Pelaksanaan Ekonomi MADANI Tidak Libatkan Tambahan Perbelanjaan – Rafizi

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Pelaksanaan Ekonomi MADANI tidak akan melibatkan sebarang penambahan perbelanjaan tahun ini, dan masih berdasarkan perbelanjaan kerajaan seperti yang ditetapkan dalam Belanjawan 2023, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata kerajaan akan berbelanja mengikut peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen serta berdasarkan perbelanjaan yang ditetapkan dalam belanjawan tahun ini.

“Kita perlu berbelanja mengikut (peruntukan) yang diluluskan oleh Parlimen, kita tidak boleh pandai-pandai berbelanja, ada beberapa cara (yang boleh digunakan),” katanya kepada pemberita pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata contohnya, kerajaan boleh menyusun semula keutamaan dari segi belanjawan yang telah diluluskan untuk projek atau kementerian tertentu.

“Kita boleh subwaran untuk dibelanjakan, kita boleh beri keutamaan serta alih dan susun balik. Jadi, kerajaan boleh berbelanja lebih dalam bidang yang dirasakan cukup penting untuk merealisasikan Ekonomi MADANI tanpa kita melepasi had belanjawan yang ditetapkan,” katanya.

Inisiatif Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Pada 5 April 2023, Persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) untuk perbelanjaan berjumlah RM388.10 bilion, iaitu RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Selain itu, Rafizi berkata kerajaan optimistik bahawa sasaran pengurangan defisit fiskal negara kepada lima peratus mampu dicapai.

Kerajaan menyasarkan defisit fiskal 2023 dikurangkan kepada 5.0 peratus berbanding dengan 5.6 peratus tahun lepas di samping bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.