Belanjawan 2024 Perlu Bantu PMKS Harungi Persekitaran Mencabar – Tinjauan RAM-CTOS

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Belanjawan 2024 amat penting untuk langkah menyalurkan bantuan dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya sektor itu dapat mengharungi persekitaran mencabar di samping mendorong merealisasikan visi Ekonomi MADANI, menurut RAM Holdings Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Eksekutif, Chris W.K. Lee berkata perancangan menerusi kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menunjukkan kerajaan amat menyedari keperluan untuk menyokong PMKS.

“Akses kepada pembiayaan adalah cabaran utama yang sering disebut oleh PMKS, dan penting untuk bercakap mengenai program sokongan secara jelas di samping memastikan proses penyertaan atau pentadbiran tidak terlalu rumit atau menyusahkan pemohon,” katanya dalam kenyataan bersama CTOS Data Systems Sdn Bhd pada Isnin.

Menurut kenyataan bersama itu, Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) RAM-CTOS susut kepada 50.4 pada suku ketiga 2023 daripada 54.8 yang dicatatkan suku sebelumnya, mengakhiri rentetan peningkatan selama dua sukuan, dengan sentimen kekal positif pada tinjauan ketiga berturut-turut.

Walau bagaimanapun, keadaan operasi masih mencabar yang dijangka menjejaskan keyakinan perniagaan bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Penurunan subindeks jualan (-6.7 mata) dan keberuntungan (-7.0 mata) suku ke suku adalah amat ketara dan konsisten dengan permintaan yang semakin perlahan dan tekanan inflasi lebih tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai penurunan itu, CEO Kumpulan, CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata landskap sentimen perniagaan yang berubah adalah disebabkan oleh keadaan operasi semasa yang mencabar.

“Bagi CTOS, kami terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang dan kami komited untuk menguruskan risiko kredit perniagaan, mengukuhkan daya tahan PKS semasa mereka mengharungi tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata CTOS juga membantu PKS memulihkan hutang lapuk dengan mengukuhkan tingkah laku pembayaran yang baik supaya dapat mengurangkan cabaran aliran tunai.

“Usaha kami telah berhasil apabila mencatatkan pemulihan lebih RM1 bilion setiap tahun, seterusnya menunjukkan komitmen kami kepada PKS dan dedikasi untuk memupuk daya tahan kewangan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata kekangan aliran tunai akan menjadi cabaran lazim kepada perusahaan mikro dalam tempoh 12 bulan akan datang, lebih daripada terhadap PKS dan korporat.

Daripada 165 syarikat yang ditinjau pada suku ketiga 2023, 64 peratus menyatakan kadar cukai pendapatan yang lebih rendah sebagai langkah paling bermanfaat yang boleh disediakan menerusi Belanjawan 2024, manakala 44 peratus pula mahu pengurangan tarif utiliti.

“Jika perkara ini dilaksanakan, ini akan membantu mengurangkan tekanan kos ke atas perniagaan,” menurut RAM dan CTOS.

Kedua-dua pihak juga mendapati perusahaan mikro kecewa dengan ketatnya skim bantuan, dengan kira-kira satu pertiga daripada mereka menyatakan halangan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian