Amazon Berdepan Dengan Tindakan Saman Atas Pertuduhan Mengeksploitasi Peniaga Kecil

Amazon merupakan sebuah syarikate-commerce paling berjaya dalam dunia ketika ini. Walaupun di Malaysia syarikat ini hanya terkenal dengan produk Kindle e-reader, syarikat Amazon merupakan syarikat paling berjaya di Amerika Syarikat dengan menguasai sebanyak 40% pegangan e-commerce di sana. Banyak syarikat yang cuba bersaing dengan Amazon tetapi kebanyakannya tidak mampu menyekat monopoli pasaran Amazon di Amerika Syarikat.

Gambar: TheNation.com

Monopoli Amazon

Antara syarikat gergasi yang cuba memecah monopoli Amazon adalah Alibaba yang merupakan gergasi e-commerce yang terkenal di Asia. Alibaba yang memasuki pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2014 selepas membuat pengapungan saham mereka akhirnya tidak dapat bertahan dengan monopoli Amazon yang sangat hebat. Syarikat itu terpaksa menutup laman web utama mereka iaitu 11 Street hanya dalam tempoh satu tahun selepas dilancarkan.

Selain itu juga, syarikat gergasi peruncitan yang paling terkenal di Amerika Syarikat iaitu Walmart juga tidak mampu menyekat monopoli Amazon di sana. Walmart terkenal dengan gedung fizikal hampir di setiap daerah di Amerika Syarikat. Walmart cuba untuk meniru model perniagaan Amazon dalam e-commerce, tetapi sehingga kini masih gagal dan tidak berjaya. Mereka juga telah menghabiskan berbillion dolar pelaburan mereka.

Gambar: TheNation.com

Amazon Disaman Oleh Pihak Berkuasa California

Dengan mempunyai sebanyak 200 juta Prime Member (sistem keahlian), Amazon kini begitu selesa dengan model perniagaan mereka. Amazon yang mengamalkan falsafah memenuhi dan menjaga kebajikan pelanggan mereka dan mereka telah berjaya dengan model perniagaan yang sedemikian. Walaupun begitu, tidak semua pihak bersetuju dengan model perniagaanAmazon yang dilihat menindas pihak penjual yang menjual di platform mereka demi menjaga pelanggan mereka. September lalu, syarikat tersebut telah disaman oleh pihak berkuasa California atas tuduhan cuba memonopoli dan menindas peniaga kecil.

Ketua Peguam Negeri Califonia, Rob Bonta telah membuat satu pertuduhan dan membawa kes tersebut di Mahkamah Tinggi Negeri California. Amazon dituduh membuli peniaga kecil yang menggunakan platform mereka untuk menjual produk mereka. Amazon dikatakan telah mengugut peniaga kecil yang menggunakan platformnya supaya tidak menjual produk mereka selain di Amazon dengan harga yang lebih rendah dari platform tersebut, termasuk dalam laman sesawang mereka sendiri.

Amaran itu diberikan bertujuan memberi kelebihan kepada platform Amazon untuk para pembeli membeli dengan lebih murah. Amazon juga turut memberi amaran keras kepada peniaga kecil supaya tidak meletakan produk yang sama di platform pesaing terdekat Amazon iaitu Walmart dan Target.

Harga Lebih Rendah Di Platform Amazon

Amazon terkenal dalam menghapuskan pesaing mereka dengan menggunakan teknik membuang harga dalam pasaran yang sama. Apabila harga murah ditawarkan oleh Amazon pada produk yang sama, pesaing mereka secara tidak langsung tidak mampu menandingi tawaran yang dilakukan oleh Amazon. Syarikat ini mempunyai kelebihan dari segi bilangan data pelanggan mereka. Dengan ahli sebanyak 200 juta di Amerika Syarikat, Amazon mampu mengoptimumkan data tersebut untuk mencari trend pembelian terbaik pada sesuatu masa. Disebabkan perkara tersebut, Amazon menjadi terkehadapan dalam mencari pattern tersebut.

Selain menghancurkan pesaing dari dalam, Amazon juga terkenal dengan membeli pesaing mereka untuk mengelakkan persaingan. Amazon gemar membeli pesaing kecil mereka seperti Whole Foods dan One Medical. Terbaru, mereka bakal membeli syarikat iRobot  yang merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan robot vakum pembersih di rumah. Amazon dikatakan tertarik dengan jumlah database yang dimiliki oleh syarikat tersebut.

Amazon Turut Disaman Di Eropah

Selain menghadapi saman di California, Amazon turut menghadapi nasib yang sama di Eropah. Disaman pada tahun 2020, syarikat tersebut bergelut dengan pihak perundangan Eropah di mana mereka telah menghadapi saman yang sama akibat memonopoli perniagaan disana. Kesatuan Eropah telah mengeluarkan denda sebanyak $887 juta untuk syarikat tersebut dan Amazon telah membayarnya untuk mengelakkan lesen operasi mereka digantung di benua tersebut. Sehingga kini, Amazon masih lagi meneruskan model perniagaan mereka walaupun menghadapi pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh mereka.

Rujukan: Fox Business

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters