MYAirline Gantung Operasi Berkuat Kuasa Hari Ini Sehingga Diberitahu Kelak

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — MYAirline Sdn Bhd menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Dalam satu kenyataan awal pagi ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata keputusan itu diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi kami.

“Kami telah berusaha tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata lembaga pengarahnya.

Namun begitu, MYAirline berkata ia akan terus komited untuk membantu mereka yang terjejas menghadapi situasi tersebut dan menasihati penumpang yang terkesan supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka.

“Sila hubungi kami di [email protected], dan pasukan sokongan kami akan sedia untuk memberikan bantuan mereka,” katanya.

MYAirline juga berkata lembaga pengarah, pemegang saham dan MYAirline akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini, syarikat penerbangan itu tidak dapat memberi komitmen pada sebarang garis masa.

“Kami sekali lagi memohon maaf yang tidak terhingga atas sebarang kesulitan dan ketidakselesaan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan sebarang makluman yang tersedia,” tambahnya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata MYAirline perlu menjelaskan sebarang isu yang dihadapi kepada kementerian berkenaan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum agensi itu menyediakan sebarang bantuan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan syarikat penerbangan tambang rendah itu dipercayai akan menerima pelabur baharu yang berpotensi iaitu anak Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari berikutan masalah kewangan yang melanda MYAirline.

Ini berlaku selepas Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo meletak jawatan minggu lepas atas sebab kesihatan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian