KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Permintaan lada dan koko meneruskan aliran meningkatnya pada tahun ini manakala niaga hadapan emas terus berkembang kukuh setakat November 2022.
Bagaimanapun Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) menyaksikan hanya satu dagangan diniagakan pada bulan Januari 2022.
Koko dan lada kekal sebagai komponen utama ekonomi negara dengan kedua-duanya merekodkan peningkatan dari segi nilai eksport setakat Jun dan September 2022.
Seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah eksport lada yang direkodkan sehingga September 2022 ialah sebanyak 5,348.26 tan metrik bernilai RM142.33 juta, peningkatan 2.25 peratus dari segi kuantiti dan 42.92 peratus dari segi nilai berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, dari Januari hingga Jun 2022, hasil eksport biji dan produk koko meningkat sebanyak 11.7 peratus kepada RM3.76 bilion berbanding RM3.37 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
Peningkatan itu disumbang oleh pengembangan dalam aktiviti huluan, peralihan kepada rantaian tokokan nilai dan penghasilan produk akhir bagi eksport.
Meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan oleh perang Rusia-Ukraine, tekanan inflasi, perubahan dalam rantaian bekalan dan permintaan serta ketidaktentuan ekonomi, jumlah dagangan kontrak Niaga Hadapan Emas Bursa Malaysia Derivatives (FGLD) terus berkembang kukuh dengan sejumlah 183 kontrak diniagakan setakat 29 Nov, 2022.
Bagaimanapun dagangan di PTKL setakat ini hanya pada bulan Januari 2022, manakala dari Februari sehingga November tiada sebarang dagangan dicatatkan.
Malaysia pengisar koko kedua terbesar di Asia
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr Ramle Kasin berkata pada 2022 Malaysia mengeksport lebih banyak lemak koko, serbuk koko dan coklat, menembusi pasaran baharu di seluruh dunia dan juga peningkatan aktiviti pengisaran.
Beliau berkata, dari tempoh Januari hingga Jun 2022, pengisaran biji koko meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada 182,755 tan metrik berbanding 171,318 tan metrik pada tempoh yang sama tahun lepas.
“Peningkatan aktiviti pengisaran tempatan bagi tempoh separuh pertama 2022 disumbang oleh permintaan tinggi terhadap produk koko yang menggalakkan aktiviti tersebut,” katanya kepada Bernama sambil menambah Malaysia merupakan pengisar koko kedua terbesar di Asia dan yang kesembilan dari segi pengeluaran.
Ramle berkata koko dan produk koko Malaysia berkembang pesat di pasaran global dan meraih liputan pasaran yang meluas lebih daripada 100 destinasi pasaran di seluruh dunia.
Lemak koko kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah pendapatan eksport yang menyumbang 35.9 peratus, diikuti serbuk koko pada 23.9 peratus dan coklat pada 16.8 peratus.
Lemak koko Malaysia dieksport terutamanya ke Amerika Syarikat (25.6 peratus), diikuti Jepun (10.1 peratus) dan Estonia (8.3 peratus).
Bagi serbuk koko, China merupakan pembeli utama menyumbang 12.8 peratus diikuti Thailand (10.6 peratus) dan Filipina (9.8 peratus).
Coklat dieksport terutamanya ke Jepun (24.1 peratus), Thailand (9.9 peratus) dan Filipina (9.5 peratus).
“Di peringkat serantau, rantau Asia Oceania merupakan rakan dagangan utama koko dan produk koko Malaysia, menyumbang 61.6 peratus daripada jumlah hasil eksport bagi Januari hingga Jun 2022 diikuti rantau Amerika (17.6 peratus), Timur Tengah (8.9 peratus), Eropah Timur (5.3 peratus) dan Eropah Barat (4.7 peratus),” katanya.
Mengenai prospek bagi 2023, Ramle berkata berdasarkan kepada prestasi semasa, pendapatan eksport daripada koko dan produk koko pada 2023 dijangka terus meningkat kepada RM8.0 bilion.
Lada catat prestasi stabil
Lembaga Lada Malaysia (MPB) berkata 2022 menunjukkan aliran stabil dari segi harga lada walaupun keadaan tidak menentu sepanjang tahun tetapi harga tidak pernah jatuh ke bawah paras RM13,000 setan metrik bagi lada hitam dan RM23,000 setan metrik bagi lada putih.
“Ini menunjukkan bahawa harga lebih stabil berbanding trend yang dilaporkan pada tahun 2016 hingga 2020,” katanya.
MPB berkata, sehingga kini, jumlah kawasan penanaman lada di Malaysia meliputi 8,019 hektar melibatkan 98 peratus daripada penanaman adalah di kawasan luar bandar Sarawak dengan anggaran pengeluaran 32,000 tan metrik dan dua peratus lagi dari beberapa bahagian di Sabah dan Semenanjung Malaysia dengan anggaran pengeluaran 700 tan metrik.
“Walaupun masih awal untuk menilai prestasi sepanjang tahun, kita dapat melihat pasaran lada Malaysia berada pada arah aliran yang menggalakkan dari segi permintaan dalam pasaran global berbanding 2021,” katanya merujuk kepada jumlah eksport lada seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan.
Dari segi import, kuantiti menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya daripada 2,269.41 tan metrik kepada 2,193.87 tan metrik tetapi nilai import meningkat daripada RM42.49 juta kepada RM47.96 juta berikutan dolar AS yang lebih kukuh.
Bagi tahun 2023, MPB menyasarkan untuk memperluaskan lagi 330 hektar kawasan penanaman lada baharu dengan anggaran pengeluaran berjumlah 40,000 tan metrik menjelang 2025.
“Dengan harapan harga lada terus berada pada trend positif, MPB menjangkakan lebih ramai orang akan berminat dengan penanaman lada terutamanya dalam kalangan anak muda serta menggalakkan lebih ramai petani menceburi bidang pertanian lada secara komersial di Malaysia.
“Dari segi perdagangan, kami menjangkakan peningkatan dalam kuantiti eksport dalam julat lima peratus hingga 10 peratus menjelang 2023,” katanya.
Emas
Menurut Bursa Malaysia Derivatives Bhd, kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) menyaksikan kontrak paling aktifnya ditutup pada US$1,781.90 setiap auns troy pada 15 Nov 2022, tertinggi dalam rekod berikutan dolar AS yang lebih lemah di tengah-tengah jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat akan mengambil pendekatan kurang agresif untuk menaikkan kadar.
Harga terendah pernah direkodkan sejak pelancarannya ialah pada 4 Nov 2022, iaitu pada US$1,623.00 setiap auns troy disebabkan oleh kenaikan kadar faedah Fed sebanyak 75 mata asas.
Emas terdedah kepada kenaikan kadar faedah AS kerana ini meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong yang tidak memberikan hasil, katanya.
Bursa Malaysia Derivatives Bhd melancarkan kontrak FGLD yang dipertingkatkan pada 19 Sept 2022, berikutan penggantungannya pada Mac 2021 untuk membolehkan semakan spesifikasi kontrak.
Timah
PTKL merekodkan paras tertinggi sebanyak US$42,020 setan metrik pada 19 Jan, 2022, berikutan permintaan kukuh terutamanya dari China, Eropah dan Jepun serta peningkatan stok pengguna di tengah-tengah perang Rusia-Ukraine, kata seorang peniaga. Paras tertinggi sebelum ini ialah sebanyak US$39,500 setan metrik yang dicatatkan pada Disember 2021.
Harga terendah PTKL pada 2022 ialah sebanyak US$40,400 setan metrik yang dicatatkan pada 12 Jan, 2022.
Peniaga itu berkata harga timah yang tinggi pada Januari 2022 adalah sejajar dengan momentum meningkat harga logam asas lain.
Beliau berkata harga purata pada 2022 melonjak kepada US$41,007 setan metrik berbanding US$26,589 setan metrik yang dicatatkan pada 2021.
“Dari Februari hingga November, tiada dagangan dijalankan di PTKL kerana tidak ada tan timah ditawarkan untuk dijual di pasaran fizikal timah tempatan,” katanya.
Bagi prospek 2023, peniaga berpendapat KLTM berkemungkinan akan terus mencatatkan dagangan sifar tahun depan.
Secara tradisinya, beliau berkata timah digunakan dalam pembuatan piuter, plat timah dan pateri, tetapi dengan kemajuan teknologi baharu, logam itu kini digunakan dalam panel solar, bateri boleh dicas semula, alat elektronik dan banyak produk pengguna lain.
