat graviti baharu bagi perdagangan global, melonjakkan perdagangan antara wilayah/rantau sebanyak hampir US$42 bilion (US$1= RM4.40).

“Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia dijangka menjadi penerima terbesar perjanjian itu dari segi keuntungan dalam eksport, dengan unjuran peningkatan US$200 juta,” katanya.

RCEP, yang melengkapkan agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia, akan meningkatkan pengiktirafan terhadap peranan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk perusahaan mikro, dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan inovasi.

Ketika dunia beransur pulih daripada kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19, RCEP menampilkan alat penting untuk menggiatkan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi melalui pengurangan ketara dalam halangan perdagangan di seluruh rantau ini.

Disifatkan sebagai FTA terbesar di dunia, RCEP telah ditandatangani dalam kalangan 15 negara pada 15 Nov 2020, selepas melalui 31 pusingan rundingan sepanjang lapan tahun lalu.

Negara-negara tersebut adalah Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, China, Korea Selatan, Australia, Jepun dan New Zealand.

Secara keseluruhannya, negara-negara ini menyumbang hampir satu pertiga daripada populasi global dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

Mencergaskan semula ekonomi APEC selepas pandemik

Semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-29 di Bangkok bulan lepas, Malaysia menggalakkan ahlinya untuk menubuhkan platform kerjasama yang menangani keperluan kewangan dan menyokong penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam urus niaga perdagangan antarabangsa.

Ketua Setiausaha Negara (Malaysia) Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata PMKS ialah enjin pertumbuhan rantau ini, dengan menyatakan kumpulan ini mewakili kira-kira 95 peratus perniagaan global dan menyumbang 60 peratus pekerjaan merentas ekonomi di semua peringkat pembangunan.

Bagaimanapun, Mohd Zuki dalam kapasitinya sebagai Wakil Khas Perdana Menteri berkata pandemik COVID-19 menyebabkan PMKS beroperasi dalam keadaan aliran tunai yang ketat.

“Dalam hal ini, Malaysia ingin menekankan kepentingan saranan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) kepada para pemimpin dan menggalakkan ekonomi APEC mempertimbangkan penubuhan platform kerjasama yang membawa bersama pihak berkepentingan sektor awam dan swasta untuk meneroka penyelesaian yang nyata,” kata Mohd Zuki pada sesi di AELM ke-29.

Beliau menambah untuk mencapai ekonomi serantau yang dinamik dan saling berkaitan seperti yang dibayangkan Visi Putrajaya 2040, asas yang kukuh untuk pertumbuhan disokong dengan baik oleh pemain ekonomi yang berdaya saing termasuk dan khususnya PKS, adalah penting.

Dipengerusikan Thailand dan berpandukan tema ““Open. Connect. Balance”, Minggu Pemimpin Ekonomi APEC, sidang kemuncak pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun diadakan di Queen Sirikit National Convention Centre dari 14-19 Nov.

Mesyuarat 2019 telah dibatalkan kerana situasi domestik di negara tuan rumah Chile manakala mesyuarat pada 2020 dan 2021 diadakan secara maya.

CPTPP, sekiranya kerajaan memutuskan untuk tidak melakukan pusingan U, dijangka dapat melengkapkan keuntungan yang disediakan RCEP dan kedua-dua perjanjian itu dipandang tinggi dalam memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Kedua-dua pakatan akan mencergaskan aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi selain membantu mewujudkan lencongan perdagangan dengan lebih banyak negara mengalihkan sumber mereka ke rantau Asia-Pasifik, termasuk Malaysia, di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi global yang lembap dan pelbagai masalah yang dijangkakan tahun depan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-jangka-perdagangan-lebih-rancak-selepas-muktamadkan-perjanjian-cptpp-rcep-pada-2022/

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Digital Malaysia Cecah RM196 Bilion, Antara Paling Pantas Berkembang di Asia Tenggara

E-dagang berkembang 22%, penggunaan AI semakin meluas dan ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026.

Ekonomi digital Malaysia semakin berkembang pesat. Menurut laporan e-Conomy SEA 2026 yang diterbitkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company pada 28 Oktober 2026, nilai ekonomi digital negara dijangka mencecah AS$48 bilion atau kira-kira RM196 bilion pada 2026.

Lebih menarik, pertumbuhan ini mencapai 20% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan Malaysia bersama Vietnam sebagai ekonomi digital yang berkembang paling pantas di Asia Tenggara.

Pertumbuhan ini bukan datang daripada satu sektor sahaja. E-dagang, pelancongan dalam talian, perkhidmatan kewangan digital, media dalam talian serta perkhidmatan penghantaran makanan dan pengangkutan semuanya menunjukkan perkembangan positif.

1. E-dagang Jadi Pemacu Utama Ekonomi Digital

Sektor e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital Malaysia.

Pada 2026, nilai transaksi barangan dan perkhidmatan yang dijual melalui platform digital dalam sektor ini dijangka mencecah AS$25 bilion atau sekitar RM102 bilion, meningkat 22% berbanding tahun sebelumnya.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan ini ialah penggunaan AI untuk membantu pengguna mencari produk, penjualan melalui video serta penggunaan sistem automatik yang memudahkan peniaga mengurus perniagaan.

Mudah kata, membeli-belah dalam talian bukan lagi sekadar membeli barang di platform e-dagang. Cara peniaga memasarkan produk dan cara pengguna membuat keputusan pembelian juga semakin berubah.

2. Pelancongan Dalam Talian Terus Berkembang

Sektor pelancongan dalam talian turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 15% kepada AS$12 bilion, bersamaan kira-kira RM49 bilion.

Kenaikan harga tiket penerbangan menjadi antara faktor yang meningkatkan nilai transaksi. Pada masa sama, permintaan terhadap pelancongan domestik dan antarabangsa serta penginapan premium turut menyokong pertumbuhan sektor ini.

Menariknya, AI kini semakin memainkan peranan dalam perancangan perjalanan. Pengguna bukan sahaja menggunakan media sosial untuk mencari destinasi percutian, malah mula bergantung pada platform AI untuk mendapatkan cadangan lokasi, menyusun jadual perjalanan dan merancang percutian.

3. Pembayaran Digital dan Pinjaman Dalam Talian Semakin Popular

Penggunaan perkhidmatan kewangan digital juga terus meningkat.

Nilai transaksi pembayaran digital di Malaysia berkembang 17% kepada AS$261 bilion. Ini menjadikan Malaysia pasaran pembayaran digital kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Sementara itu, baki pinjaman digital meningkat 22% kepada AS$18 bilion.

Pertumbuhan ini menunjukkan semakin ramai pengguna dan perniagaan menggunakan saluran digital untuk membuat pembayaran serta mendapatkan pembiayaan.

Bagi pengguna, urusan kewangan menjadi lebih mudah. Bagi perniagaan pula, perkhidmatan digital membuka peluang untuk mendapatkan pelanggan dan mengembangkan operasi dengan lebih meluas.

4. AI Bukan Lagi Sekadar Trend

Satu lagi dapatan menarik dalam laporan ini ialah penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dianggarkan 17 juta rakyat Malaysia menggunakan AI generatif, bersamaan 68% daripada populasi bekerja. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kedua di Asia Tenggara dari segi penggunaan AI.

Pengguna di Malaysia juga aktif menggunakan AI untuk menghasilkan imej. Menurut laporan tersebut, satu daripada lima pengguna Gemini meminta platform itu menjana imej.

Namun, perkara yang lebih penting bukan sekadar berapa ramai yang menggunakan AI, tetapi sejauh mana teknologi ini digunakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Secara purata, pengguna Malaysia melakukan sekitar 1.8 sesi AI seminggu. Dalam setiap sesi, mereka mencatatkan purata 13.9 pertukaran mesej atau arahan dengan AI, kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura.

Penggunaan AI dalam sektor korporat juga semakin matang. Laporan itu menganggarkan penggunaan AI oleh organisasi menyumbang sekitar 45% hingga 50% daripada keseluruhan penggunaan token AI di Malaysia.

Ini menunjukkan AI semakin digunakan untuk membantu menyelesaikan tugasan sebenar, bukan sekadar mencuba teknologi baharu.

