GEORGE TOWN, 5 Feb (Bernama) — Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan positif dan mengelakkan kemelesetan pada tahun ini walaupun perlu berdepan dengan cabaran global, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Walaupun pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding 2022, Tengku Zafrul berkata, beliau optimis bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.
“Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan negatif KDNK (keluaran dalam negara kasar) bagi dua suku berturut-turut. Bank Negara Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah mengunjurkan Malaysia untuk terus meraih pertumbuhan ekonomi positif dalam julat tiga hingga lima peratus.
“Saya tidak fikir kita akan mengalami kemelesetan. Bagaimanapun, berbanding pertumbuhan yang telah kita capai pada 2022, akan terdapat sedikit kesederhanaan.
“Sehubungan itu, kita perlu merebut peluang ini untuk memastikan semua enjin pertumbuhan kita kekal aktif terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada Bernama semasa lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut iaitu RM2.8 trilion, dengan eksport mencapai RM1.6 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 manakala import mencecah hampir RM1.3 trilion.
Dalam lawatannya ke Pulau Pinang (3 hingga 4 Februari), Tengku Zafrul berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi negeri dan peserta industi untuk membincangkan usaha mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri itu berikutan Pulau Pinang adalah antara destinasi pelaburan utama sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi perubatan.
“Kita perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang berupaya menawarkan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negara. Kita juga mahu FDI (pelaburan langsung asing) ini dapat diterjemahkan kepada DDI (pelaburan langsung domestik).
“Sekiranya boleh, kita mahu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana yang boleh menawarkan perkhidmatan dan menjadi pembekal kepada syarikat multinasional yang beroperasi di sini.
“Pulau Pinang ialah contoh terbaik untuk tujuan ini memandangkan banyak syarikat multinasional yang bekerjasama dengan syarikat kecil sehingga syarikat-syarikat ini dapat berkembang dan disenaraikan di bursa saham,” katanya.
Dalam persekitaran pelaburan moden, kini semakin jelas bahawa generasi muda muncul sebagai kumpulan pelabur yang mempunyai keutamaan dan nilai yang berbeza berbanding generasi sebelumnya yang hanya lebih menumpukan perhatian kepada keuntungan kewangan semata-mata.
Pada hari ini, terdapat perubahan yang agak ketara di dalam dunia pelaburan yang lebih berprinsip kepada tanggungjawab dan seiring dengan nilai kemanusiaan serta kelestarian alam sekitar. Antara faktor utama yang mendorong perubahan ini ialah menerusi minat generasi muda terhadap saham yang berasaskan Environmental, Social and Governance (ESG). Pelaburan berasaskan ESG bukan dilihat sebagai pulangan kewangan sahaja bahkan ia juga salah satu cara untuk menyumbang ke arah masa depan yang lebih baik.
Apakah Yang Dimaksudkan ESG?
ESG merupakan istilah yang merujuk kepada Environmental, Social dan juga Governance.
Environmental
Generasi muda hari ini membesar dalam suasana yang agak mencabar dari segi aspek perubahan iklim, pencemaran, kepelbagaian biologi dan kelestarian alam yang menjadi perbincangan pada peringkat global. Mereka bukan lagi melihat isu-isu ini sebagai perkara teori malah generasi muda ini merasai kesannya dalam kehidupan seharian mereka contohnya cuaca yang ekstrem, bencana alam dan peningkatan kos sara hidup yang sangat tinggi. Justeru itu, mereka lebih cenderung untuk memilih syarikat pelaburan yang mengamalkan gaya prinsip alam sekitar yang bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, saham yang berfokuskan kepada ESG biasanya boleh dinilai dari segi aspek penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa, pengurangan pelepasan karbon dan pengeluaran yang tidak merosakkan alam sekitar. Bagi generasi muda, menyokong syarikat sebegini melalui pelaburan merupakan cara untuk memastikan mereka menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan penyumbang kepada masalah alam sekitar.
2. Social
Di samping itu, komponen sosial dalam ESG juga turut memainkan peranan yang sangat penting dalam pelaburan untuk generasi muda pada zaman ini. Mereka lebih sensitif terhadap isu hak pekerja, keselamatan di tempat kerja, kesaksamaan dalam penggajian dan tanggungjawab pelanggan. Golongan muda ini juga lebih peka terhadap isu kemanusiaan seperti eksploitasi buruh dan ketidakadilan sosial. Penilaian sosial yang baik merupakan tanda aras kualiti yang menunjukkan sesebuah syarikat itu bukan sahaja stabil pada hari ini malah ia juga telah membuktikan kepercayaan untuk masa depan yang lebih terjamin.
Bagi pelabur muda, melabur dalam perniagaan yang mengambil berat tentang pekerja dan komuniti bukan sahaja dianggap sebagai tingkah laku beretika tetapi juga status mereka sebagai orang yang bertanggungjawab. Oleh itu, pelabur muda sangat yakin bahawa syarikat yang mementingkan nilai sosial lebih cenderung memiliki prestasi yang konsisten kerana mereka berjaya mengekalkan hubungan positif dan harmoni dengan pelanggan, pekerja dan masyarakat.
3. Governance
Tambahan pula, Komponen tadbir urus dalam ESG melibatkan aspek integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam pengurusan syarikat. Generasi muda yang sering menjadi tanda tanya terhadap isu tadbir urus korporat yang lebih memberi perhatian kepada bagaimana sesebuah syarikat yang ditadbir. Mereka menilai dari segi ketelusan laporan kewangan, tadbir urus korporat, pengurusan risiko serta kejelasan dasar anti rasuah.
Oleh itu, syarikat yang mengamalkan tadbir urus korporat yang baik secara umumnya dapat mengurangkan potensi atau risiko berlakunya salah laku dan penyelewengan. Bagi pelabur muda, ini memberikan kesefahaman bahawa modal mereka tidak disalahgunakan disamping syarikat berada pada landasan yang stabil untuk berkembang. Dalam dunia pelaburan yang sangat berisiko, tadbir urus yang baik menjadi faktor utama dalam membuat keputusan yang bijak.
Mengapakah Saham ESG Menjadi Pilihan Generasi Muda?
Faktor utama yang menyebabkan anak muda beralih kepada saham ESG adalah disebabkan kelarasan nilai di dalam portfolio pelaburan. Generasi muda pada masa kini mahu modal yang mereka laburkan membawa impak positif kepada alam sekitar dan keadilan sosial. Mereka tidak lagi melihat keuntungan sebagai satu kejayaan malah menganggap etika korporat sebagai komponen wajib dalam membina kekayaan untuk jangka masa panjang. Selain itu, pelabur muda memilih saham ESG kerana ia merupakan strategi pengurusan risiko dan jaminan keuntungan yang lebih stabil.
Syarikat yang mempunyai tadbir urus yang telus dan mesra alam lebih berdaya tahan terhadap krisis undang-undang dan perubahan regulasi kerajaan di masa hadapan. Dengan bantuan teknologi dan aplikasi pelaburan moden yang menyediakan data skor ESG secara telus, generasi muda lebih yakin bahawa syarikat yang berintegriti tinggi adalah satu asset yang lebih selamat dan berpotensi besar untuk memberikan pulangan secara konsisten dalam dunia ekonomi yang semakin mencabar.
Bagaimanakah Pelabur Muda Hendak Membeli Saham ESG?
Satu perkara yang perlu difahami oleh pelabur muda adalah saham berasaskan ESG ini tidak mempunyai label khas atau kategori automatik dalam platform dagangan seperti Rakuten Trade atau RHB TradeSmart. Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah bukannya terus membeli saham, akan tetapi pelabur perlu melakukan kajian terlebih dahulu melalui rujukan berautoriti seperti indeks FTSE4Good Bursa Malaysia. Indeks ini berfungsi sebagai panduan utama yang menyenaraikan syarikat dengan kualiti alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang tinggi.
Bagi pelabur Muslim, tanggungjawab ini sedikit lebih mendalam kerana perlu menyemak status tersebut dengan senarai saham patuh Syariah daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Hal ini adalah untuk memastikan syarikat yang dipilih bukan sahaja mampan dari segi operasi bahkan selari dengan tuntutan prinsip Islam.
Selepas berjaya mengenal pasti saham yang memenuhi kriteria ESG dan patuh syariah, proses pembelian sebenarnya tidaklah serumit yang disangkakan kerana ia menggunakan mekanisme yang sama seperti saham konvensional. Pelabur hanya perlu mempunyai akaun dagangan dan akaun CDS dengan broker yang berlesen di samping memasukkan modal yang mencukupi dan melaksanakan pesanan mengikut harga pasaran semasa. Transaksi tersebut biasanya mengambil masa dua hari dagangan (T+2) untuk direkodkan sepenuhnya ke dalam portfolio pelabur.
Oleh yang demikian, kejayaan pelaburan ESG sangat bergantung kepada ketelitian pelabur dalam melakukan penapisan awal secara sistematik, sekali gus membuktikan bahawa pelaburan yang bertanggungjawab memerlukan kefahaman lebih mendalam dan bukannya sekadar bergantung kepada maklumat di permukaan aplikasi sahaja.
Bagaimanakah Generasi Muda Hendak Mempraktikkan Saham ESG?
Pelabur muda boleh mempraktikkan pelaburan ESG dengan menggabungkan penyaringan etika dan penggunaan teknologi secara konsisten. Langkah praktikalnya adalah dengan mendisiplinkan diri dalam menyokong syarikat yang tersenarai dalam indeks mampan seperti FTSE4Good. Bagi memastikan perkara ini berterusan, mereka digalakkan menggunakan aplikasi pelaburan automatik yang menawarkan portfolio bertanggungjawab sosial sekali gus membolehkan modal kecil mereka disalurkan secara konsisten ke arah pembiayaan ekonomi hijau dan projek sosial yang berimpak tinggi demi jaminan kewangan dalam jangka masa panjang yang lebih stabil.
Kesimpulannya, peralihan minat generasi muda terhadap saham berasaskan ESG menandakan satu transformasi signifikan dalam landskap kewangan global yang kini lebih mengutamakan nilai kemampanan dan akauntabiliti. Bagi pelabur muda, ianya bukan lagi sekadar instrumen penjanaan keuntungan sahaja, bahkan ia merupakan mekanisme strategik untuk memacu perubahan positif terhadap alam sekitar, keadilan sosial, dan ketelusan tadbir urus.
Apabila saham ESG ini diselaraskan dengan prinsip shariah yang menekankan prinsip etika dan halal, ia membentuk satu portfolio pelaburan yang holistik dan berdaya tahan. Oleh itu, pelaburan berasaskan nilai ini berupaya menjadi tunjang ekonomi pada masa hadapan dan bukan sahaja menjanjikan pulangan kompetitif, malah menjamin kesejahteraan pada masa akan datang.
Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Muhammad Haziq Hussaini Bin Harun dan Prof. Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali, Universiti Sains Islam Malaysia.