“Saya difahamkan bahawa permintaan daripada sektor teknologi dan elektronik yang baru ditemui yang menggunakan logam hijau ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Syarikat bukan sahaja membayar cukai kepada kerajaan. Dalam keadaan tertentu, mereka juga diberikan pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan, membuka kilang, mengembangkan operasi, menjalankan penyelidikan dan membawa masuk teknologi baharu.
Persoalannya, apakah bentuk insentif yang diberikan dan bagaimana ia memberi kesan kepada hasil cukai kerajaan?
Secara umum, kita boleh melihat 15 bentuk insentif dan kemudahan yang dibahagikan kepada empat kategori.
Nota: Contoh pengiraan di bawah adalah ilustrasi untuk menerangkan cara insentif berfungsi. Ia bukan pengesahan bahawa syarikat yang disebut atau mana-mana syarikat tertentu telah menerima kelulusan.
KATEGORI 1: PENGECUALIAN CUKAI PENDAPATAN
1. Pioneer Status (PS) – Taraf Perintis
Syarikat yang menjalankan aktiviti atau mengeluarkan produk yang digalakkan boleh diberikan pengecualian sebahagian atau keseluruhan pendapatan berkanun untuk tempoh tertentu.
Contoh: Sebuah syarikat yang membina kilang menghasilkan komponen elektronik diluluskan status perintis. Jika pendapatan berkanun tahunannya RM10 juta dan 70% dikecualikan, hanya RM3 juta tertakluk kepada cukai.
Antara contoh lain yang boleh dilihat ialah industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di Malaysia. Menurut laporan Bernama, syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan REE di peringkat pertengahan dan hiliran boleh dipertimbangkan untuk menerima insentif taraf perintis. Ini menunjukkan kerajaan menggunakan insentif cukai untuk menarik pelaburan dalam industri strategik yang mempunyai potensi nilai tambah tinggi.
Senarai syarikat tersenarai Bursa Malaysia yang mempunyai rekod insentif cukai:
Syarikat tersenarai
Entiti penerima
Insentif dan tempoh
Press Metal Aluminium Holdings Berhad (8869)
Press Metal Bintulu Sdn. Bhd. (PMBTU)
100% pengecualian pendapatan berkanun daripada pengeluaran produk aluminium, 2013–2027. Dilanjutkan dengan pengecualian 40% bagi 2028–2030.
Kesan cukai yang dilaporkan: RM440 Juta (2025)
Mi Technovation Berhad (5286)
Mi Equipment (M) Sdn. Bhd.
100% pengecualian selama 10 tahun sehingga Januari 2024. Kelulusan baharu memberikan pengecualian 70% bagi aktiviti mesin pengisihan die wafer-level berasaskan AI, Januari 2024–Januari 2029.
Kesan cukai yang dilaporkan: RM16.26 juta (2025)
Genetec Technology Berhad (0104)
Genetec Technology Berhad
70% pengecualian pendapatan berkanun daripada aktiviti sistem automasi kilang pintar dan modul berkaitan EV, Disember 2019–Disember 2024. Kelulusan baharu untuk sistem pemasangan bateri EV, Disember 2024–Disember 2029.
Kesan cukai yang dilaporkan: Genetec mencatatkan kerugian sebelum cukai RM25.03 juta bagi 2025, tetapi masih mempunyai kelulusan taraf perintis untuk aktiviti pemasangan sistem bateri EV sehingga Disember 2029.
ECA Integrated Solution Berhad (0255)
ECA Advanced Solutions Sdn. Bhd.
100% pengecualian pendapatan berkanun daripada aktiviti perintis yang diluluskan, 27 November 2022–26 November 2027.
JF Technology Berhad (0146)
Anak syarikat yang mengeluarkan interconnect dan integrated circuit test socket
100% pengecualian pendapatan perniagaan di bawah Pioneer Status. Sambungan diluluskan sehingga 31 Mac 2026.
Kesan cukai yang dilaporkan: RM1.73 juta (2025)
DXN Holdings Bhd (5318)
Entiti kumpulan yang menjalankan aktiviti berkaitan
Laporan korporat merekodkan beberapa kelulusan Pioneer Status terdahulu untuk penanaman dan pemprosesan Ganoderma, Spirulina serta aktiviti Bio Synergy.
