Boleh Ke Gadaikan Emas Untuk Tujuan Pelaburan Emas Yang Baru?

SOALAN

Assalamualaikum wbt Dato’ Seri Mufti. Saya mendapat tahu bahawa emas adalah pelaburan terbaik untuk jangka masa panjang. Saya juga telah mula membeli emas dan menyimpannya sebagai satu pelaburan pada masa hadapan. Persoalan saya ialah, adakah dibolehkan untuk saya gadaikan emas yang ada dalam simpanan saya dan membeli emas yang baru bagi tujuan menambahkan lagi aset pelaburan yang sedia ada? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 357 : HUKUM MENGGADAIKAN EMAS BAGI TUJUAN PELABURAN EMAS YANG BARU yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

JAWAPAN

Waalaikussalam wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Setiap orang Islam mestilah menanam cita-cita untuk menjadi seorang yang kaya. Keinginan terhadap perkara tersebut perlulah diselari dengan tekad dan kesungguhan dalam mengangkat taraf ekonomi kehidupan seharian ke tahap yang lebih baik. Sememangnya telah terbukti bahawa individu yang mempunyai harta kekayaan disulami dengan takwa kepada Allah SWT akan menghasilkan seorang muslim yang cukup hebat disisi Allah SWT. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وفي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ علَى ما يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ باللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ

Maksudnya“Orang mukmin yang kuat (segalanya) itu, lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah sedang setiap (mukmin) itu semuanya baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan Allah tanpa rasa lemah semangat.”

Riwayat Muslim (2664) dan Ibn Majah (4168)

Allah SWT menyukai hambanya yang kuat berbanding hambanya dari kalangan yang lemah. Kekayaan yang dimiliki oleh seorang hamba akan menjadikannya seorang yang mempunyai kekuatan dari sudut ekonomi seterusnya dalam membantu dalam mengembangkan syiar agama Islam itu sendiri. Ianya adalah perkara yang disukai oleh Allah SWT. Perkataan “Qawiy” dalam hadith di atas merupakan lafaz umum yang membawa maksud semua perkara yang membawa kepada kekuatan. Hal ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh berikut:

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ الْلفظِ لاَ بِخُصُوصِ السببِ

Maksudnya“Pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazhair, al-Subki, 2/134)

Melihat kepada persoalan di atas, gadaian (al-rahn) bermaksud suatu akad yang menjadikan sesatu barang yang bernilai sebagai cagaran kepada hutang dan akan digunakan untuk melangsaikan hutang jika hutang tersebut tidak dapat dibayar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 7/111) (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Buyu’, hlm. 51)

Hukum akad gadaian adalah harus dan dibenarkan disisi syarak. Ini berdasarkan kepada nas daripada al-Quran dan hadith berikut:

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ عَلَىٰ سَفَرٍ وَلَمْ تَجِدُوا كَاتِبًا فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ

Maksudnya“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).”

(Surah al-Baqarah: 283)

Menurut Qadhi Husain kalimah (فَرِهَانٌ مَّقْبُوضَةٌ) dalam ayat di atas bermaksud gadain dan penerimaan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Buyu’, hlm. 52)

Demikian dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, beliau telah berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang yahudi dengan cara hutang dan Baginda SAW menggadaikan baju besinya.”

Riwayat al-Bukhari (2386)

Demikian juga dalam satu hadith yang lain diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah, beliau telah berkata:

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلاَثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

Maksudnya“Rasulullah SAW telah wafat sedang baju besinya sedang digadaikan kepada seorang Yahudi dengan nilai tiga puluh gantang dari gandum.”

Riwayat al-Bukhari (2916)

Menjawab kepada persoalan di atas, setiap individu berkuasa dan berhak melakukan apa sahaja terhadap harta yang dimilikinya. Ini bermaksud, pemilik adalah sah dan dibenarkan untuk menggadai, menjual, menghadiahkan emas yang dimilikinya kepada sesiapa sahaja. Namun demikian, dalam keadaan yang dinyatakan di atas, kita tidak digalakkan untuk berhutang atau menambahkan hutang dalam keadaan yang tidak perlu. Perbuatan menggadaikan emas yang dimiliki bagi mendapatkan wang tunai untuk membeli emas yang baru secara tidak langsung akan menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu. Walhal Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita tentang doa menjauhi hutang. Nabi SAW telah bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ

Maksudnya“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kekufuran dan kefakiran.”