5. Pelaburan AI dan Pusat Data Bakal Membuka Peluang Baharu

Perkembangan AI memerlukan infrastruktur yang kukuh, termasuk pusat data, pengkomputeran berprestasi tinggi dan perkhidmatan awan.

Malaysia sedang membangunkan ekosistem pusat data untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.

Di peringkat Asia Tenggara pula, pelaburan swasta dalam pengkomputeran dan infrastruktur AI mencecah AS$20 bilion atau kira-kira RM82 bilion dalam tempoh 12 bulan yang dilaporkan.

Lebih menarik, syarikat digital yang menjadikan AI sebagai teras produk mereka menerima sekitar 80% daripada jumlah pembiayaan swasta kepada syarikat digital dalam tempoh enam bulan terkini yang dikaji. Angka ini meningkat daripada kira-kira 30% pada separuh kedua 2024.

Laporan itu turut menjangkakan penggunaan AI di Asia Tenggara boleh meningkat sehingga 60 kali ganda menjelang 2030, berdasarkan jumlah token yang digunakan.

Bagi Malaysia, perkembangan ini membuka peluang kepada syarikat teknologi, penyedia pusat data dan perniagaan yang mampu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti.

6. Sektor Digital Lain Turut Menunjukkan Pertumbuhan

Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia bukan terhad kepada e-dagang dan AI sahaja.

Sektor media dalam talian berkembang 20% kepada AS$5 bilion, manakala sektor pengangkutan dan makanan meningkat 18% kepada AS$5 bilion.

Peningkatan ini menunjukkan aktiviti digital semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada menonton kandungan dalam talian hinggalah menempah pengangkutan dan makanan.

Bagi perniagaan, perubahan ini membuka ruang untuk mencari pelanggan baharu, menawarkan perkhidmatan secara digital dan menggunakan data bagi memahami corak perbelanjaan pengguna.

7. Malaysia Perkenalkan Perlindungan Undang-undang untuk Pekerja Gig

Selain teknologi dan perniagaan, laporan ini turut menyorot perkembangan dalam sektor pekerjaan gig.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meletakkan ekonomi gig di bawah kerangka perundangan khusus menerusi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta ini meluaskan perlindungan undang-undang kepada lebih 1.6 juta pekerja gig, termasuk penghantar makanan, pemandu platform dan pekerja bebas digital.

Antara perlindungan yang dinyatakan dalam laporan ialah keperluan perjanjian perkhidmatan bertulis yang telus, caruman keselamatan sosial melalui PERKESO, larangan potongan bayaran yang tidak adil serta penubuhan Tribunal Pekerja Gig untuk menyelesaikan pertikaian.

Langkah ini penting kerana pertumbuhan ekonomi digital turut mengubah cara rakyat bekerja dan memperoleh pendapatan.

Kesimpulan: Peluang Besar untuk Perniagaan dan Pelabur

Secara keseluruhan, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh e-dagang, pelancongan, pembayaran digital dan penggunaan AI.

Pada peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara diunjurkan mencapai AS$368 bilion atau kira-kira RM1.5 trilion pada 2026, dengan potensi mencecah AS$1 trilion menjelang 2035.

Bagi pelabur, perkembangan ini boleh membuka peluang dalam sektor seperti teknologi, pusat data, perkhidmatan awan dan pembayaran digital. Namun, pertumbuhan sesuatu sektor tidak semestinya menjamin keuntungan setiap syarikat. Penilaian saham, prestasi kewangan dan harga yang dibayar masih perlu dipertimbangkan.

Bagi usahawan pula, mesejnya jelas: perniagaan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan memanfaatkan AI berpotensi memperoleh kelebihan daya saing.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada ekonomi digital akan berkembang, tetapi siapa yang paling bersedia untuk mengambil peluang daripada pertumbuhan ini?

Sumber: Laporan e-Conomy SEA 2026 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, diterbitkan pada 28 Oktober 2026.

Nota: Nilai dalam ringgit berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.08 seperti yang dinyatakan dalam laporan. GMV merujuk kepada nilai kasar barangan dan perkhidmatan yang diniagakan melalui platform digital, manakala GTV merujuk kepada jumlah nilai transaksi. Kedua-duanya bukan ukuran hasil atau keuntungan syarikat.