Nota: Nilai penjimatan yang dipaparkan berdasarkan item insentif cukai atau kesan cukai dalam rekonsiliasi cukai laporan tahunan syarikat. Angka ini bukan semestinya jumlah tunai yang dijimatkan, nilai keseluruhan kelulusan insentif atau hasil cukai yang dilepaskan kerajaan. Sesetengah angka turut merangkumi elaun dan insentif lain.
2. Principal Hub Incentive
Insentif untuk syarikat yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi serantau bagi mengurus aktiviti seperti pengurusan perniagaan, kewangan, perolehan dan rantaian bekalan.
Contoh: Sebuah kumpulan multinasional menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengurusan operasi Asia Tenggara. Pendapatan daripada aktiviti perkhidmatan Principal Hub yang layak boleh menikmati kadar cukai khas atau pengecualian mengikut skim dan kelulusan.
Elaun berdasarkan perbelanjaan modal yang layak seperti pembelian mesin, peralatan dan pembinaan kemudahan bagi projek yang diluluskan.
Contoh: Syarikat melabur RM100 juta untuk membeli mesin dan membina kemudahan pengeluaran. Jika kadar ITA yang diluluskan ialah 60%, syarikat memperoleh elaun RM60 juta. Penggunaannya tertakluk kepada had dan syarat skim.
4. Reinvestment Allowance (RA) – Elaun Pelaburan Semula
Diberikan kepada syarikat sedia ada yang membuat pelaburan semula untuk mengembangkan, memodenkan, mengautomasi atau mempelbagaikan aktiviti perniagaan yang layak.
Contoh: Kilang makanan yang telah beroperasi selama beberapa tahun melabur RM20 juta untuk menambah barisan pengeluaran baharu. Jika layak mendapat RA sebanyak 60%, elaun yang terhasil ialah RM12 juta. Tuntutan tertakluk kepada syarat, termasuk tempoh operasi dan jenis projek.
Rujukan: Subseksyen 7A, Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967). Panduan ringkasan: PwC Malaysia – Tax Incentives.
5. Infrastructure Allowance – Elaun Infrastruktur
Elaun berkaitan perbelanjaan infrastruktur yang layak bagi projek atau aktiviti tertentu.
Contoh: Syarikat yang menjalankan projek perindustrian di kawasan yang ditetapkan membina kemudahan infrastruktur seperti jalan, jambatan atau kemudahan berkaitan yang memenuhi syarat insentif.
6. Industrial Adjustment Allowance (IAA) – Elaun Pelarasan Industri
Kemudahan elaun untuk syarikat pembuatan yang menjalankan aktiviti pelarasan industri yang diluluskan, termasuk pemodenan, penyusunan semula dan rasionalisasi operasi.
Contoh: Sebuah syarikat dalam industri kejuruteraan menjalankan penyusunan semula operasi dan menaik taraf proses pengeluaran menggunakan peralatan moden. Aktiviti tersebut boleh dipertimbangkan jika memenuhi syarat IAA.
7. Accelerated Capital Allowance (ACA) – Elaun Modal Dipercepatkan
Accelerated Capital Allowance (ACA) atau Elaun Modal Dipercepatkan ialah kemudahan cukai yang membolehkan syarikat menuntut potongan cukai bagi pembelian aset perniagaan yang layak dengan lebih cepat berbanding kadar elaun modal biasa.
Mudahnya, kerajaan membenarkan syarikat mengambil kira kos mesin atau peralatan tertentu sebagai potongan cukai dalam tempoh yang lebih singkat.
Katakan sebuah kilang membeli mesin pengeluaran berharga RM1 juta. Mesin itu layak mendapat ACA.
8. Automation Capital Allowance – Elaun Modal Automasi
Insentif untuk menggalakkan syarikat menggunakan teknologi dan mesin automasi bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Contoh: Kilang memasang robot untuk kerja pembungkusan dan sistem automasi bagi proses pengeluaran. Perbelanjaan modal yang memenuhi syarat skim boleh menikmati elaun khas.
Dalam industri semikonduktor, pelaburan automasi merupakan antara perkara penting untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing. Bernama melaporkan bahawa Malaysia Semiconductor Industry Association( MSIA) mencadangkan supaya had Elaun Modal Automasi dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM100 juta. Cadangan ini menunjukkan besarnya keperluan modal yang diperlukan oleh syarikat untuk mengautomasi operasi dan meningkatkan keupayaan pengeluaran.
KATEGORI 3: PENGECUALIAN CUKAI TIDAK LANGSUNG
9. Pengecualian Duti Import
Syarikat yang layak boleh diberikan pengecualian duti import bagi mesin, peralatan atau bahan tertentu yang digunakan dalam aktiviti yang diluluskan.
Contoh: Sebuah kilang mengimport mesin khusus dari Jepun untuk digunakan dalam proses pembuatan. Jika diluluskan pengecualian duti import, syarikat tidak perlu menanggung duti berkenaan bagi import tersebut.
Syarikat pembuatan yang perlu mengimport mesin dan peralatan dari luar negara juga boleh menikmati kemudahan pengecualian duti import jika memenuhi syarat. Sebagai contoh, kilang yang mengimport mesin khusus dari Jepun atau Jerman untuk kegunaan pengeluaran boleh memohon pengecualian duti import yang berkaitan. Kemudahan ini mengurangkan kos permulaan pelaburan dan membantu syarikat membawa masuk teknologi yang mungkin belum tersedia di Malaysia. Rujukan berkaitan boleh dilihat melalui panduan MIDA.
10. Pengecualian Cukai Jualan
Pengecualian cukai jualan boleh diberikan bagi barangan atau transaksi tertentu mengikut peruntukan dan syarat yang ditetapkan.
Contoh: Pengilang berdaftar membeli bahan mentah, komponen dan bahan pembungkusan untuk digunakan secara langsung dalam proses pengilangan. Pembelian tersebut boleh mendapat pengecualian cukai jualan jika memenuhi syarat.
Pengecualian duti eksais boleh diberikan bagi barangan atau aktiviti tertentu yang memenuhi syarat di bawah undang-undang berkaitan.
Contoh: Pengilang yang menjalankan aktiviti pengeluaran barangan tertakluk kepada duti eksais boleh memohon kemudahan pengecualian jika transaksi atau barangan tersebut termasuk dalam peruntukan yang dibenarkan.
Rujukan: MITI – Incentives for Investment. Halaman ini menerangkan kerangka insentif langsung dan tidak langsung termasuk pengecualian duti eksais di bawah undang-undang berkaitan.
12. Kemudahan Zon Bebas (Free Zone)
Syarikat yang beroperasi dalam zon bebas boleh menikmati layanan kastam khas bagi barangan yang dibawa masuk, disimpan, diproses atau dieksport, tertakluk kepada peraturan zon bebas.
Contoh: Pengilang elektronik yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas mengimport komponen untuk dipasang menjadi produk siap sebelum dieksport ke pasaran antarabangsa.
13. Potongan Berganda bagi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
Syarikat yang menjalankan aktiviti R&D yang diluluskan boleh menikmati potongan berganda bagi perbelanjaan hasil yang layak.
Contoh: Syarikat membelanjakan RM100,000 bagi penyelidikan yang memenuhi syarat. Jika layak mendapat potongan berganda, jumlah potongan cukai boleh menjadi RM200,000. Pada kadar cukai 24%, penjimatan cukai secara ilustrasi ialah RM24,000.
Perbelanjaan latihan tertentu yang memenuhi syarat boleh diberikan potongan tambahan bagi menggalakkan pembangunan kemahiran pekerja.
Contoh: Syarikat menghantar pekerja mengikuti latihan teknikal yang diluluskan bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang automasi, teknologi atau pengeluaran. Perbelanjaan yang memenuhi syarat boleh dipertimbangkan untuk potongan khas.
Rujukan: Seksyen 34(6) ACP 1967 dan peruntukan berkaitan latihan yang diluluskan. Kelayakan bergantung pada jenis latihan, penyedia latihan dan syarat yang ditetapkan. Rujukan umum: MITI – Incentives for Investment.
15. Potongan Berganda bagi Promosi Eksport
Syarikat yang menjalankan aktiviti promosi untuk meningkatkan eksport boleh menikmati potongan tambahan bagi perbelanjaan yang memenuhi syarat.
Contoh: Pengilang tempatan menyertai pameran perdagangan antarabangsa, menjalankan promosi produk di luar negara dan mencari pasaran eksport baharu. Perbelanjaan yang layak boleh dipertimbangkan untuk potongan berganda.
ADAKAH KERAJAAN MENERBITKAN SENARAI SYARIKAT PENERIMA INSENTIF?
Ini antara persoalan paling penting.
Laman rasmi Kementerian Kewangan (MOF) menyediakan maklumat mengenai pelbagai insentif cukai. MIDA pula menerbitkan garis panduan, aktiviti yang dipromosikan dan syarat permohonan.
Bagaimanapun, setakat semakan sumber awam, belum ditemui satu pangkalan data awam yang menyenaraikan secara menyeluruh semua nama syarikat penerima insentif, jenis kelulusan, tempoh manfaat dan nilai cukai yang dilepaskan.
Kita boleh menemui pengumuman kelulusan bagi syarikat tertentu melalui laporan tahunan, pengumuman Bursa Malaysia atau kenyataan media.
Tetapi maklumat tersebut masih berpecah-pecah.
Apa yang diperlukan ialah pelaporan yang lebih menyeluruh, sekurang-kurangnya merangkumi:
Nama syarikat dan entiti penerima insentif.
Jenis insentif yang diluluskan.
Tempoh dan syarat kelulusan.
Nilai pelaburan yang berkaitan.
Anggaran hasil cukai yang dilepaskan.
Impak kepada ekonomi seperti pekerjaan, gaji, eksport, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan.
Ketelusan ini penting supaya rakyat dapat menilai sama ada manfaat ekonomi yang dijanjikan benar-benar setimpal dengan kos fiskal yang ditanggung kerajaan.
APA YANG KERAJAAN SENDIRI AKUI TENTANG INSENTIF CUKAI?
Dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan bahawa kerajaan sedang membangunkan Tax Expenditure Statement (TES).
TES bertujuan mengukur kehilangan hasil kerajaan akibat perubahan dasar percukaian, termasuk pengecualian dan pelepasan cukai.
Ini bermakna, laporan tersebut belum memberikan satu angka agregat yang boleh digunakan untuk menyatakan jumlah keseluruhan hasil cukai yang dilepaskan melalui semua insentif cukai.
JADI, BERAPA BANYAK HASIL CUKAI KERAJAAN YANG DILEPASKAN?
Kita perlu bezakan dua perkara:
Cukai yang tidak dikutip kerana insentif yang sah. Ini ialah kos fiskal atau hasil cukai yang dilepaskan oleh kerajaan untuk menggalakkan aktiviti ekonomi tertentu.
Cukai yang tidak dibayar akibat ketidakpatuhan atau penyalahgunaan insentif. Ini pula melibatkan isu kelayakan tuntutan, pematuhan syarat kelulusan dan kemungkinan manipulasi.
Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan perlu dinilai secara berasingan.
Kita juga perlu melihat sama ada insentif yang diberikan benar-benar menghasilkan pulangan kepada negara, contohnya:
Berapa banyak pekerjaan berkualiti diwujudkan?
Berapa tinggi gaji yang dibayar kepada pekerja tempatan?
Berapa banyak teknologi dan kepakaran dipindahkan?
Berapa banyak vendor tempatan mendapat manfaat?
Berapa banyak cukai yang akhirnya dibayar oleh syarikat selepas tamat tempoh insentif?
Malaysia sememangnya memerlukan pelaburan asing dan domestik. Insentif cukai boleh menjadi salah satu alat untuk menarik pelaburan tersebut.
Namun, insentif bukan hadiah percuma. Ia menggunakan ruang fiskal kerajaan dan sepatutnya datang bersama pulangan ekonomi yang boleh diukur.
Kalau kerajaan boleh mengumumkan nilai pelaburan yang berjaya ditarik masuk, kerajaan juga patut menjelaskan berapa banyak hasil cukai yang dikorbankan untuk mendapatkannya.
Nota penting: Senarai ini ialah gambaran bentuk insentif dan kemudahan yang terdapat dalam rangka cukai dan pelaburan Malaysia. Ia bukan bermaksud kesemua 15 kemudahan terbuka untuk permohonan baharu pada masa ini. Kelayakan bergantung pada undang-undang, tarikh permohonan, kelulusan dan syarat khusus setiap skim. Bagi sektor pembuatan, kerangka New Incentive Framework (NIF) mula dilaksanakan pada 1 Mac 2026 dan permohonan baharu di bawah PIA 1986 tidak lagi diterima selepas tarikh tutup yang ditetapkan. Kelulusan sedia ada kekal tertakluk kepada syarat asal.