Syarikat Permainan Video Korea Selatan NX3 Games Berhasrat Buka Ibu Pejabat Di Malaysia

SEOUL, 7 Sept (Bernama) — Syarikat permainan video Korea Selatan, NX3 Games, menyatakan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Malaysia dan menyasar membuka ibu pejabat wilayah mereka di Kuala Lumpur  tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata komitmen itu dizahirkan oleh pengurusan NX3 Games sempena lawatan kerja beliau ke ibu pejabat syarikat permainan video itu, di sini.

Beliau berkata perbincangan bersama pihak NX3 Games menghasilkan satu lagi potensi pelaburan ekonomi digital untuk negara menerusi kaedah tentang bagaimana Malaysia boleh menjadi negara pilihan untuk NX3 Games mengembangkan perniagaan mereka.

“Setakat ini, syarikat Korea Selatan itu hanya melebarkan sayap mereka ke Amerika Syarikat. Insya-Allah Malaysia bakal menjadi negara kedua yang dipilih mereka sebagai destinasi pelaburan.

“Perbincangan juga termasuk kerjasama antara NX3 Games dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang saya lihat bakal membuahkan hasil apabila mereka mengembangkan tapak mereka di rantau Asean dan meletakkan Malaysia sebagai ibu pejabat,” katanya kepada Bernama.

Menurut Fahmi, tiga unit yang akan menjadi fokus NX3 Games di Malaysia ialah penerbitan permainan, penyelidikan dan pembangunan serta rekaan kandungan.

Sementara itu, ketua pegawai kandungan NX3 Games, Terrence Kim berkata syarikat itu amat berminat untuk mengembangkan operasinya di Malaysia kerana ia melihat banyak potensi untuk dipertimbangkan dalam industri permainan. 

Untuk info, anda boleh belajar Bahasa Korea secara online menerusi thetalktalk.co
dan mohon pekerjaan dengan gaji lumayan di Korea Selatan.

“Kami teruja dengan peluang untuk berkembang di Kuala Lumpur. Kami masih lagi di peringkat perbincangan tetapi petunjuknya sudah ada.

“Menteri, MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang membantu kami untuk memuktamadkannya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Fahmi juga mengadakan lawatan ke syarikat gergasi permainan video Korea Selatan, Smilegate, yang turut berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama mereka di Malaysia.

Menerusi perbincangan bersama pengurusan tertinggi Smilegate yang diketuai ketua pegawai eksekutifnya, Sung Joon Ho, Fahmi turut menjemput syarikat tersebut memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan sekiranya ingin mengembangkan perniagaan mereka.

“Setakat ini, Smilegate mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dengan MDEC dan turut bertemu ketika persidangan Game Developers Conference 2023, baru-baru ini.

“Insya-Allah usaha sama ini akan diteruskan sekali gus melonjakkan lagi sektor ekonomi digital di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA