Penduduk Selangor Bakal Terima Manfaat Pembangunan Jajaran ECRL: Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Sebahagian besar penduduk Selangor bakal menerima manfaat daripada pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya jajaran ECRL melibatkan Selangor iaitu Seksyen C, dibahagikan kepada dua iaitu Seksyen C1 dari Mentakab ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah. 

“Jajaran ECRL bagi Seksyen C2 adalah sepanjang 74.25 kilometer yang merangkumi empat stesen iaitu Serendah Baru (penumpang dan kargo), Puncak Alam (stesen penumpang), Kapar (stesen penumpang) dan Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo),” katanya dalam hantaran terbaharunya di laman sosial Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa laluan ECRL C2 dijangka siap pada 31 Dis, 2027.

Tengku Zafrul berkata beliau turun padang ke Kuala Selangor pada Mei lepas dan antara isu yang dibangkitkan oleh gabungan 25 persatuan penduduk Puncak Alam adalah keperluan untuk mempunyai stesen ECRL di kawasan berkenaan.

“Saya telah membawa permintaan mereka untuk pertimbangan pihak bertanggungjawab dan alhamdulillah, Puncak Alam bakal mempunyai stesen ECRLnya sendiri,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemerkasaan pengangkutan awam sudah tentu akan memudahkan penduduk Kuala Selangor.

“Pada kemuncaknya, dijangkakan sekitar 300,000 penumpang akan menggunakan stesen Puncak Alam,” katanya sambil memaklumkan bahawa jajaran ECRL tersebut bukan sahaja akan memanfaatkan penduduk Kuala Selangor, malah penduduk kawasan lain di Selangor.

Seksyen C laluan ECRL telah melalui pemeriksaan awam mulai 23 Ogos hingga 23 Nov, 2021 dan menerima kelulusan muktamad di bawah skim keretapi pada 20 Jan tahun ini.

Terdahulu hari ini, Wee dilaporkan berkata pemeriksaan awam itu bertujuan membolehkan orang ramai memberikan maklum balas mengenai jajaran dan stesen ECRL yang dicadangkan terutamanya di Selangor, khususnya Puncak Alam dan Kapar.

Menurut Wee, hasil pemeriksaan awam dan beberapa sesi libat urus yang diadakan mendapati orang ramai menyokong pembinaan stesen Puncak Alam.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/penduduk-selangor-bakal-terima-manfaat-pembangunan-jajaran-ecrl-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA