Alliance Bank Tawar Pilihan Pembiayaan PKS Digital Patuh Shariah Untuk PKS Mikro Dan Kecil

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2022 – Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) telah memperkenalkan pilihan pembiayaan patuh Shariah yang baharu untuk membantu perniagaan mikro dan kecil, terutamanya yang beroperasi dalam industri halal atau yang memilih sumber dana yang dibenarkan oleh Islam.

Pilihan pembiayaan digital yang cepat dan mudah dimohon yang berasaskan konsep murabahah komoditi (tawarruq) ini membolehkan perniagaan mikro dan kecil mendapat pembiayaan sehingga RM500,000 secara mudah dengan kaedah digital sepenuhnya. Pembiayaan ini disediakan kepada perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya selama tiga tahun dengan perolehan tahunan minimum sebanyak RM500,000.

“Kami kini berkembang untuk menawarkan produk-produk patuh Shariah sepenuhnya sebagai pilihan tambahan untuk para pemilik perniagaan bagi memenuhi keperluan kewangan mereka selain daripada pinjaman PKS digital konvensional. Menerusi proses permohonan digital yang mudah dan pantas, pemilik perniagaan boleh memohon dan menjejak status permohonan pada bila-bila masa di mana-mana sahaja. Sasaran kami pada tahun ini adalah untuk menyediakan pembiayaan PKS digital sebanyak RM200 juta bagi membantu para pemilik perniagaan berkembang melalui penyelesaian PKS Digital kami,” kata Encik Kevin Shum, Naib Presiden Kanan dan Ketua PKS Digital Alliance Bank.

Sebagai tambahan kepada bantuan kewangan, Alliance Bank menyokong pemilik perniagaan menerusi pelbagai pilihan penyelesaian digital bagi membantu mereka menguruskan dan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih cekap selain memasuki pasaran baharu. Portal Penyelesaian BizSmart® yang disediakan oleh Bank menyediakan lebih 200 produk dan perkhidmatan oleh rakan niaga untuk membantu perniagaan mencapai kepada lebih ramai pelanggan, mendigitalkan dan melaksanakan amalan mampan pada kadar yang lebih rendah dengan memanfaatkan rangkaian PKS Bank yang kukuh. Bank juga akan melancarkan produk-produk baharu khusus untuk memenuhi keperluan perniagaan mikro dan kecil dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

“Sebagai Bank yang sudah sekian lama menyokong perniagaan di Malaysia, kami faham bahawa perniagaan mikro dan kecil, terutamanya perniagaan yang baharu, mungkin berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan saluran kredit perniagaan disebabkan mereka masih belum dapat membina sejarah kredit yang baik. Oleh yang demikian, kami turut menawarkan saluran kemudahan mikro bagi membantu mereka memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek dan pada masa yang sama membantu mereka membina sejarah kredit. Dengan profil kredit perniagaan yang sihat, kami seterusnya akan dapat menyediakan saluran kredit yang lebih besar untuk keperluan mengembangkan perniagaan mereka pada masa hadapan,” tambah En. Shum.

Pilihan pembiayaan patuh Shariah PKS Digital Alliance Bank membolehkan pemilik perniagaan meningkatkan modal kerja mereka dengan kadar keuntungan siling yang telah ditetapkan untuk semua struktur pembiayaan. Ia menawarkan tempoh sehingga tujuh tahun dengan kadar berubah daripada serendah kadar pembiayaan asas + 3.50% setahun (kadar pembiayaan asas semasa kini pada 5.92% setahun).

Untuk maklumat lanjut tentang penyelesaian PKS Digital Alliance Bank, sila layari https://www.alliancebank.com.my/digitalsme.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.