Ringgit Naik Kepada 4.68 Berbanding Dolar AS Pada Sesi Pembukaan

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) — Ringgit meningkat kepada 4.6800 berbanding dolar AS pada sesi pembukaan pada Khamis, paras kali terakhir dilihat dua bulan lepas, apabila data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan memberikan harapan kepada penurunan kadar faedah AS yang lebih awal.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.6800/6850 berbanding dolar AS daripada 4.7050/7075 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan boleh berada pada paras RM4.67 hingga RM4.68.

“Ringgit dijangka mencatatkan prestasi yang baik hari ini berikutan kadar inflasi AS diunjurkan lebih rendah, dengan data terkini menunjukkannya menurun kepada 3.4 peratus pada April daripada 3.5 peratus.

“Pasaran pertukaran asing dijangka memberi impak positif berikutan peluang kenaikan kadar adalah rendah dan terdapat kemajuan yang baik mengenai inflasi AS,” katanya.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0435/0470 daripada 3.0189/0207 semalam, susut berbanding pound kepada 5.9422/9485 daripada 5.9391/9423 pada Rabu dan berkurangan berbanding euro kepada 5.0970/1024 daripada 5.0941/0968 sebelum ini.

Ia diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.4858/4898 daripada 3.4873/4894 pada Rabu dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.9128/9313 daripada 12.8735/8867 semalam.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 291.9/292.4 daripada 293.5/293.8 sebelum ini dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.16/8.17 daripada 8.17/8.19.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama