NTT Global Lancar Pusat Data Bernilai US$50 juta Di Cyberjaya

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — NTT Global Data Centers Corporation, anak syarikat NTT Ltd, syarikat perkhidmatan dan infrastruktur teknologi maklumat (IT), melancarkan pusat data baharu di Cyberjaya dengan pelaburan bernilai lebih RM234 juta (US$50 juta).

Pelancaran Cyberjaya 6 (CBJ6) itu, pusat data keenam di kampus NTT Cyberjaya, selari dengan visi pertumbuhan digital Malaysia untuk menjadi  “Asian Digital Tiger” menjelang 2025, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan NTT dalam satu kenyataan bersama hari ini. 

“CBJ6 mempunyai beban IT kritikal tujuh megawatt, 4,890 meter persegi ruang, dua pencawang 33 kilovolt dengan penerimaan kuasa yang pelbagai dan teknologi dinding penyejuk termaju untuk mengekalkan persekitaran yang stabil bagi densiti tinggi sehingga 15 kilowatt,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, pengembangan berterusan NTT di Malaysia adalah bukti kukuh keyakinan syarikat tersebut terhadap keupayaan Malaysia sebagai hab pusat data di rantau ini.

“Sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), MIDA akan terus menarik projek berteknologi tinggi strategik yang akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terhubung secara digital, bercirikan infrastruktur digital meluas dan berkualiti tinggi,” katanya.

Menurutnya, Malaysia memperoleh reputasi tinggi dalam sektor pusat data global, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Arham berkata berdasarkan laporan Technavio, saiz pasaran pusat data negara dianggarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 16.15 peratus antara 2022 dan 2027 dan diunjur meningkat sebanyak US$2.91 bilion (RM13.68 bilion). 

Sementara itu, Pengarah Urusan NTT Global Data Centres Malaysia Ho Yee Chung berkata kampus NTT Cyberjaya berkembang selari dengan pertumbuhan digital Malaysia sejak dua dekad yang lalu.  

“Pusat Data Global NTT Malaysia berjaya mengekalkan ketersediaan tinggi sepanjang masa, hasil usaha keras pasukan pakar kami yang terdiri daripada 60 jurutera dan pengendali. Dengan pelancaran CBJ6, kami percaya kami adalah penyedia utama perkhidmatan pusat data, menawarkan kemudahan dan kepakaran moden yang diperlukan oleh pusat data besar di Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kabel dasar laut MIST yang akan dimulakan tidak lama lagi, dibina oleh NTT sebagai salah satu pemegang saham, bakal merevolusikan kesalinghubungan di Pusat Data NTT Cyberjaya, meningkatkan kesalinghubungan rangkaian global Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan.

“Kabel tersebut yang menjangkau 8,100 kilometer akan menghubungkan Malaysia, India, Singapura dan Thailand dengan lancar, dengan kapasiti pasangan 12 gentian yang mampu menghantar lebih 200 terabit sesaat data,” katanya.

— BERNAMA

TAG: MIDA, NTT Ltd, Cyberjaya, pusat data global NTT, NIMP 2030

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.