Alliance Islamic Bank Bantu Usahawan Mikro B40 Bina Kekuatan Kewangan

Alliance Islamic Bank Berhad (“Alliance Islamic Bank” atau “Bank”) baru-baru ini berjaya menamatkan Economic Empowerment Programme (“EEP”) selama tiga bulan untuk 50 usahawan mikro B40.

Program ini yang ditaja oleh Bank dan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan People Systems Consultancy (PSC), EEP melengkapkan para usahawan mikro dengan pengetahuan praktikal mengenai inovasi perniagaan, pemasaran, analisis pelanggan dan pengurusan kewangan supaya mereka dapat menyara hidup mereka walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Ini membantu memperkasakan masyarakat berpendapatan rendah untuk berdikari dengan memperoleh pendapatan sebagai pemilik perniagaan. Para peserta dilatih untuk mengamalkan pengetahuan dari program ini semasa menjalankan perniagaan mereka. Selain itu, mereka telah meningkatkan pengetahuan perniagaan digital, dan memanfaatkan peluang untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui platform digital. Hasilnya, purata pendapatan mereka telah meningkat lebih 300% selepas program mentor selama 3 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, berkata, “Kami di Alliance Islamic Bank berganding bahu dengan masyarakat-masyarakat setempat untuk menggalakkan keterangkuman ekonomi di kalangan golongan miskin. Kami juga giat membimbing perniagaan yang memberi kesan positif kepada masyarakat. Perusahaan-perusahaan mikro merupakan cara yang berguna untuk mendedahkan para usahawan baru kepada perniagaan. Ia membantu mengasah kebolehan perniagaan mereka, menanam keyakinan kendiri, meningkatkan tahap pendapatan, di samping memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat. Kami susunkan program keusahawanan yang menyediakan latihan kemahiran dan minda serta sesi pembelajaran bersemuka. Di samping itu, bimbingan dan tunjuk ajar mentor selama tiga bulan secara dalam talian juga diadakan.”

“Melalui pelbagai rancangan bantuan PKS yang ditawarkan oleh Alliance Islamic Bank, kami giat mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak swasta, kerajaan dan NGO untuk sama-sama membantu membina daya ketahanan para usahawan mikro. Ini dicapai dengan melengkapkan usahawan-usahawan tersebut dengan pengetahuan, kemahiran, sarana dan sokongan yang berguna. Kami amat berbangga kerana program ini telah berjaya melatih seramai 50 orang usahawan mikro yang telah mencatatkan peningkatan dalam status sosioekonomi mereka,” tambah beliau.

Selepas para peserta berjaya melengkapkan program ini, mereka melaporkan hasil yang positif dalam empat aspek meliputi keluarga, kesihatan, taraf hidup dan impak komuniti. 92% daripada peserta menyatakan bahawa mereka menggunakan pendapatan tambahan untuk meningkatkan taraf hidup dan menyumbang kepada masyarakat, manakala 90% berkata mereka mampu membeli makanan yang lebih berkhasiat dan akses kepada penjagaan kesihatan. Selain itu, 66% daripada peserta menyatakan kesan limpahan yang positif terhadap pendidikan keluarga kerana mereka kini mampu untuk membeli keperluan sekolah dan membayar yuran sekolah anak-anak mereka.

Marriani bt Che Mat, 38, merupakan salah seorang peserta EEP yang menyaksikan pendapatannya meningkat lebih 900% dalam tempoh tiga bulan selepas program. Dia kini boleh memastikan bahawa dua anaknya yang bersekolah dapat mengikuti kelas dalam talian mereka dengan betul. “Saya mahu anak-anak saya fokus kepada pelajaran yang penting untuk masa depan mereka. Program ini membantu saya menambah pendapatan dan akhirnya saya mampu untuk memasang WiFi di rumah dan membeli komputer untuk keperluan pembelajaran dalam talian anak-anak saya.”

Melalui program ini, Mariani belajar untuk mengenal pasti peluang dan jalan yang boleh meningkatkan jualan. Dia mula menawarkan kepak ayam panggang bersama menu roti bawang putih Korea dan mempromosikannya dengan menggunakan media sosial. Bukan itu sahaja, Marriani turut mempelbagaikan perniagaannya dan belajar menjahit pelitup muka untuk dijual. Ini membolehkan beliau memberi peluang pekerjaan kepada ibu-ibu tunggal yang menjadi ejen jualannya.

Berkongsi pengalaman yang sama ialah Rosambee binti Sulaiman, 55, seorang tutor yang juga menjual makanan dan minuman. Pendapatannya meningkat sebanyak 259% dalam tempoh tiga bulan selepas program tersebut dan membolehkannya untuk menyokong keperluan perubatan keluarga dan suaminya dengan lebih baik.

Beliau berkata, “Saya sangat gembira dapat menyertai program ini. Ia benar-benar mengubah hidup saya! Sebelum ini saya ada menjual cendol sambil menjaga suami, seorang pesakit jantung. Ia sungguh sukar dan kehidupan saya sekadar kais pagi makan pagi. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pandemik melanda. Program ini membantu saya menemui kemahiran dan minat saya dalam mengajar, yang memberikan saya keyakinan untuk memulakan kelas tuisyen. Dengan pendapatan saya bertambah baik, saya mampu membeli makanan yang lebih berkhasiat untuk keluarga dan saya juga mula menabung untuk pendidikan anak-anak saya.”

Economic Empowerment Programme Alliance Islamic Bank adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank untuk memberi impak positif kepada masyarakat melalui pembangunan sosioekonomi. Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif pemerkasaan lain yang dilaksanakan oleh Bank, sila layari platform SocioBiz Alliance Islamic Bank di www.alliancebank.com.my/sociobiz.

Tentang Alliance Islamic Bank Berhad

Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) ialah subsidiari milik penuh Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank). Ia menawarkan pelbagai pilihan  produk dan perkhidmatan yang patuh syariah untuk para pengguna dan perniagaan. 

AIS merupakan promoter dan penyokong inisiatif yang mewujudkan impak positif kepada perniagaan, komuniti dan persekitaran.  

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.