Perjanjian MY-UAE CEPA Dijangka Dapat Tingkat Perdagangan Dua Hala Sebanyak 60 Peratus – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) — Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) dijangka dapat meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih mampan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata CEPA juga dijangka membuka laluan untuk kerjasama ekonomi komprehensif yang kukuh melalui fasilitasi laluan perdagangan, serta perluasan akses pasaran antara Malaysia dan UAE. 

Beliau berkata, UAE merupakan salah satu hab perdagangan utama untuk pasaran Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

“Kejayaan Malaysia dan UAE memeterai Perjanjian MY-UAE CEPA di Abu Dhabi pada 14 Januari 2025 merupakan satu kejayaan besar kepada kedua-dua negara, di mana rundingan ini merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama antara Malaysia dengan sebuah negara Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tengku Zafrul berkata beliau juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Negara bagi Perdagangan Luar, Kementerian Ekonomi UAE, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi untuk membincangkan pelbagai isu termasuk pelaksanaan CEPA serta potensi perdagangan dan pelaburan dalam bidang berkepentingan bersama. 

Turut dibincangkan adalah jangkaan hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)+China yang bakal diadakan pada Mei 2025, bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

“Rundingan CEPA yang hanya mengambil selama 11 bulan mencerminkan komitmen Malaysia dan UAE untuk mengeratkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi demi manfaat bersama. 

“Pemeteraian CEPA dijangka bakal meletakkan Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang dinamik, membuka peluang baharu untuk perniagaan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, selain menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk untuk perniagaan UAE ke pasaran ASEAN,” katanya. 

Sementara itu MITI berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga telah mengaturkan sesi pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan syarikat dana kekayaan berdaulat dari Abu Dhabi, iaitu Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Mubadala Investment Company serta syarikat tenaga boleh baharu utama UAE, MASDAR.

Menurutnya, antara sektor yang berpotensi untuk kerjasama lebih kukuh dengan syarikat dana kekayaan berdaulat tersebut termasuklah tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor.

MITI berkata Malaysia juga menyambut baik hasrat ADIA untuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha transformasi Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB). 

“Malaysia dan UAE telah menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Pelaburan Projek Pusat Data. 

“Kerjasama dalam sektor ini mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan memanfaatkan kepakaran serta modal yang ditawarkan oleh UAE,” katanya.

Pada 2023, UAE merupakan rakan dagang Malaysia yang kedua terbesar di rantau Asia Barat, selepas Arab Saudi. 

UAE juga merupakan negara kedua terbesar bagi destinasi eksport negara selepas Turkiye dan kedua terbesar bagi sumber import negara selepas Arab Saudi dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Barat. 

Dalam tempoh sebelas bulan pertama 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE berjumlah RM39.53 bilion, peningkatan 8.6 peratus tahun-ke-tahun. 

Hubungan ini mencerminkan kepentingan strategik UAE sebagai rakan ekonomi utama Malaysia di rantau tersebut.

MITI berkata, dari aspek aspek pelaburan asing, UAE merupakan antara negara pelabur tertinggi dalam kalangan negara-negara anggota GCC di Malaysia. 

Sehingga September 2024, sebanyak 35 projek pembuatan oleh pelabur dari UAE bernilai RM1.51 bilion, telah dilaksanakan.

Pelaburan ini berjaya mewujudkan sebanyak 2,187 peluang pekerjaan, menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pertumbuhan sektor pembuatan negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.