Riwayat al-Nasai’e (5485)

Syor dan cadangan

Isu hutang dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya telah banyak kami kupas dalam artikel-artikel terdahulu. Sebagai cadangan dan syor kepada aktiviti seperti di atas, kami nyatakan seperti berikut:

  1. Seorang yang ingin menceburkan diri dalam pelaburan perlu memastikan wang yang dilaburkan tersebut adalah daripada portion wang lebihan yang tidak digunakan. Jangan sesekali menggunakan wang komitmen bulanan dan jangan sesekali berhutang dengan mana-mana individu, ahlong, badan atau agensi bagi tujuan pelaburan.
  2. Sebelum terjun ke bidang pelaburan, lengkapkanlah diri dengan ilmu pelaburan yang berkaitan daripada mentor-mentor yang diperakui keberhasilannya dalam bidang pelaburan. Ini bagi mengelakkan daripada terjerumus ke lembah kegagalan dengan memperjudikan nasib tanpa ilmu yang mantap.
  3. Setiap amalan dan aktiviti yang dilakukan perlulah disulami dengan takwa kepada Allah SWT. Pilihlah pelaburan yang halal dan ingatlah Allah SWT sentiasa memerhatikan kita.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan perbuatan menggadaikan (al-rahn) emas yang sedia ada bagi tujuan membeli emas yang baru untuk tujuan pelaburan adalah makruh. Ini kerana perbuatan tersebut akan menggalakkan amalan berhutang dalam situasi yang tidak perlu dan tidak mendesak. Selain itu, kemampuan pembayaran hutang perlu diambil kira bagi mengelakkan ketidakmampuan individu dalam melangsaikan hutang yang ada.

Kami sudahi penjelasan ini dengan sepotong doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

Maksudnya“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.”

Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129)

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka fikiran dan minda kita semua dalam menjauhi hutang dan mengamalkan syariat Islam berlandaskan kepada konsep Islam yang sebenar. Amin.

Previous ArticleNext Article

55 Juta Unit IOIPG REIT Dikhaskan Untuk Bumiputera

Selama ni kita datang IOI City Mall untuk shopping, makan, tengok wayang atau sekadar jalan-jalan cukupkan 10,000 langkah.

Kali ni ada berita baik.

IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menubuhkan dan menyenaraikan IOIPG REIT di Bursa Malaysia. REIT ini akan mempunyai portfolio aset bernilai kira-kira RM7.58 bilion.

Dan antara perkara paling menarik untuk pelabur runcit ialah sebanyak 715.6 juta unit diperuntukkan untuk tawaran runcit.

Daripada jumlah tersebut, 55 juta unit dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Jadi, apa sebenarnya yang bakal kita dapat melalui REIT ini?

Apa yang ada dalam IOIPG REIT?

Portfolio IOIPG REIT bukan sekadar satu bangunan.

Antara aset yang akan dimasukkan ialah:

  • IOI City Mall Phase 1 & 2
  • IOI City Towers
  • PFCC Towers
  • Putrajaya Marriott
  • Le Méridien Putrajaya
  • Moxy Putrajaya
  • Four Points by Sheraton Puchong
  • W Kuala Lumpur
  • Courtyard by Marriott Penang

Dan sudah tentu, nama yang paling mudah dikenali ialah IOI City Mall.

Mall yang kita kenal sebagai tempat shopping dan makan itu sebenarnya merupakan salah satu aset utama dalam portfolio REIT ini.

Jadi macam mana kita boleh “jadi landlord”?

Konsep REIT sebenarnya agak mudah.

Bayangkan satu hartanah bernilai berbilion ringgit.

Tak ramai individu mampu membeli hartanah tersebut secara terus.

Jadi, aset itu dimasukkan ke dalam satu struktur REIT dan dibahagikan kepada unit.

Pelabur pula membeli unit tersebut.

Secara tidak langsung, pelabur memiliki kepentingan dalam portfolio hartanah berkenaan.

Sebab itu orang selalu gambarkan REIT sebagai cara untuk memiliki sebahagian daripada hartanah yang besar tanpa perlu membeli keseluruhan bangunan.

Dalam kes IOIPG REIT, saiz awalnya ialah 5.5 bilion unit, dengan harga jangkaan 90 sen seunit.

Pelabur runcit dapat 715.6 juta unit

Ini antara bahagian yang paling menarik.

Daripada keseluruhan struktur tawaran, 715.6 juta unit akan diperuntukkan melalui tawaran runcit.

Dan 55 juta unit daripada tawaran tersebut dikhaskan untuk pelabur Bumiputera.

Kenapa ada allocation khas untuk Bumiputera?

Peraturan SC menetapkan penyenaraian tertentu, termasuk REIT, perlu memenuhi keperluan penyertaan ekuiti Bumiputera. Bagi penyenaraian yang tertakluk kepada syarat tersebut, 12.5% daripada jumlah unit selepas penyenaraian perlu diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan/diiktiraf.

Pada masa yang sama, sehingga 1.48 bilion unit pula akan ditawarkan kepada pelabur institusi, termasuk institusi Bumiputera yang diluluskan dan pelabur institusi lain.

Bukan sekadar tengok harga 90 sen

Harga indikatif yang disebut ialah 90 sen seunit.

Tapi pelabur jangan berhenti setakat:

“90 sen je? Murah ni.”

Dalam REIT, perkara yang lebih penting ialah aset yang berada di belakang unit tersebut dan kemampuan aset itu menjana pendapatan.

Contohnya:

Berapa banyak hasil sewaan?
Bagaimana kadar penghunian?
Berapa tinggi hutang?

Dan akhirnya, berapa banyak pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit?

Sebab kita bukan sekadar membeli “nama IOI”.

Kita membeli unit dalam satu portfolio aset yang sepatutnya menghasilkan pendapatan.

Kenapa IOI Properties buat REIT?

Bagi IOI Properties, penyenaraian REIT ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membuka nilai daripada aset matang yang dimiliki kumpulan.

Cadangan asal yang diumumkan pada April 2026 menyaksikan aset bernilai RM7.58 bilion dipindahkan ke REIT, dengan struktur transaksi melibatkan penerbitan 5.5 bilion unit pada harga indikatif 90 sen serta RM2.65 bilion dalam bentuk tunai melalui pembiayaan.

Struktur sebegini membolehkan IOI Properties mendapatkan semula modal daripada aset sedia ada dan pada masa sama mengekalkan pendedahan kepada portfolio hartanah melalui REIT.

Bila IOIPG REIT akan disenaraikan?

IOIPG REIT disasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku keempat 2026, tertakluk kepada syarat dan proses yang ditetapkan.

Jadi buat masa ini, perkara yang paling menarik untuk ditunggu ialah prospektus rasmi dan butiran akhir tawaran.

Satu perkara yang masih belum boleh dipastikan buat masa ini ialah status Syariah IOIPG REIT. Ini kerana i-REIT mempunyai keperluan Syariah tersendiri, termasuk berkaitan sumber pendapatan sewaan dan aktiviti penyewa. Bursa Malaysia sendiri membezakan REIT konvensional dengan i-REIT, iaitu REIT yang mematuhi prinsip Syariah.

Sebab dekat situlah pelabur boleh tengok dengan lebih jelas tentang harga tawaran akhir, struktur agihan, hasil sewaan, kewangan REIT dan potensi agihan pendapatan.

Kesimpulan

Penyenaraian IOIPG REIT di Bursa Malaysia menandakan satu lagi perkembangan menarik dalam pasaran modal tempatan. Bagi orang ramai, ia membuka ruang untuk menukar peranan daripada sekadar penyumbang pendapatan perniagaan di mall tersebut, kepada penerima sebahagian daripada hasil sewaannya menerusi agihan dividen kelak.

Laporan asal The Star mengenai kelulusan IOIPG REIT

Maklumat rasmi IOI Properties mengenai cadangan IOIPG REIT

Syarat Asas: Wajib Ada Akaun CDS

Bagi yang baru pertama kali mendengar tentang peluang pelaburan seperti ini, penting untuk diingat bahawa pembelian unit REIT di Bursa Malaysia tidak boleh dibuat secara terus di kaunter pusat beli-belah.

  • Anda perlu memohon unit IPO tersebut menerusi e-IPO di dalam perbankan dalam talian seperti: Maybank2u atau aplikasi broker seperti CGSI.
  • Di sini syaratnya anda wajib ada Akaun CDS yang terikat dengan akaun bank anda supaya unit yang anda mohon itu ada “bekas” untuk disimpan.

Proses pembukaan akaun CDS kini boleh dilakukan secara dalam talian (online) dengan caj minima dan ia merupakan langkah pertama yang perlu disiapkan awal sekiranya anda berhasrat untuk terlibat dalam pasaran saham tempatan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.