2022 Papar Momentum Sektor Korporat Seiring Pertumbuhan KDNK

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Sektor korporat Malaysia terbukti memanfaatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh pada 2022, dipacu oleh kesan asas rendah serta kerancakan aktiviti perniagaan yang merentasi pelbagai industri.

Malah, pemulihan rantaian bekalan yang terjejas sebelum ini serta aktiviti yang kembali cergas selepas pandemik, turut menjadi penggerak keseluruhan ekosistem sokongan pada tempoh sepanjang tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Yunus sebelum ini berkata prestasi kewangan syarikat serta perniagaan juga kekal baik sepertimana dipaparkan dalam prestasi KDNK bagi suku ketiga (S3) dengan pinjaman tertunggak meningkat sebanyak lima peratus manakala pertumbuhan bayaran balik pinjaman pula mengatasi pengagihan pinjaman.

Beliau berkata, pengagihan pinjaman juga terus mencatat pertumbuhan, terutama dalam sektor pembuatan dan perdagangan borong.

Tidak dinafikan, 2022 turut menyaksikan kelompok syarikat yang berdepan laluan mencabar, khususnya pengeluar sarung tangan getah akibat faktor harga jualan yang rendah, harga getah kurang menarik serta isu kekurangan tenaga pekerja.

Tahun pemulihan

Bagaimanapun Pensyarah Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Profesor Dr Geoffrey Williams, menyifatkan 2022 sebagai tahun pemulihan bagi kebanyakan sektor berikutan kesan asas yang rendah.

Beliau berkata ini memandangkan banyak sektor yang terbukti telah mendapat manfaat daripada pembukaan semula pasaran tempatan seperti segmen runcit, restoran dan pelancongan domestik.

“Susulan pembukaan pasaran antarabangsa, kita melihat peningkatan eksport membabitkan kebanyakan sektor dan pembuatan juga tidak terkecuali mendapat manfaatnya,” katanya.

Selain itu, sektor kewangan dan perbankan turut meraih manfaat daripada aspek peningkatan kadar pembayaran balik pinjaman serta kadar faedah yang lebih tinggi.

“Minyak dan gas (O&G) mendapat kesan baik daripada kenaikan harga minyak manakala Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan perolehan pendapatan lebih baik yang bukan setakat membantu dari segi subsidi, tetapi juga membolehkannya meningkatkan pelaburan dalam sektor O&G berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Pendidikan tinggi swasta juga mencatat prestasi lebih baik pada tahun ini apabila sekatan pergerakan telah berakhir.

Namun, di sebalik senario memberangsangkan, terdapat beberapa sektor lain yang mencatat prestasi kurang memberangsangkan akibat kesan daripada sekatan pergerakan dan kekurangan tenaga kerja.

“Minyak sawit misalnya telah kehilangan pendapatan bernilai puluhan bilion ringgit akibat larangan berkaitan tenaga kerja serta sektor lain yang turut bergantung kepada pekerja terbabit seperti pembinaan dan pembuatan yang turut terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, antara detik bermakna yang mewarnai sektor korporat pada tahun ini adalah kemunculan semula projek Battersea Power Station di London selepas menjalani proses transformasi dan dijadikan sebagai pejabat, hab beli-belah dan restoran selepas tidak aktif selama beberapa dekad.

Lebih bermakna lagi pada 13 Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menyempurnakan majlis pembukaan bangunan ikonik bernilai 9 bilion pound Britain (1 pound=RM5.38) yang pernah berperanan sebagai loji janakuasa daripada sumber arang batu.

Tumpuan kepada ESG 

Pandemik telah berperanan sebagai pengajaran bermanfaat kepada syarikat untuk memastikan perniagaan sentiasa kompetitif agar dapat bertahan daripada kejutan ekonomi selain tampil mampan dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, usaha-usaha untuk menggunapakai agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti inisiatif hijau, pelaporan kemampanan, kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu telah mendominasi pasaran melalui sokongan daripada kerajaan dan agensinya.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terkemuka seperti syarikat minyak negara, Petronas serta gergasi tenaga iaitu Tenaga Nasional Bhd melaksanakan inisiatif awal di negara ini dan sedang melalui tempoh peralihan dalam bidang masing-masing.

CIMB Group Holdings Bhd yang berada pada kedudukan keempat bagi bank di seluruh dunia dari segi prestasi ESG, telah meningkatkan komitmen kewangan mampan sebanyak dua kali ganda kepada RM60 bilion menjelang 2024 selepas mencapai sasaran RM30 bilion pada separuh pertama 2022 yang juga dua tahun lebih awal daripada dijadualkan.

Menurut Tinjauan Pelaporan Kemampanan Dwitahunan 2022 oleh syarikat perakaunan KPMG, sebanyak 97 peratus daripada 100 syarikat teratas di Malaysia telah menyertakan data kemampanan dalam laporan tahunan masing-masing.

Laporan melibatkan 58 negara itu turut menunjukkan Malaysia mendahului 10 negara terbaik dari segi peratusan 100 syarikat teratas yang menyertakan maklumat kemampanan dalam laporan kewangan tahunan.

M&A bernilai tinggi

Susulan pandemik, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) di negara ini agak kukuh apabila banyak janji niaga bernilai tinggi berjaya dilaksanakan pada tahun ini, termasuk langkah Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd untuk mengambil alih empat lebuh raya utama di Lembah Klang bernilai RM5.5 bilion.

Pengambilalihan itu syarikat konsesi tol lebuh raya — Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (Smart), Lingkaran Trans Kota Holdings Sdn Bhd (Litrak) dan KESAS Sdn Bhd adalah daripada Gamuda Bhd, Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd.

Selain itu, pelaksanaan M&A utama turut melibatkan pengambilalihan pengeluar gula-gula getah terbesar Malaysia, Cocoaland Holdings Bhd oleh Fraser and Neave Holdings Bhd bernilai RM488.15 juta serta penggabungan Malaysia Building Society Bhd-Malaysian Industrial Development Finance Bhd yang dijangka selesai pada suku pertama tahun depan.

Pasaran turut menyaksikan penggabungan mega membabitkan Axiata Group Bhd, Telenor Asia Pte Ltd dan Digi.com Bhd bagi operasi telekomunikasi, Celcom Axiata Bhd dan Digi.

Apabila selesai, Axiata dan syarikat induk Digi, Telenor memegang pemilikan yang sama, masing-masing sebanyak 33.1 peratus dalam syarikat baharu digabungkan yang dicadangkan sebagai Celcom Digi Bhd.

IHH Healthcare Bhd pula bersedia meneruskan tawaran terbuka untuk membeli tambahan kepentingan sebanyak 26 peratus dalam penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan India, Fortis Healthcare Ltd sekiranya menerima kelulusan daripada pengawal selia pasaran modal dan mahkamah.

IHH ialah pemegang saham terbesar dalam Fortis dengan kepentingan ekuiti sebanyak 31.17 peratus, yang diperoleh melalui peruntukan terpilih pada November 2018.

Penyenaraian baharu di bursa saham

Bursa Malaysia menyaksikan sebanyak 34 tawaran awam permulaan (IPO) baharu setakat 30 Nov 2022 berbanding 28 pada 2021.

Daripada sejumlah 34 penyenaraian baharu itu, empat telah disenaraikan di Pasaran Utama berbanding lima pada 2021 manakala masing-masing 25 di Pasaran ACE (11 pada 2021) dan lima di Pasaran LEAP (12 pada 2021).

Antara syarikat itu ialah Senheng New Retail Bhd, Farm Fresh Bhd, AME REIT dan Unitrade Industries Bhd.

Bagi tempoh sehingga 30 Nov 2022, Farm Fresh mengungguli IPO terbesar dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.51 bilion.

Selain itu, menurut kemas kini Nota Amalan 17 (PN17) dan Nota Panduan 3 (GN3), sebanyak 28 syarikat telah diklasifikasikan di bawah status PN17 dan GN3 setakat 2 Nov 2022, mewakili 2.98 peratus daripada sejumlah 941 syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Securities.

Syarikat seperti Airasia X Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Asia Media Group Bhd, Barakah Offshore Petroleum Bhd, Bertam Alliance Bhd mewakili lima syarikat PN17 teratas yang tersenarai di pasaran utama manakala Southern Score Builders Bhd (sebelum ini dikenali sebagai G Neptune Bhd) adalah antara syarikat GN3 di pasaran ACE.

Status PN17 dikeluarkan kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan dan tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia manakala GN3 bersamaan dengan PN17 tetapi bagi syarikat disenaraikan di Pasaran ACE.

Meneruskan kemajuan pertumbuhan pada 2023

Sementara itu, Pensyarah Putra Business School Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata walaupun prospek ekonomi global bagi 2023 diunjur lebih perlahan berbanding tahun ini, pertumbuhan ekonomi pada 2023 bagi negara Asia dijangka lebih tinggi daripada negara-negara lain di seluruh dunia.

Menurutnya, pertumbuhan KDNK Malaysia untuk 2023 diunjur sekitar empat hingga lima peratus.

“Sektor korporat akan meneruskan kemajuan pertumbuhan mereka dan harus memanfaatkan ratifikasi oleh kerajaan baru-baru ini ke atas dua perjanjian perdagangan bebas terbesar — Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan meneroka pasaran baharu serta mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka, mengambil kesempatan daripada ringgit yang kompetitif,” katanya.

Ekonomi Malaysia berkembang 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan. 

Secara keseluruhan, KDNK berkembang sebanyak 9.3 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/2022-papar-momentum-sektor-korporat-seiring-pertumbuhan-kdnk/

Previous ArticleNext Article

Ekonomi Digital Malaysia Cecah RM196 Bilion, Antara Paling Pantas Berkembang di Asia Tenggara

E-dagang berkembang 22%, penggunaan AI semakin meluas dan ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026.

Ekonomi digital Malaysia semakin berkembang pesat. Menurut laporan e-Conomy SEA 2026 yang diterbitkan oleh Google, Temasek dan Bain & Company pada 28 Oktober 2026, nilai ekonomi digital negara dijangka mencecah AS$48 bilion atau kira-kira RM196 bilion pada 2026.

Lebih menarik, pertumbuhan ini mencapai 20% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus meletakkan Malaysia bersama Vietnam sebagai ekonomi digital yang berkembang paling pantas di Asia Tenggara.

Pertumbuhan ini bukan datang daripada satu sektor sahaja. E-dagang, pelancongan dalam talian, perkhidmatan kewangan digital, media dalam talian serta perkhidmatan penghantaran makanan dan pengangkutan semuanya menunjukkan perkembangan positif.

1. E-dagang Jadi Pemacu Utama Ekonomi Digital

Sektor e-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital Malaysia.

Pada 2026, nilai transaksi barangan dan perkhidmatan yang dijual melalui platform digital dalam sektor ini dijangka mencecah AS$25 bilion atau sekitar RM102 bilion, meningkat 22% berbanding tahun sebelumnya.

Antara faktor yang mendorong pertumbuhan ini ialah penggunaan AI untuk membantu pengguna mencari produk, penjualan melalui video serta penggunaan sistem automatik yang memudahkan peniaga mengurus perniagaan.

Mudah kata, membeli-belah dalam talian bukan lagi sekadar membeli barang di platform e-dagang. Cara peniaga memasarkan produk dan cara pengguna membuat keputusan pembelian juga semakin berubah.

2. Pelancongan Dalam Talian Terus Berkembang

Sektor pelancongan dalam talian turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 15% kepada AS$12 bilion, bersamaan kira-kira RM49 bilion.

Kenaikan harga tiket penerbangan menjadi antara faktor yang meningkatkan nilai transaksi. Pada masa sama, permintaan terhadap pelancongan domestik dan antarabangsa serta penginapan premium turut menyokong pertumbuhan sektor ini.

Menariknya, AI kini semakin memainkan peranan dalam perancangan perjalanan. Pengguna bukan sahaja menggunakan media sosial untuk mencari destinasi percutian, malah mula bergantung pada platform AI untuk mendapatkan cadangan lokasi, menyusun jadual perjalanan dan merancang percutian.

3. Pembayaran Digital dan Pinjaman Dalam Talian Semakin Popular

Penggunaan perkhidmatan kewangan digital juga terus meningkat.

Nilai transaksi pembayaran digital di Malaysia berkembang 17% kepada AS$261 bilion. Ini menjadikan Malaysia pasaran pembayaran digital kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia.

Sementara itu, baki pinjaman digital meningkat 22% kepada AS$18 bilion.

Pertumbuhan ini menunjukkan semakin ramai pengguna dan perniagaan menggunakan saluran digital untuk membuat pembayaran serta mendapatkan pembiayaan.

Bagi pengguna, urusan kewangan menjadi lebih mudah. Bagi perniagaan pula, perkhidmatan digital membuka peluang untuk mendapatkan pelanggan dan mengembangkan operasi dengan lebih meluas.

4. AI Bukan Lagi Sekadar Trend

Satu lagi dapatan menarik dalam laporan ini ialah penggunaan kecerdasan buatan atau AI dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dianggarkan 17 juta rakyat Malaysia menggunakan AI generatif, bersamaan 68% daripada populasi bekerja. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kedua di Asia Tenggara dari segi penggunaan AI.

Pengguna di Malaysia juga aktif menggunakan AI untuk menghasilkan imej. Menurut laporan tersebut, satu daripada lima pengguna Gemini meminta platform itu menjana imej.

Namun, perkara yang lebih penting bukan sekadar berapa ramai yang menggunakan AI, tetapi sejauh mana teknologi ini digunakan dalam kehidupan dan pekerjaan seharian.

Secara purata, pengguna Malaysia melakukan sekitar 1.8 sesi AI seminggu. Dalam setiap sesi, mereka mencatatkan purata 13.9 pertukaran mesej atau arahan dengan AI, kedua tertinggi di rantau ini selepas Singapura.

Penggunaan AI dalam sektor korporat juga semakin matang. Laporan itu menganggarkan penggunaan AI oleh organisasi menyumbang sekitar 45% hingga 50% daripada keseluruhan penggunaan token AI di Malaysia.

Ini menunjukkan AI semakin digunakan untuk membantu menyelesaikan tugasan sebenar, bukan sekadar mencuba teknologi baharu.

5. Pelaburan AI dan Pusat Data Bakal Membuka Peluang Baharu

Perkembangan AI memerlukan infrastruktur yang kukuh, termasuk pusat data, pengkomputeran berprestasi tinggi dan perkhidmatan awan.

Malaysia sedang membangunkan ekosistem pusat data untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan.

Di peringkat Asia Tenggara pula, pelaburan swasta dalam pengkomputeran dan infrastruktur AI mencecah AS$20 bilion atau kira-kira RM82 bilion dalam tempoh 12 bulan yang dilaporkan.

Lebih menarik, syarikat digital yang menjadikan AI sebagai teras produk mereka menerima sekitar 80% daripada jumlah pembiayaan swasta kepada syarikat digital dalam tempoh enam bulan terkini yang dikaji. Angka ini meningkat daripada kira-kira 30% pada separuh kedua 2024.

Laporan itu turut menjangkakan penggunaan AI di Asia Tenggara boleh meningkat sehingga 60 kali ganda menjelang 2030, berdasarkan jumlah token yang digunakan.

Bagi Malaysia, perkembangan ini membuka peluang kepada syarikat teknologi, penyedia pusat data dan perniagaan yang mampu menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti.

6. Sektor Digital Lain Turut Menunjukkan Pertumbuhan

Pertumbuhan ekonomi digital Malaysia bukan terhad kepada e-dagang dan AI sahaja.

Sektor media dalam talian berkembang 20% kepada AS$5 bilion, manakala sektor pengangkutan dan makanan meningkat 18% kepada AS$5 bilion.

Peningkatan ini menunjukkan aktiviti digital semakin meluas dalam pelbagai aspek kehidupan, daripada menonton kandungan dalam talian hinggalah menempah pengangkutan dan makanan.

Bagi perniagaan, perubahan ini membuka ruang untuk mencari pelanggan baharu, menawarkan perkhidmatan secara digital dan menggunakan data bagi memahami corak perbelanjaan pengguna.

7. Malaysia Perkenalkan Perlindungan Undang-undang untuk Pekerja Gig

Selain teknologi dan perniagaan, laporan ini turut menyorot perkembangan dalam sektor pekerjaan gig.

Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang meletakkan ekonomi gig di bawah kerangka perundangan khusus menerusi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.

Akta ini meluaskan perlindungan undang-undang kepada lebih 1.6 juta pekerja gig, termasuk penghantar makanan, pemandu platform dan pekerja bebas digital.

Antara perlindungan yang dinyatakan dalam laporan ialah keperluan perjanjian perkhidmatan bertulis yang telus, caruman keselamatan sosial melalui PERKESO, larangan potongan bayaran yang tidak adil serta penubuhan Tribunal Pekerja Gig untuk menyelesaikan pertikaian.

Langkah ini penting kerana pertumbuhan ekonomi digital turut mengubah cara rakyat bekerja dan memperoleh pendapatan.

Kesimpulan: Peluang Besar untuk Perniagaan dan Pelabur

Secara keseluruhan, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh e-dagang, pelancongan, pembayaran digital dan penggunaan AI.

Pada peringkat serantau, ekonomi digital Asia Tenggara diunjurkan mencapai AS$368 bilion atau kira-kira RM1.5 trilion pada 2026, dengan potensi mencecah AS$1 trilion menjelang 2035.

Bagi pelabur, perkembangan ini boleh membuka peluang dalam sektor seperti teknologi, pusat data, perkhidmatan awan dan pembayaran digital. Namun, pertumbuhan sesuatu sektor tidak semestinya menjamin keuntungan setiap syarikat. Penilaian saham, prestasi kewangan dan harga yang dibayar masih perlu dipertimbangkan.

Bagi usahawan pula, mesejnya jelas: perniagaan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan digital dan memanfaatkan AI berpotensi memperoleh kelebihan daya saing.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada ekonomi digital akan berkembang, tetapi siapa yang paling bersedia untuk mengambil peluang daripada pertumbuhan ini?

Sumber: Laporan e-Conomy SEA 2026 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, diterbitkan pada 28 Oktober 2026.

Nota: Nilai dalam ringgit berdasarkan kadar pertukaran AS$1 = RM4.08 seperti yang dinyatakan dalam laporan. GMV merujuk kepada nilai kasar barangan dan perkhidmatan yang diniagakan melalui platform digital, manakala GTV merujuk kepada jumlah nilai transaksi. Kedua-duanya bukan ukuran hasil atau keuntungan syarikat.