KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyaran pemilik ladang meningkatkan penggunaan teknologi automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.
Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin berkata berdasarkan kajian dan penyelidikan teknologi oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), peningkatan penggunaan automasi seperti menggunakan dron untuk pengawasan dan kawalan serangga perosak akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.
“Kementerian menggalakkan pemilik kebun untuk mula membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi kerana pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen ‘Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan’ yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya kementerian berharap pemilik ladang akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Dalam masa yang sama, Zuraida berkata kementerian akan meneruskan usaha mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan khususnya sawit.
Katanya kementerian sedar kekurangan pekerja akan menyebabkan industri sawit mengalami penurunan pendapatan sebanyak lima peratus sehingga 10 peratus seperti diramalkan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA).
“Semua pihak perlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca daripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak COVID-19 di dalam negara, sekali gus melindungi imuniti kelompok rakyat daripada penyakit berjangkit.
“Ketika ini, kementerian terus berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dengan kadar segera,” katanya.
Pada September 2021, kerajaan bersetuju meluluskan rancangan membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara, katanya.
Selain itu, katanya pada masa hadapan, pemilik ladang kelapa sawit di seluruh negara perlu melihat prospek pekerja dengan lebih meluas seperti di India dan Pakistan, serta tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja dari negara Indonesia dan Bangladesh.
Kuala Lumpur – Visa, pemimpin global dalam pembayaran, telah mendedahkan hasil penemuan baharu daripada kajian Tujuan Perjalanan Global 2026 edisi Malaysia, yang mendapati bahawa dalam gelombang kenaikan kos dan persekitaran global yang kian berubah, rakyat Malaysia tidak mengurangkan aktiviti perlancongan mereka – tetapi melakukannya dengan tujuan yang lebih nyata, mengutamakan destinasi yang lebih dikenali, merancang secara lebih praktikal dan memberikan lebih penekanan terhadap alat digital dan keyakinan pembayaran sebagai sebahagian daripada perjalanan pelancongan masing-masing.
Kajian yang menjejak corak dan pilihan perjalanan global selama lebih 20 tahun ini, meninjau selidik lebih daripada 47,000 responden di seluruh dunia, termasuk lebih daripada 17,000 responden di Asia Pasifik dan kira-kira seribu responden di Malaysia.
Melancong lebih dekat, berpandukan matlamat dan pengalaman
Rakyat Malaysia kini semakin cenderung melancong di rantau ini, dengan hampir lapan daripada sepuluh responden (78%) memilih Asia Pasifik sebagai rantau utama untuk dikunjungi. Jepun mendahului sebagai destinasi pilihan utama, diikuti oleh Thailand, Indonesia, China, dan Singapura.
Walaupun faktor kebiasaan merupakan pertimbangan utama, keputusan berkaitan pelancongan kini dibuat lebih berdasarkan tujuan. Tujuan bersantai kekal sebagai dorongan utama (48%), di samping meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan (40%) dan meneroka pengalaman baharu (31%). Kemampuan (36%) dan keselamatan (31%) juga memainkan peranan yang semakin penting untuk membentuk pilihan destinasi. Ini mencerminkan trend yang lebih luas, di mana pelancong kini mengimbangkan keselesaan dengan penerokaan, mengutamakan pengalaman yang bermakna dan terurus.
Pelancongan berasaskan minat juga semakin mendapat perhatian, dengan rakyat Malaysia menunjukkan minat untuk menghadiri acara global dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, seperti menyaksikan temasya sukan antarabangsa secara langsung, konsert dan pesta seperti Piala Dunia FIFA 2026™, Formula 1™ dan K-Pop — dan sekali gus memperlihatkan pengalaman kini semakin menjadi faktor yang menyokong keputusan pelancongan.
Perancangan digital kini mencorakkan semula cara rakyat Malaysia melancong
Seiring dengan tingkah laku perjalanan yang semakin teliti dan bermatlamat, perancangan perjalanan juga semakin dipacu oleh platform digital. Rakyat Malaysia menggunakan kaedah yang lebih tersusun — dengan tumpuan utama terhadap penginapan dan pengangkutan, di samping semakan insurans, keperluan visa dan keadaan destinasi sebelum berlepas.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini pantas muncul sebagai sebahagian daripada proses ini, khususnya untuk menentukan keputusan perjalanan di peringkat awal. Dalam kalangan mereka yang menggunakan AI untuk merancang, 58 peratus memanfaatkannya untuk mencari destinasi baharu, manakala 54 peratus bergantung padanya untuk menyediakan jadual perjalanan. Pelancong juga menggunakan AI untuk membaca ulasan dan cadangan, dan juga membandingkan harga, menunjukkan bahawa alat digital bukan sahaja mengoptimumkan perjalanan — tetapi juga merupakan pengaruh yang semakin besar untuk menentukan destinasi pelancong, membantu mereka merancang dengan tahap ketelusan dan keyakinan lebih tinggi.
Selain perancangan, pembayaran juga menjadi sebahagian penting daripada persediaan perjalanan. Pelancong Malaysia secara proaktif menyemak kadar tukaran asing, penerimaan bayaran, keserasian kad dan keselamatan sebelum mereka berlepas — justeru menganggap pembayaran sebagai faktor penentu penting untuk pengalaman pelancongan yang lancar.
Pembayaran digital dan berasaskan kad terus memainkan peranan utama dalam cara rakyat Malaysia membuat pembayaran, dengan dompet mudah alih menjadi kaedah pembayaran yang paling banyak digunakan, manakala kad kekal sebagai alat pembayaran utama. Apabila para pelancong semakin bergantung kepada pilihan ini semasa merentasi sempadan, pembayaran digital yang lancar dan selamat merupakan faktor penting bagi memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk berjalan, berbelanja dan meneroka dengan mudah di mana sahaja mereka pergi.
Merancang keperluan awal, memastikan fleksibiliti di destinasi
Pelancong Malaysia kini lebih strategik daripada segi cara mereka mengatur perjalanan mereka — dengan merancang keperluan lebih awal, sambil meninggalkan ruang untuk keputusan spontan. Penginapan (86%), insurans perjalanan (85%) dan pengangkutan ulang alik ke destinasi (76%) lazimnya ditempah lebih awal, memberikan jaminan sebelum berlepas.
Bagaimanapun, sebaik tiba di destinasi, rancangan pelancong kekal fleksibel. Makan minum, pengangkutan tempatan, dan pengalaman yang ingin dinikmati lazimnya ditentukan lebih hampir atau semasa perjalanan, mencerminkan pilihan mereka untuk menyesuaikan perancangan dalam waktu semasa. Secara keseluruhannya, tingkah laku ini mencerminkan pendekatan terhadap perjalanan yang semakin berubah — perancangan dilakukan untuk membina keyakinan dan sikap fleksibel untuk menambah baik pengalaman pelancongan.
Bagi destinasi pelancongan, perniagaan dan pengeluar, peralihan ini membuka peluang baharu untuk melibatkan pelancong Malaysia dalam seluruh proses perjalanan — daripada inspirasi dan perancangan kepada tempahan dan pengalaman di destinasi. Seiring peralihan yang lebih mengutamakan digital dan berasaskan tujuan, pembayaran lancar dan selamat memainkan peranan semakin penting untuk memudahkan perjalanan — demi mengurangkan kerenah dan memberikan keyakinan kepada pelancong untuk lebih bebas mengembara merentasi sempadan.
“Hasil kajian Tujuan Perjalanan Global terbaharu mengesahkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengurangkan aktiviti pelancongan mereka — sebaliknya mereka merancang dan menikmatinya dengan lebih teliti dan berasaskan tujuan. Kami melihat lebih penekanan terhadap nilai, keselamatan dan pengalaman bermakna, memandangkan pelancong yang mengutamakan digital mengambil pendekatan lebih praktikal terhadap perancangan, dengan sokongan lebih besar daripada alat seperti AI. Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kami dapat memudahkan pelancong di sepanjang perjalanan mereka — daripada penemuan dan perancangan kepada tempahan dan perbelanjaan — supaya mereka boleh meneroka, melakukan apa yang diminati dan mengembara dengan lebih yakin. Di sinilah pengalaman pembayaran yang lancar, selamat dan diterima secara meluas memainkan peranan kritikal, untuk membantu rakyat Malaysia bergerak merentasi sempadan dengan mudah di setiap peringkat perjalanan mereka,” kata Jason Phua, Ketua Pelanggan, Visa Malaysia.
Untuk mendapatkan kajian penuh Tujuan Perjalanan Global atau mengetahui lebih lanjut tentangnya, sila hubungi pasukan Strategi, Risikan dan Analitik Visa Asia Pasifik di APInsights&[email protected].
*Formula 1 ialah tanda dagang berdaftar yang dimiliki oleh Formula One Licensing B.V., anak syarikat Formula One Group.