Empat Industri Pulih Kepada Tahap Sebelum Pandemik – Jobstreet

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Sebanyak empat industri telah pulih kepada tahap sebelum pandemik atau lebih tinggi, berdasarkan jumlah peluang pekerjaan yang disiarkan dan permohonan yang diterima dalam platform pekerjaan dalam talian, JobStreet.

Menurut Laporan Prospek Pekerjaan 2022 (Malaysia) JobStreet, empat industri itu ialah semikonduktor dan fabrikasi wafer, elektrik dan elektronik (E&E), komputer dan teknologi maklumat (IT) (perisian) serta pengangkutan dan logistik.

“Permintaan terhadap semikonduktor meningkat dengan kukuh pada tahun lepas berikutan transformasi digital akibat pandemik dan kekurangan dalam industri automotif dengan kira-kira 70 peratus daripada iklan pekerjaan untuk industri semikonduktor dan fabrikasi wafer adalah untuk pengkhususan kejuruteraan dan pembuatan, dengan majoriti 55 peratus daripada iklan pekerjaan dari Pulau Pinang.

“Industri E&E kekal berdaya tahan dalam memacu pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan, automotif dan runcit.

“Jawatan berkaitan kejuruteraan menyumbang paling banyak iklan pekerjaan industri sebanyak 35.8 peratus, dengan Pulau Pinang sekali lagi menyumbang 50 peratus daripada iklan pekerjaan, diikuti Selangor sebanyak 23 peratus,” menurut laporan itu.

Ia turut mendedahkan bahawa pertumbuhan dari segi jumlah paparan kerja dan permohonan dalam industri perisian-IT mencerminkan kekurangan tenaga kerja IT di peringkat global, menunjukkan majikan perlu menarik pekerja dengan pampasan, faedah dan aturan kerja yang lebih baik.

Sementara itu, peningkatan membeli-belah dalam talian telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dalam syarikat logistik dan sektor logistik pihak ketiga.

“Industri lain yang menunjukkan pemulihan secara berperingkat dan stabil termasuklah penjagaan kesihatan dan perubatan, pembuatan dan pengeluaran, makanan dan minuman, runcit dan barangan, pembinaan dan kejuruteraan serta perbankan dan kewangan,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, aktiviti pengambilan pekerja meningkat dengan lebih ramai telah menerima vaksin sepenuhnya, selain kelonggaran sekatan pergerakan.

Kebanyakan industri, katanya 55 daripada 60, menyaksikan peningkatan paparan iklan pekerjaan pada suku keempat 2021.

Sementara itu, Pengarah Operasi JobStreet Malaysia Ashwin Jeyapalasingam berkata empat industri ini mencatatkan pemulihan dan pertumbuhan yang kukuh terutamanya berikutan inisiatif transformasi digital yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/empat-industri-pulih-kepada-tahap-sebelum-pandemik-jobstreet/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.