Magic Dalam Pelaburan Saham

Alhamdulillah, pelaburan saham memang sangat unik. Banyak pengalaman suka duka yang kita boleh perolehi daripadanya.

Orang yang masih kekal dalam dunia saham, banyak pahit manis sudah mereka lalui. Tiada jalan mudah.

Baru-baru ini Tuan Mohd Amsyar Othman yang merupakan Presiden Traders United, alumni di bawah Asri Ahmad Academy telah berkongsi pengalaman beliau.

Betul ke dunia pelaburan saham ada magic?

Dah bersedia?

1. Kita Terlibat Dalam Perniagaan, Tapi Bukan Kita Uruskan

Syarikat maju dan untung, kita untung. Kita menjadi sebahagian daripada pemilik syarikat, tapi bukan kita yang uruskan syarikat. Tak perlu pening kepala nak cari pelanggan, nak jaga kebajikan pekerja dan bermacam-macam lagi.

Kita lantik CEO untuk mengurus syarikat, yang kita tahu syarikat kena untung. Lagi bagus kalau setiap tahun keuntungan syarikat meningkat. Kalau syarikat tak perform, kita boleh hentam pihak pengurusan apabila berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Baca: Dah Kenapa Coca-Cola Bayar Warren Buffett $592 Juta? Sedangkan CEO syarikat cuma dapat $10 juta setahun 

2. Boleh Jadi Pemilik Bangunan KLCC

Tak mampu nak beli aset di KLCC yang berharga RM3,000 sekaki? Tak apa, boleh jadi sebahagian daripada pemilik KLCC dengan modal RM700 saja.

Macam mana?

Belilah saham REIT KLCC.

Sumber: Bursa Marketplace

Tahun lepas syarikat KLCC ini untung RM356 juta. Dividen 4.88% setahun pulak tu. Belum lagi keuntungan daripada Capital Gain, iaitu beli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi.

Baca: Ambil Tahu 12 Perkara ini Sebelum Nak Melabur Saham KLCC Stapled Group

3. Boleh Jadi Pemilik Bursa Malaysia

Tahu ke tak saham Bursa Malaysia juga disenaraikan di pasaran saham?

Sumber: Bursa Marketplace

Dan tahukah anda, pada tarikh 13 Mei 2020 jumlah volume di Bursa Malaysia meningkat sehingga mencecah paras RM9.6 bilion dalam masa sehari?

Orang kata disebabkan PKP ini, semakin ramai pelabur yang ingin meraih keuntungan dan menambah pendapatan dengan berdagang saham.

Apabila jumlah volume meningkat, keuntungan Bursa Malaysia meningkat, harga saham pun ‘breakout’ lah.

4. Melabur Saham Boleh Jadi Jutawan

Bagi mereka yang berniaga, pastinya memasang impian untuk menjadi seorang jutawan. Tetapi setelah sekian lama berniaga, pendapatan banyak tu saja, keuntungan pun banyak tu saja. Tak mudah untuk jadi jutawan sebenarnya.

Bukan berniaga saja boleh jadi seorang jutawan, dengan pelaburan saham juga kita boleh menjadi jutawan. Orang selalu sebut jutawan senyap.

Selagi kita pandai mengawal emosi, InsyaAllah kita boleh berjaya dalam pelaburan saham.

Baca juga : Kenapa Melabur Dalam Saham Boleh Jadi Kaya?

Bagi mereka yang pernah membaca buku “Rich Dad’s Cashflow Quadrant” hasil idea daripada Robert Kiyosaki, mesti tahu berkenaan 4 kuadran ini.

Daripada seorang Employee (E) / Pekerja, kepada Self-Employed (S) / Bekerja Sendiri, kepada Business Owner (B) / Pemilik Perniagaan dan seterusnya menjadi seorang Investor (I) / Pelabur. Itulah matlamat akhir bagi semua orang, dengan wang yang ada – wang digunakan untuk menggandakan wang.

“If you don’t find a way to make money while you sleep, you will work until you die.”

– Warren Buffett

5. ‘The Power Of Compounding Interest’

Bukan, bukan interest bank tu.

Dikenali sebagai faedah berganda di dalam Bahasa Malaysia, ianya diperolehi apabila anda melaburkan semula keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan asal. Ini akan menjadikan pelaburan anda menjana pulangan yang lebih tinggi untuk tempoh seterusnya.

Dalam kes ini, anda sebenarnya menggunakan elemen ‘masa’ sebagai penggerak utama yang bekerja untuk anda bagi menghasilkan pulangan yang lumayan.

Kita dah biasa dengar pelaburan dengan pulangan 6%-8% setahun seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), ada yang dah biasa dengar pelaburan dengan keuntungan 10%-15% setahun dengan unit trust, tetapi tahukah anda kita boleh meraih keuntungan 30% sehari dengan pelaburan saham?

Sesuai dengan konsep ‘High risk high return’. Dengan adanya ilmu dan mindset yang betul, kita boleh meminimakan kerugian dan memaksimakan keuntungan.

6. Perbanyakkan Zakat Dan Sedekah, Lagi Banyak Kita Akan Dapat

Kalau sebelum ni kita kategori tak layak untuk bayar zakat pendapatan, cuba tanamkan niat untuk menambah pendapatan agar kita layak membayar zakat untuk membantu orang lain.

“Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima”.

Lagi banyak kita bersedekah, InsyaAllah lebih banyak pulangan yang kita akan perolehi. Setiap RM1 yang kita belanjakan, RM700 kita akan dapat balik.

Sebagai orang Islam, kita harus menjadi orang kaya supaya dapat membantu lebih ramai insan yang memerlukan.

Sumber Rujukan: Live @ Facebook Tuan Haji Mohd Asri

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters