Alliance Islamic Bank, YaPEIM Jalin Kerjasama Bantu PKS Dan B40

Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun untuk memberi peluang kepada pelanggan Alliance Islamic Bank, yang terdiri daripada perusahaan kecial dan sederhana (PKS) untuk menjadi pembekal kepada Program FoodBank YaPEIM.

Ekosistem yang saling memberi manfaat kepada kedua pihak ini menawarkan pilihan pembekal tambahan kepada YaPEIM untuk memperoleh makanan dan keperluan asas pada kadar kompetitif yang akan disumbangkan kepada komuniti yang terpinggir.

Bagi PKS pula, program ini menawarkan peluang pasaran baharu untuk mereka menjual produk selain membantu komuniti yang memerlukan. 

“Wabak COVID-19 yang melanda bukan sahaja memberi kesan buruk kepada PKS, malah kepada para individu dan keluarga kategori B40. Kerjasama dengan YaPEIM menyediakan peluang kepada kami untuk memberi kesan positif kepada lebih ramai pihak yang memerlukan, terutamanya komuniti yang kurang bernasib baik dan PKS ketika berdepan dengan keadaan yang mencabar sekarang. YaPEIM dapat menambah senarai vendor bagi memastikan bekalan yang cukup untuk keperluan program FoodBank YaPEIM. Sementara itu, PKS pula mendapat peluang perniagaan dan pemasaran yang baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, En. Rizal IL-Ehzan bin Fadil Azim.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Pn. Parihah Hasan berkata, “Kami di YaPEIM percaya kerjasama yang dirintis dengan pihak Alliance Islamic Bank ini akan terus membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam pelbagai bidang strategik terutamanya dalam menyokong pembangunan dan pemerkasaan usahawan yang mampu bersaing, berdaya tahan dalam situasi ekonomi semasa.”

YaPEIM hari ini menyampaikan sumbangan kepada 500 penerima dalam bentuk barangan keperluan asas bagi mengurangkan beban mereka semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat dan sempena bulan Ramadan.

Para penerima terdiri daripada Polis Bantuan Hospital Kuala Lumpur, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, PPR Sri Kota, PPR Hiliran Ampang, Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Solahiyyah Damai, Sukarelawan Al Rahmah Kuala Langat, Surau Al Ikhwan Sungai Buluh, Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya Ampang, Sukarelawan Hospital Sungai Buluh, dan Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama menganjurkan pelbagai inisiatif tambahan seperti e-bazaar Ramadan dan CMASA.my, yang merupakan platform perdagangan dalam talian YaPEIM. Para PKS yang diperkenalkan oleh AIS akan disenaraikan pada platform ini sebagai penjual atau pembekal. Kolaborasi ini merupakan pengembangan strategik program Halal in One oleh Alliance Islamic Bank yang membantu PKS untuk berjaya dalam pasaran Halal. Langkah ini juga selaras dengan usaha kumpulan perbankan menerusi kempen #SupportLokal yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan membantu perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.

Turut dirancang adalah usaha untuk meluaskan kerjasama merangkumi platform lain seperti Alliance Islamic Bank SocioBiz, sebuah platform crowdfunding sosial yang membantu individu yang kurang bernasib baik meningkatkan kualiti hidup mereka dengan mencapai kebebasan kewangan melalui perniagaan. Bagi membantu enterpris sosial, orang ramai boleh menderma menerusi www.alliancebank.com.my/sociobiz.

Program FoodBank YaPEIM bertujuan untuk memberi sumbangan kepada 250,000 penerima. Sehingga kini, YaPEIM telah membelanjakan sebanyak RM1,748,076.85 untuk 76,976 orang penerima dalam bentuk wang tunai, makanan kering atau sedia untuk dimakan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kerjasama ini, sila layari www.alliancebank.com.my atau www.yapeim.my.

Tentang Alliance Islamic Bank Berhad

Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) ialah subsidiari milik penuh Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank), dan menawarkan pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan patuh Shariah untuk para pengguna dan juga perniagaan.

AIS merupakan promoter dan penyokong inisiatif yang mewujudkan impak positif kepada perniagaan, komuniti dan persekitaran.  

Tentang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) adalah sebuah yayasan yang memainkan fungsi dan peranannya dalam membangun sosioekonomi melalui pelaksanaan aktiviti Teras Sosial Bisnes, Bisnes dan Pembangunan Sosioekonomi dan Amal Jariah. Di bawah teras Pembangunan Sosioekonomi dan Amal Jariah, YaPEIM terus komited dalam menyantuni masyarakat dalam kumpulan B40 dengan pelaksanaan pelbagai program di bawah Kluster Kebajikan, Keusahawanan dan Sosioeknonomi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.