Pertambahan Enam Lorong Laluan Yong Peng-Skudai, MOF Akan Jumpa PLUS

ISKANDAR PUTERI, 6 Feb (Bernama) — Kementerian Kewangan (MOF) akan bertemu PLUS Malaysia Bhd minggu ini bagi mendengar buah fikiran syarikat itu berhubung permintaan kerajaan Johor untuk menambah daripada empat kepada enam lorong laluan Yong Peng ke Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata permintaan itu sudah lama dibuat bahkan telah melepasi dua Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu PRU14 dan PRU15.

“Ini adalah permintaan ramai supaya kesesakan lalu lintas di laluan lebuh raya tersebut boleh dikurangkan dan ia adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama. Kita lihat dari Melaka ke Seremban sudah ada enam lorong, manakala dari Seremban ke Kuala Lumpur sudah ada lapan lorong.

“(Tetapi) apabila ke negeri Johor cuma ada empat lorong, sedangkan Johor memberikan sumbangan yang begitu besar kepada kekayaan dan pendapatan negara,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis dialog itu Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani.

–LAGI

AHMAD-PLUS 2 (AKHIR) ISKANDAR PUTERI

Menurut Ahmad perbincangan susulan itu menunjukkan kerajaan Persekutuan mengambil berat cadangan berkenaan sekali gus menjadikannya antara projek utama di Johor yang akan dipertimbangkan bagi Belanjawan 2023.

“Itu adalah antara (projek) yang utama, selain daripada usaha mengatasi kesesakan sempadan Johor-Singapura. (Kerajaan Persekutuan) juga akan melihat beberapa masalah lain seperti keperluan hospital, banjir yang kerap kali berlaku di Johor dan sekolah yang perlu dibaiki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata majlis dialog seterusnya di Perak, dengan Jumaat ini ditetapkan sebagai tarikh akhir bagi kementeriannya menerima sebarang cadangan untuk Belanjawan 2023.

Mengulas mengenai pengurangan peruntukan elaun pembangunan ahli parlimen yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada ahli Dewan Rakyat, beliau berkata satu permukiman untuk 148 ahli parlimen blok kerajaan akan diadakan pada 12 Jan ini di Putrajaya berhubung perkara itu.

“Semua ahli parlimen kerajaan akan dijemput untuk permukiman itu dan perkara itu bolehlah dibangkitkan. Kita akan lihat apa jawapan Perdana Menteri pada 12 Feb ini sebelum sidang dewan bermula keesokan harinya,” katanya.

Ahmad turut dijadualkan melawat Jabatan Kastam Diraja di Bangunan Sultan Iskandar Bukit Chagar, di sini petang ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI