Pengecualian Cukai Jualan Kenderaan Tamat 30 Jun, Tempoh Daftar Lanjut Sehingga 31 Mac 2023

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata namun, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun, 2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai itu maka tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac, 2023.

“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan serta 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15 Jun, 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun, 2022.

Ia bertujuan mengekalkan dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19, katanya.

Tengku Zafrul berkata setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Beliau berkata dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala.

“Bagaimanapun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.

“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif,” katanya.

Belau berkata susulan itu, pemasangan sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan ini masih belum siap dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pengecualian-cukai-jualan-kenderaan-tamat-30-jun-tempoh-daftar-lanjut-sehingga-31-mac-2023/

Previous ArticleNext Article

Sebanyak 10 Syarikat Pemula Niaga Cip Tempatan Dipilih Sertai Kohort Pertama Semiconstart Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) — Sebanyak 10 syarikat pemula niaga semikonduktor Malaysia dipilih untuk program inkubasi semikonduktor kebangsaan yang julung kali diadakan, Semicon Start Malaysia, yang bertujuan membantu mengkomersialkan teknologi buatan tempatan dan membangunkan syarikat teknologi.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MIDC) Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata program selama setahun itu akan menyediakan syarikat-syarikat berkenaan untuk beralih daripada syarikat pemula niaga kepada firma peringkat pertengahan yang mampu bersaing di peringkat global.

“Dalam jangka masa pendek, kami akan menyediakan 10 syarikat ini untuk benar-benar mendepani segala cabaran bagi beralih daripada sebuah syarikat pemula niaga kepada syarikat peringkat pertengahan. Ia amat mencabar.

“Tawaran awam permulaan (IPO) masih terlalu awal pada pandangan saya, tetapi ia merupakan objektif utama; itulah yang kami mahukan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Semicon Start Malaysia di sini hari ini.

Semicon Start Malaysia ialah program inkubasi semikonduktor peringkat kebangsaan yang direka untuk menyokong pertumbuhan syarikat semikonduktor berpotensi tinggi dari Malaysia dan yang berpangkalan di Malaysia dalam segmen bernilai lebih tinggi bagi rantaian nilai semikonduktor global.

Semicon Start Malaysia, yang diterajui oleh MIDC dengan kerjasama Silicon Catalyst UK, ialah program pertama di negara ini untuk membantu syarikat pemula niaga semikonduktor membangunkan perniagaan mereka. Program ini membantu mereka menghadapi cabaran industri seperti kos prototaip yang tinggi.

Abdul Rahman berkata program itu bertujuan menyediakan syarikat semikonduktor Malaysia untuk menjadi pemain global, sambil menambah kohort pertama itu hanyalah sebagai permulaan dan lebih banyak syarikat dijangka menyertai kohort berikutnya pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M’IDC Mohammad Hazani Hassan berkata program itu memberi tumpuan kepada usaha membina syarikat produk Malaysia dengan menyokong syarikat pemula niaga daripada peringkat awal pembangunan teknologi sehinggalah ke fasa pengkomersialan.

Beliau berkata sebahagian besar syarikat yang mengambil bahagian kini berada pada tahap kesediaan teknologi (IRL) 4 hingga 6 dan program berkenaan bertujuan untuk membantu mereka meningkat ke sekurang-kurangnya TRL 8 sebelum mengkomersialkan produk mereka.

“Tetapi yang paling penting (adalah) bagaimana kita membina asasnya. Dari hari pertama lagi, kita mendedahkan syarikat-syarikat ini kepada pentas antarabangsa, termasuk para pelabur, rakan kongsi, mentor dan juga pelanggan,” katanya.

Mohammad Hazani berkata program itu telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya sekurang-kurangnya empat daripada 10 syarikat berkenaan dapat melangkah ke peringkat seterusnya dengan memperoleh pelaburan baharu dan rakan kongsi strategik.

Beliau berkata sebanyak RM10 juta diperuntukan untuk fasa pertama program itu dan setelah selesai, MIDC merancang untuk menyokong syarikat yang mengambil bahagian dengan peruntukan sebanyak RM10 juta lagi di samping memanfaatkan pembiayaan daripada firma modal teroka, termasuk Khazanah Nasional Bhd dan pelabur antarabangsa.

Di bawah program Semicon Start Malaysia, syarikat yang terpilih boleh menerima sokongan inkubasi sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat, bersama laluan pembangunan berstruktur selama 26 hari.

Kohort pertama yang berlangsung dari 1 Julai, 2026 hingga 30 Jun, 2027, telah dipilih daripada 39 permohonan.

Mohammad Hazani berkata M’IDC turut merancang untuk membentuk kohort kedua daripada syarikat-syarikat pemula niaga yang selebihnya.

— BERNAMA