Pelabur Asing Kekal Sebagai Penjual Bersih Dengan Aliran Keluar RM81.9 Juta Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Pelabur asing terus menjadi penjual bersih pada minggu lepas dengan aliran keluar bersih sebanyak RM81.9 juta berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM59.9 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research. 

Katanya jualan bersih bermula pada Isnin yang menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu tersebut sebanyak RM167.69 juta dan trend itu berterusan dengan aliran keluar bersih sebanyak RM155.95 juta pada Selasa, RM56.57 juta pada Rabu dan RM42.49 juta pada Jumaat.

“Trend aliran keluar bersih itu mungkin disebabkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan Parlimen tergantung buat kali pertama dalam sejarah.

“Tiada gabungan yang mendapat 112 kerusi yang diperlukan untuk mencapai majoriti mudah. Bagaimanapun, ini telah dapat diselesaikan pada Khamis,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Susulan daripada penyelesaian kepada kebuntuan politik itu, warga asing menukar pendirian mereka kepada mencatatkan belian bersih sebanyak RM340.8 juta, satu-satunya aliran masuk bersih pada minggu itu.  

Bagaimanapun, ini tidak mencukupi untuk mengatasi jualan bersih yang dilaksanakan pada tiga hari sebelumnya berikutan Jumaat menyaksikan jualan bersih yang meningkat, menurut MIDF Research.

Sementara itu, institusi tempatan juga merupakan penjual bersih pada minggu lepas dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM4.2 juta, dengan sebahagian besarnya dicatatkan pada Khamis sebanyak RM158.69 juta dan Isnin sebanyak RM21.65 juta.

“Pada hari-hari lain, institusi tempatan merupakan pembeli bersih, masing-masing sebanyak RM64.96 juta, RM46.87 juta dan RM64.31 juta nilai ekuiti pada Selasa, Rabu dan Khamis,” katanya.

MIDF Research berkata peruncit tempatan terus menjadi pembeli bersih pada minggu lepas dengan jumlah aliran masuk bersih mingguan sebanyak RM85.91 juta berikutan mereka memulakan minggu tersebut dengan belian bersih bernilai RM189.35 juta.  

“Mereka kemudian menjadi penjual bersih pada Khamis dan Jumaat dengan aliran keluar bersih, masing-masing sebanyak RM182.12 juta dan RM22.02 juta,” katanya.

Setakat ini, MIDF Research berkata dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.83 bilion manakala institusi tempatan adalah penjual bersih sebanyak RM8.99 bilion dan peruncit tempatan adalah pembeli bersih sebanyak RM2.17 bilion. 

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dari segi purata nilai dagangan harian untuk pelabur runcit (67.37 peratus), pelabur institusi (62.23 peratus) dan pelabur asing (32.94 peratus). 

— BERNAMA  

Artikel asal: https://thekapital.my/pelabur-asing-kekal-sebagai-penjual-bersih-dengan-aliran-keluar-rm81-9-juta-minggu-lepas/

Previous ArticleNext Article

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.