FUTURECRAFT.LOOP: Kasut Lari Berprestasi Dihasilkan untuk Dihasilkan Semula

– Pencapaian adidas “PROSES PENCIPTAAN GEGELUNG” tertutup akan mengeluarkan kasut berprestasi boleh dikitar semula sepenuhnya

– FUTURECRAFT.LOOP ialah kasut lari berprestasi boleh dikitar semula 100% – ia boleh dikembalikan kepada adidas, diuraikan dan digunakan semula bagi mencipta kasut lari berprestasi yang baharu

– Keluaran generasi pertama merupakan sebahagian daripada program beta global paling luas seumpamanya oleh adidas, menjelang keluaran komersial lebih luas yang disasarkan untuk Musim Bunga Musim Panas 2021

NEW YORK, 17 April 2019 /PRNewswire/ — adidas mengukuhkan komitmennya untuk menangani bahan buangan plastik dengan pelancaran FUTURECRAFT.LOOP – kasut lari berprestasi boleh dikitar semula 100%.

Bersama-sama Parley for the Oceans, adidas memperkenalkan konsep kasut berprestasi yang pertama pada tahun 2015 dengan bahagian atasnya dibuat sepenuhnya daripada benang serta filamen yang ditebus guna dan dikitar semula daripada bahan buangan plastik lautan dan pukat hanyut laut dalam yang menyalahi undang-undang. Pada tahun 2019, adidas akan mengeluarkan 11 juta pasang kasut bersama Ocean Plastic® by Parley dengan menyekat bahan buangan plastik di pantai, pulau terpencil dan komuniti pinggir laut. adidas komited untuk menggunakan hanya poliester dikitar semula dalam setiap produk dan pada setiap aplikasi yang mana penyelesaian wujud menjelang tahun 2024. Mencipta produk-produk dengan bahan-bahan premium oleh Parley, diperbuat daripada bahan buangan plastik lautan yang dikitar tinggi, merupakan tonggak pertama dalam strategi kemampanan adidas.

“Usaha mengeluarkan bahan buangan plastik daripada sistem merupakan langkah pertama, namun demikian kami tidak boleh berhenti di situ,” kata Eric Liedtke, Ahli Lembaga Eksekutif di adidas, bertanggungjawab untuk Jenama-jenama Global. “Apa yang berlaku pada kasut anda setelah ia tidak lagi boleh dipakai? Anda membuangnya – namun hakikatnya ia tidak dibuang. Yang ada hanyalah timbunan tanah dan insinerator dan akhirnya atmosfera yang padat dengan karbon berlebihan, atau lautan yang dipenuhi dengan bahan buangan plastik. Langkah seterusnya adalah untuk mengakhiri konsep “bahan buangan” sepenuhnya. Impian kami ialah anda boleh terus memakai kasut yang sama berulang-ulang kali.”

“FUTURECRAFT.LOOP ialah kasut lari pertama kami yang dihasilkan untuk dihasilkan semula. Ia merupakan bukti terhadap hasrat kami untuk menggalas tanggungjawab terhadap seluruh hayat produk kami; bukti bahawa kami dapat menghasilkan kasut lari berprestasi tinggi yang tidak perlu dibuang.”

Projek FUTURECRAFT.LOOP bertujuan untuk menangani masalah bahan buangan plastik, mendayakan “gegelung tertutup” atau model pembuatan pusingan, yang mana bahan-bahan mentah boleh digunakan semula berulang kali. Namun demikian, bukan sekadar digunakan semula menjadi botol air atau beg jinjing, bahkan kepada sepasang lagi kasut lari berprestasi tinggi.

Bagaimana ia berfungsi

Kasut sukan biasanya melibatkan campuran bahan yang rumit dan perekatan komponen, lalu menghasilkan kasut yang hanya boleh dikitar rendah. Setelah hampir sedekad menjalankan penyelidikan dan pembangunan bersama-sama rakan-rakan kongsi pembangunan, pembuatan dan kitar semula bahan utama di seluruh Asia, Eropah dan juga Amerika Utara, adidas telah menemui cara untuk mengubah proses berkenaan.

FUTURECRAFT.LOOP ialah satu pendekatan transformatif untuk mereka bentuk kasut berprestasi yang dihasilkan untuk dihasilkan semula dari peringkat awal, dengan menggunakan satu jenis bahan dan tanpa gam. Setiap komponen diperbuat daripada TPU boleh digunakan semula 100% – ia dipintal menjadi benang, dijahit, dibentuk dan dicantum-bersih menjadi tapak tengah BOOST menggunakan teknologi SPEEDFACTORY adidas.

Sebaik sahaja kasut ini telah mencapai akhir hayat pertamanya dan dikembalikan kepada adidas, ia dibasuh, dikisar menjadi pelet dan dicairkan menjadi bahan untuk komponen sepasang kasut baharu, tanpa sisa dan tiada apa yang dibuang. Setiap generasi direka untuk memenuhi piawaian prestasi sukan adidas, tanpa kompromi.

Tanyaradzwa Sahanga, Pengurus, Inovasi Teknologi, di adidas, mengulas: “Kami bermatlamat untuk mencipta jenis produk baharu yang boleh diambil semula oleh pihak kami, mengisarnya dan mengaplikasikannya semula menjadi produk adidas baharu. Kami sedia maklum bahawa ini merupakan wawasan yang luas dalam segala segi; secara teknikal mahupun tingkah laku! Ada kalanya kami seolah-olah tidak dapat mengatasi beberapa halangan teknikal – kini, kami berjaya melakukan lonjakan pertama, medan perjuangan telah berubah. Kami tidak dapat mencipta masa depan pusingan secara sendirian, kami memerlukan satu sama lain. Kami teruja untuk melihat langkah pertama ini dijayakan sebagai sebahagian daripada pelancaran beta.”

“FUTURECRAFT ialah etos reka bentuk dan inovasi kami,” kata Paul Gaudio, Naib Presiden Kanan Hala Tuju Kreatif & Masa Depan, di adidas. Ia berkisar persimpangan antara seni, sains, teknologi, kemanusiaan, kejuruteraan dan kraf. Ia mengaplikasikan daya kreativiti untuk memperbaharui semula dunia yang ingin kita lihat.”

“FUTURECRAFT berusaha menjadi perintis, membawakan bahan dan proses baharu demi menanggung banyak cabaran dan peluang yang kami hadapi bagi membantu para atlet membawa perubahan dalam permainan, kehidupan dan semestinya, di dunia yang didiami oleh mereka – dunia yang didiami oleh kita semua.”

Langkah pertama

Kasut FUTURECRAFT.LOOP generasi pertama bakal diperkenalkan sebagai sebahagian daripada program beta global dengan 200 Pencipta utama dari bandar-bandar utama seluruh dunia. adidas akan mencabar mereka untuk berlari, mengembalikan kasut tersebut dan berkongsi maklum balas tentang pengalaman mereka, menjelang keluaran generasi kedua.

Pandangan tersebut akan digunakan bagi membentuk hala tuju untuk keluaran yang lebih luas yang disasarkan untuk Musim Bunga Musim Panas 2021.

Untuk maklumat lanjut kunjungi adidas.com/futurecraft.

Sumber: adidas

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.